09 December 2012

Istiqamah

Dalam kembara menuju pengabdian diri kepada Allah s.w.t terlalu banyak ujian datang melanda. Hinggakan kadang-kadang terfikir kenapa harus terjadi begini? Aduhai, semoga saja semua ujian ini akan menjadikan saya lebih kuat dalam memperbaiki amal ibadah saya. Adakalanya orang-orang di sekeliling agak sukar menerima perubahan diri yang ingin kita lakukan. Saya cuma mahu menjadi manusia yang lebih baik berbanding tahun-tahun lalu yang saya tinggalkan. Manusia yang patuh kepada suruhan Allah s.w.t. Terlalu banyak dosa yang telah saya lakukan selama ini. Terlalu banyak arahan Allah s.w.t yang saya ingkari. Semoga kesedaran yang mula bercambah dalam diri ini akan terus berkekalan sehinggalah maut menjemput. Saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang. Saya bertekad mahu memperbaiki ibadah-ibadah saya. Rasa takut mencengkam kuat dalam jiwa saya. Saya takut kalau-kalau saya dijemput menemuiNya dalam keadaan tidak bersedia.

Selama ini bukannya saya tidak bersolat, tetapi adakalanya saya bersolat mengikut 'mood' dan sering juga saya hanya datang kepadaNya ketika saya memerlukanNya. Kali ini saya mahu betul-betul menjaga ibadah saya, menjaga solat saya diiringi dengan solat-solat sunat Qabliyah dan Baadiyah, bangun bertahajud di tengan malam, membaca Al-Quran dan melakukan solat Dhuha ketika matahari mula naik dan berpuasa. Saya lakukan sendirian. Tidak saya ceritakan kepada sesiapa pun yang saya mahu berubah ke arah hidup yang lebih bermakna walaupun kepada ahli keluarga terdekat. Bagi saya ia adalah soal peribadi antara saya dan Allah s.w.t. Tujuan saya cuma satu: Mendapatkan keampunan dan redha Allah s.w.t.

Saya sedar ada di antara mereka yang perasaan perubahan diri saya bila saya mula menjauhkan diri daripada hal-hal yang tidak bermanfaat untuk kehidupan di akhirat kelak. Saya juga sedar mereka menyedari perubahan saya bila sms-sms yang menjurus kepada perbualan yang sia-sia tidak lagi begitu saya hiraukan. Kadang-kadang sukar untuk saya terangkan yang saya mahu berubah kerana saya tidak mahu dilabel sebagai riak. Di blog ini saya bebas menulis apa yang tersimpan dalam hati saya kerana tiada siapa pun yang mengenali saya di sini.

Waktu di antara jam 6.00 petang - jam 7.00 petang adalah waktu yang saya peruntukkan khusus untuk saya bersendirian. Bermonolog dengan Allah s.w.t di atas hamparan sejadah. Biarkanlah masa sejam ini khusus buat diri saya sendiri kerana baki 23 jam lagi telah saya peruntukkan untuk hal-hal yang tidak bermanfaat. Jadi berbanyak maaf saya pinta jika ada sms atau panggilan telefon yang tidak saya layan di antara waktu ini. Apalah ertinya mulut membaca Kalam Allah, sedang jari jemari ligat menekan huruf berbalas umpatan. Jika perubahan ini menyebabkan saya kehilangan mereka yang akrab dengan saya selama ini, saya redha. Tidak mengapa kerana saya lebih takut kehilangan Allah dalam hidup saya. Jika ia merupakan ujian dari Allah, saya juga bersedia menghadapinya. Semoga Allah akan sentiasa memberikan saya dan anda semua sekeping hati yang kuat untuk terus istiqamah. Tidak mengapa jika kehilangan kawan-kawan kerana di dunia ini kawan akan datang dan pergi silih berganti. Saya yakin Allah tidak akan membiarkan kita sendirian menghadapi kesulitan-kesulitan hidup ini.

Bagaimana dan apa yang mendorong saya untuk berubah, ia biarlah menjadi rahsia peribadi saya.