25 March 2010

Enggan Terima RM3.3juta


Isshh Siapa Lelaki ni?

Dia adalah pakar matematik Rusia, Dr.Grigory Perelman, lelaki bijak yang telah berjaya menyelesaikan masalah matematik paling sukar sejak 100 tahun lalu. Dengan kebijakannya, dia dianugerahkan hadiah AS$1juta (RM3.3juta) tetapi menolak pemberian hadiah tersebut, malah beliau juga menolak gelaran manusia paling bijak di dunia yang diberikan kepadanya.

Isshh ishh ada juga orang yang seperti ini rupanya, yang tidak menganggap wang adalah segala-galanya. Beliau menjelaskan tidak berminat dengan wang dan nama "Saya tidak memerlukan hadiah. Apa yang saya miliki sudah mencukupi." Apa yang dimilikinya hanyalah sebuah meja, kerusi dan katil dengan cadar kotor serta menghuni di sebuah flat yang kecil-sumber kosmo online

23 March 2010

Kadang-kadang.....

Kadang-kadang kita merasa letih dan keliru dengan ragam kehidupan ini. Kadang-kadang bila kita telah memiliki sesuatu, kita masih mengharapkan untuk mendapatkan sesuatu yang lain yang pada pandangan mata zahir kita ia adalah suatu yang terbaik dan perlu dimiliki. Padahal ia mungkin sebaliknya. Kepuasan dan kehendak manusiawi tidak akan pernah berakhir. Bila apa yang kita miliki telah tiada, barulah kita menyedari kehilangannya. Barulah terdetik penyesalan kerana kewujudannya selama ini langsung tidak disedari. Jadi sebelum terlambat hargailah setiap apa yang kita miliki.

22 March 2010

Aku Ada Impian Part II

Sebelum ini pernah saya nyatakan saya ada banyak impian dan angan-angan. Ini adalah sambungan impian/angan-angan yang seterusnya tapi impian dan angan-angan ini lebih bersifat humor dan agak pelik bagi sesetengah manusia yang mindanya waras. Anggap saja sewaktu saya menulis impian/angan-angan ini, minda saya berada di bawah sedar :-)

Impian aku:
  1. Aku mahu lakukan apa saja ikut suka hati aku - cakap ikut suka mulut aku
  2. Makan makanan yang tinggi kalori - aiskrim, kek, coklat, rendang, tomyam, sup tulang, asam pedas dan pelbagai lagi masakan yang lazat-lazat tapi berat badan tetap maintain dan kekal sihat
  3. Tidur dan bangun ikut suka hati
  4. Banyak masa untuk rilek sambil membelek majalah kegemaran - westika, cappellini, satini, devera dll sambil berbincang fesyen baju, kasut @ beg terkini dengan adik.
  5. Tidak perlu kerja teruk2 tapi duit sentiasa ada
  6. Shoping jadi amalan rutin
  7. Masuk pi dapur hanya bila perlu - bila perut menggigil kelaparan dan masa itu semua makanan ada tersedia atas meja.Tinggal ambil dan suap dalam mulut.
  8. Tengo TV 24jam sambil makan kacang, kuaci, keropok atau kueh & minum nescafe 3 in 1 dan rancangan tv semua best2 berkisar soal kehidupan dan kebenaran. Cerita jiwang2, buang jauh2.
  9. Tidak perlu belajar masak-masak
  10. Tidak perlu penat2 kemas rumah, biar rumah macam tongkang pecah nanti boleh masuk dalam oprah punya show
  11. Kredit telefon sentiasa ada jadi boleh buat panggilan keluar anytime
  12. Boleh surf internet, baca blog dan tulis blog tanpa gangguan line disconnect
Hehehe...adakah orang yang punya impian seperti ini???

**Budak2 bawah umur dilarang menyimpan impian seperti ini :-) sebab ini ialah impian orang bengong**

11 March 2010

Selamat Pengantin Baru

Sahabatku, sahabat yang paling akrab kini telah berumah tangga. Hanya selepas beberapa bulan saya tahu dia telah berumah tangga. Kenapa perlu dirahsiakan :-( Saya jadi merajuk kerana dia merahsiakan perkahwinannya sedangkan sebelum itu dia berjanji akan mengkhabarkan perkahwinannya nanti. Saya merajuk bukan kerana dia terlebih dahulu naik pelamin. Tidak! Saya merajuk kerana dia seolah-olah tidak mengambil berat nilai sebuah persahabatan yang telah terbina 11 tahun lamanya. Akhirnya saya mengambil keputusan berdiam diri. Email, sms dan panggilan telefonnya saya abaikan. Tujuan saya hanya sekadar membuatkan dia rasa sakit hati, baru padan muka. Saya tahu dia cuba memujuk bila kiriman smsnya yang terakhir berbunyi "saya tahu kau tidak akan balas sms ini, just to inform u...." Bunyi sms itu langsung tidak menyentuh hati nurani saya. Seperti biasa, habis baca saya delete sms tersebut. Keras sungguh hati ini. Keluarga dan persahabatan adalah dua perkara yang sangat saya hargai. Hanya orang-orang tertentu saja yang benar-benar saya anggap sahabat yang paling akrab. Jadi bila sahabat saya mengkhianati persahabatan kami, saya jadi sedih dan kecewa. Itu adalah smsnya yang terakhir. Selepas itu saya tidak tahu apa yang terjadi padanya. Saya tidak tahu dia bahagia atau gembira. Saya sudah tidak mahu ambil tahu apa-apa tentang dirinya lagi. Persahabatan kami sudah sampai pada titik noktahnya

