07 March 2013

Sultan Sulu Mohon Gencatan Senjata

Entah apa lagi agaknya taktik yang sedang dirancang oleh kumpulan penceroboh ini bila Jamalul Kiram III yang mengaku Sultan Sulu memohon gencatan senjata bagi mengelakkan lebih banyak kematian. Berita lanjut disini. Namun bak kata pepatah 'pisang takkan berbuah dua kali' Malaysia mengambil pendirian tegas menolak gencatan senjata tersebut. Berita lanjut disini

Ia tindakan yang wajar memandangkan sebelum ini anggota keselamatan kita telah dipermainkan oleh kumpulan penceroboh ini yang kononnya mahu menyerah diri dengan mengibarkan bendera putih tetapi sebaliknya anggota keselamatan kita telah diserang dan terkorban.


03 March 2013

Khabar Duka Dari Sabah

Kematian wira negara 1 Mac lalu dalam misi mempertahankan kedaulatan negara daripada pencerobohan luar amatlah dihargai. Sayu hati saya melihat anak allahyarham ketika diwawancara. Kanak-kanak itu begitu tenang memberitahu ayahnya mati kena bom. Dan ketika melihat gambar wira-wira yang terkorban, saya berperang dengan emosi sendiri. Seaakan-akan menitik air mata saya melihat gambar-gambar tersebut. Buatmu wira-wira negara, bersemadilah dengan aman. Kami anak Malaysia yang lahir di era merdeka akan sentiasa menyanjung tinggi pengorbanan kalian dan bumi Sabah ini adalah bumi kita bersama - Bumi Malaysia yang akan tetap dipertahankan untuk selamanya.

Keadaan di sini buat masa ini adalah terkawal. Kawalan keselamatan di sepanjang jalan dan kawasan perairan di seluruh kawasan Sabah masih diperketatkan. Walau bagaimanapun, rata-rata penduduk Sabah masih dihantui rasa cemas dan berada dalam keadaan berjaga-jaga ekoran daripada insiden tembak-menembak yang berlaku di kg. Tanduo Lahad Datu beberapa hari lalu. Ditambah lagi dengan kejadian tembak-menembak terbaru yang berlaku semalam di daerah Semporna. Walaupun kuarters kediaman saya terletak berhampiran kawasan PGA tetapi jauh di sudut hati saya tetap tersimpan rasa risau dan cemas apalagi bila khabar-khabar angin menyatakan kemungkinan ada tentera Sulu telah mendarat di Kudat. Dua, tiga hari ini saya benar-benar cemas dan risau. Telefon bimbit saya tidak pernah berhenti berdering sejak dari awal pagi hingga larut malam. Ketenangan negeri di bawah bayu telah tercemar. Saya berharap agar semua ini akan berakhir secepat mungkin.

Penyebaran maklumat yang tidak tepat di media-media sosial telah menambahkan lagi keadaan cemas ini sekaligus menimbulkan suasana tidak menentu. Buat masa ini, adalah lebih baik kita bertenang dan mematuhi kesemua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan.

Pada akhirnya...tiada siapa yang dapat membantu kita, melainkan Allah s.w.t.

" Aku cintakan kedamaian dan keamanan sejagat. Aku menyanjung tinggi peradaban tata susila dan nilai kemanusiaan. Aku bencikan peperangan, konflik, sengketa dan anarki kerana jiwaku penuh dengan rasa perikemanusiaan, kasih sayang dan perdamaian..."