25 August 2011

Bapa Berhati Kejam

Semalam Mymetro memaparkan kisah yang sungguh menyayat hati. Seorang bapa tergamak membunuh tiga orang anaknya sendiri dengan cara menolak ketiga-tiga kanak-kanak tersebut ke dalam kolam hingga mati lemas. Kejadian tersebut berlaku di Ladang Lambak/Elaeis, Mengkibol. Selepas menolak anak-anaknya yang berusia antara dua hingga lima tahun, bapa tersebut yang berumur 29 tahun cuba pula membunuh diri dengan meminum racun. Bagaimanalah agaknya perasaan si ibu? Tentu hancur luluh hatinya bila mendapati ketiga-tiga anak yang dikandung selama sembilan bulan dan kemudian bertarung nyawa ketika melahirkan mereka ke dunia akhirnya pergi serentak dalam sekelip mata dan pembunuh itu pula bukan orang lain melainkan suami sendiri.

Dan hari ini, Mymetro sekali lagi menyiarkan kisah yang hampir sama. Kisah seorang bapa yang telah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan kasih sayang terhadap darah daging sendiri hingga tergamak melakukan cubaan bunuh ke atas anak perempuannya yang hanya berumur empat tahun. Jangan disalahkan anak jika pada satu hari nanti, anak yang cuba dibunuh ini menyimpan dendam dan tidak memperdulikan kehidupan hari tua anda di masa akan datang kerana anda sendiri yang telah menanamkan rasa dendam dan benci di hati kanak-kanak tersebut hari ini. Jangan menyalahkan takdir jika hari tua anda nanti harus berakhir di rumah orang tua-tua atau mungkin lebih baik hari tua anda dihabiskan sepenuhnya di dalam lokap.

Sungguh menyedihkan bila ramai kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa keganasan yang bukan sahaja didera dan dipukul malah ada juga yang menjadi mangsa nafsu sex ahli keluarga sendiri. Kadang-kadang ada para ibu yang mendiamkan diri bila mendapat tahu anak mereka dicabul atas alasan menjaga maruah keluarga. Lebih teruk dari itu saya pernah terbaca seorang ibu sanggup membantu suaminya merogol anak perempuannya sendiri. Jika instituisi kekeluargaan sendiri tidak mampu menyediakan ruang yang selamat buat kanak-kanak ini, ke manakah lagi harus mereka pergi? Setiap kali isu berkaitan kanak-kanak dipaparkan dalam berita, hati saya sangat terusik dan tersentuh kerana saya sangat menyayangi kanak-kanak. Mereka adalah golongan yang sangat menghiburkan dengan pelbagai ragam yang lucu dan menyenangkan.

Wahai para bapa yang berhati kejam, ingatlah anak merupakan amanah Allah dan anugerah yang tidak ternilai harganya.




*gambar diambil dari google

09 August 2011

Salam Ramadhan 2011


Salam ramadhan dan selamat berpuasa buat semua. Sedar tak sedar kita sudah pun berada di minggu ke dua bulan ramadhan. Semoga ibadah puasa yang dikerjakan tahun ini lebih baik dan sempurna berbanding tahun-tahun sebelum ini. Insyaallah...

Setiap kali bulan puasa tiba, saya sentiasa rindu suasana sewaktu bersahur dan berbuka puasa bersama dengan ahli keluarga walaupun menu yang disediakan serba ringkas tetapi rasa seronok menanti pengumuman waktu berbuka jelas terbayang di wajah semua. Bangun sahur adalah suatu yang sangat sukar dilakukan, kadang-kadang terlajak tidur sebab tidak mampu melawan rasa mengantuk. Kalau di kampung, biasanya sekitar jam 3am, beduk dipukul oleh anak-anak muda yang tidur di masjid bertujuan untuk mengejutkan orang-orang kampung untuk bangun bersahur. Begitu juga waktu buka puasa, beduk akan dipukul menandakan telah masuk waktu maghrib dan waktu berbuka puasa.

Sendirian tanpa ahli keluarga kadang-kadang membuatkan saya benar-benar terasa sayu dan keseorangan. Tapi lama-kelamaan berbuka puasa sendirian seakan sudah sebati dengan saya. Tidak ada apa yang perlu disedihkan. Lagipun selalunya saya akan balik bercuti dua hari sebelum hari raya jadi sempat jugalah berbuka puasa dengan ahli keluarga. Cuma tahun ini, peluang untuk cuti beraya seakan amat tipis dan mungkin terpaksa kerja di pagi raya pula uwaaaaaa....







Lebih Baik Ada Walaupun Sedikit

Bersyukurlah...
Walaupun pengumuman bonus yang diberikan cuma untuk setengah bulan gaji. Daripada tiada langsung bonus diberikan, lebih baiklah ada walaupun jumlahnya sangatlah kecil dengan bayaran minimun rm500.

'Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimun rm500 kepada 1.27 juta penjawat awam Persekutuan bulan ini. Perdana Menteri juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak rm500 kepada 590 000 pesara kerajaan. Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 billion' -utusan online


~~~~~~~~~~Alhamdulillah~~~~~~~~~~



08 August 2011

Musibah di bulan Ramadhan

Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh petang semalam di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil Cameron Highlands. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi situasi menyedihkan ini. Kehilangan ahli keluarga dengan cara yang amat tragis pastinya meninggalkan kesan trauma yang sangat dalam di hati mereka apatah lagi dalam suasana menyambut hari raya yang akan menjelang tidak lama lagi.

"Dada saya seperti ditekan-tekan oleh 10 orang dewasa, tangan kanan tidak boleh bergerak. Saya hanya bergantung kepada tangan kiri mengorek lubang sepantas yang boleh bagi mendapatkan udara.. " Ia adalah pengalaman ngeri yang dilalui oleh Bah Anjang Besar Alang, salah seorang mangsa dalam kejadian tanah runtuh tersebut - sumber: utusan online

Sekalipun tidak berada di kawasan tersebut, saya seolah dapat merasakan kepedihan yang ditanggung oleh mereka. Seolah terbayang di ruang mata saya, para mangsa meronta cuba menyelamatkan diri sebelum akhirnya mereka lemas tidak berdaya dan nafas pun terhenti.