Satu hari, setelah berbulan tidak memeriksa emel. Saya dapati ada emel darinya. Aduh! Ternyata dia tidak pernah jemu menghubungi saya. Kandungan emelnya "Kau benar-benar ingin melupakan persahabatan kita, saya add nama kau dalam list fb saya, please check and confirm my request" diikuti dengan icon kartun muka sedih. Rupanya dia tetap saja sahabat saya yang paling baik, yang tidak pernah jemu memujuk agar persahabatan ini kembali bertaut cuma saya saja yang selalu ego. Saya jadi tersentuh dengan segala cubaan yang dia lakukan selama ini untuk merapatkan kembali hubungan persahabatan kami. Akhirnya hati saya jadi lembut. Saya juga tidak ingin persahabatan ini berakhir. Untukmu sahabatmu, semoga kau berbahagia selamanya di sisi lelaki yang kau cintai.

Aku Jatuh Cinta

Ya aku sudah jatuh cinta. Jatuh cinta pada dunia penulisan blog. Dulu aku tidak tahu apa itu blog dan tidak tahu bagaimana hendak mencipta blog. Aku juga tidak tahu apa benda yang perlu ditulis dalam blog. Terima kasih kepada sahabatku yang mula-mula sekali memperkenalkan aku pada dunia blog. Persahabatan kita walau cuma seketika ternyata meninggalkan suatu yang amat bermakna. Darimu aku belajar buat blog. Terima kasih. Kemudian aku belajar bagaimana untuk menambahkan aksesori-aksesori dalam blog seperti bagaimana menambah shoutmix box dan mengubah background blog. Kesemua info ini kuperolehi melalui internet. Kadang-kadang time kerja waktu malam, aku habiskan masa sehingga pagi mencari artikel-artikel tentang blog, tentang bagaimana menambahkan traffic dan banyak lagi. Kadang-kadang aku jadi leka tapi rasa sangat seronok. Blog ini hanyalah blog biasa-biasa yang menceritakan apa-apa saja hal samaada yang aku lalui sendiri, melalui pembacaan mahupun kisah-kisah yang dialami oleh rakan-rakan. Blog ini akan menjadi kenang-kenangan untuk adik-adikku & sahabatku sampai bila-bila. Adik-adikku, mereka adalah simbol kasih sayang dan inspirasiku. Aku jadi kuat dan bersemangat kerana mereka.

03 March 2010

Safiya Humairah Shari

Minggu ini paparan berita samaada melalui media cetak mahupun elektronik agak galak bercerita tentang kematian adik Safiya Humairah Shari, 3 tahun yang mati di tangan kekasih ibunya sendiri. Malah kebanyakan blog yang saya baca turut menceritakan kematian kanak-kanak itu. Ramai yang memaki, mencarut dan mempersalahkan ibu kanak-kanak tersebut. Ramai juga yang melabelkan ibu Safiya Humairah sebagai binatang dan perempuan murahan. Memang kita semua yang punya hati dan nilai kemanusiaan yang tinggi akan turut merasa marah dengan insiden itu. Saya juga merasa agak emosi dengan kisah itu. Bahkan semua kisah yang melibatkan penderaan dan pencabulan ke atas kanak-kanak sangat menyentuh emosi saya. Bagi saya kanak-kanak adalah golongan yang sangat istimewa dan menyenangkan yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang dan kelembutan. Saya tidak tahu mengapa nilai-nilai kemanusiaan dan kekeluargaan semakin longgar hari ini. Manusia sudah tidak peduli dan tidak mahu ambil peduli dengan hal-hal kejiranan. Kisah adik Safiya Humairah (nama yang cantik dan manis) bukanlah kes terpencil, banyak kes seumpama ini telah berlaku dan akan terus berlaku.

Bila nafas si kecil telah terhenti, tangisan dan airmata sudah tidak memberi apa-apa makna. Meraung dan menanggis air mata darah sekalipun, si kecil tidak akan kembali lagi. Biarkan dia pergi dengan aman kerana itu bermakna derita yang ditanggungnya telah pun berakhir. Semoga roh si kecil tenang dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah untuk si kecil Safiya Humairah.

02 March 2010

Zaman Sudah Berubah

Zaman sudah berubah. Benar-benar berubah. Semasa kanak-kanak dulu, saya memerhatikan kanak-kanak sebaya saya yang ketika itu berada dalam lingkungan 5 hingga 12 tahun lebih banyak menghabiskan masa bermain dengan permainan-permainan tradisi seperti bermain guli, congkak, gasing, layang-layang, teng-teng dan sebagainya

Kini pergilah ke kawasan kampung sekalipun, agak sukar untuk melihat permainan tradisi ini dimainkan oleh kelompok kanak-kanak di alaf baru ini. Permainan kanak-kanak di zaman IT telah mengalami perubahan seiring dengan perubahan teknologi yang sedang bertiup kencang. Mereka lebih selesa memilih permainan-permainan komputer seperti 'dress up,''the adventure of sinbad' dan banyak lagi. Dan bukanlah suatu yang asing apabila kanak-kanak sekolah rendah turut mempunyai akaun facebook dan blog sendiri.

Suatu yang agak menakutkan jika kanak-kanak ini dibiarkan tanpa pemantauan sewajarnya daripada ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak ini sangat terdedah kepada ancaman jenayah cyber. Di ruang cyber, mereka bebas 'menemui' orang-orang yang tidak diketahui identitinya. Bahkan orang dewasa turut tidak terkecuali daripada ancaman jenayah cyber. Berhentilah daripada memberikan maklumat yang terperinci di dalam profile mana-mana akaun yang dibuka sama ada dalam facebook, friendster, myspace dan sebagainya. Malangnya, saya perhatikan ramai di antara rakan-rakan saya yang ghairah memberikan maklumat secara detail dari A - Z dalam akaun facebook masing-masing. Jangan sampai satu hari nanti identiti diri anda dicuri. Sebagaimana yang berlaku pada seorang wanita Australia yang kini hidup dalam ketakutan kerana identitinya telah digunakan oleh orang lain yang terlibat dalam pembunuhan komendar Hamas walhal beliau sendiri tidak tahu bagaimana indentitinya boleh dimiliki oleh orang lain.
Beringat-ingatlah kecanggihan teknologi memungkinkan segala-galanya berlaku.

01 March 2010

Ketawa, ketawa & ketawa

"Ceriakan Hari Anda Dengan Senyuman dan Tawa Ria"

Mari ketawa bersama. Lupakan seketika hal-hal yang menyesakkan kepala otak. Ketawalah bersungguh-sungguh sebagaimana anda bersungguh-sungguh menyiapkan sesuatu tugasan. Kadang-kadang kita bertemu dengan orang yang sangat susah untuk tertawa, muka masam dan serius 24jam. Kadang-kadang bila berhadapan dengan situasi yang melucukan, kita dengan mudahnya ketawa terbahak-bahak tapi kawan di sebelah, jangankan tertawa, senyum pun tidak seolah-olah apa yang berlaku langsung tidak lucu. Hehehe menggapa ya? Tapi kita tidak boleh menyalahkan orang-orang yang berperwatakan seperti itu sebab setiap manusia dianugerahkan dengan pelbagai ragam dan sikap yang berbeza. Ada yang mudah senyum, mudah tertawa, mudah menanggis dan sebagainya. Itulah ragam manusia yang unik dan pelbagai.

Mengapa perlu ketawa?


Hidup akan hilang serinya tanpa tawa. Cuba bayangkan jika dunia ini hanya dihuni oleh orang-orang yang serius, sudah tentulah nilai-nilai humor akan lenyap dan pasti akan sangat membosankan dan menambahkan lagi tekanan. Kita perlu ketawa agar tekanan yang dihadapi berkurangan, agar hidup lebih terasa ceria dan membahagiakan. Bahkan ketawa, bukan sahaja membuatkan kita rasa ceria tetapi dari aspek kesihatan ia juga sangat memberi manfaat yang besar. Dr.Alvin Chong, seorang pakar perubatan tidak menafikan bahawa ketawa merupakan suatu terapi yang dapat menghalang pertumbuhan sel kanser dalam badan pengidapnya (Utusan Malaysia 27/2/2010). Bahkan saya juga pernah terbaca, ketawa mampu membuatkan seseorang itu kelihatan awet muda, muda daripada usia sebenar kerana ketawa juga sebenarnya suatu bentuk senaman. Semasa ketawa, urat-urat yang terdapat di sekitar wajah akan turut dirangsang. Menarikkan? Jadi...marilah ketawa bersama :-D.




Tapi macam mana hendak ketawa kalau memang tidak ada benda lucu yang hendak diketawakan? :-) Luangkan masa menonton filem-filem bercorak komedi. Kalau tidak pun, luangkan masa menonton segmen Raja Lawak melalui saluran astro ataupun utube walaupun kadang-kadang adegan Raja Lawak tidaklah terlalu lawak tapi bolehlah daripada ketawa tanpa sebab, nanti lain pula jadinya.