15 February 2010

Mengapa 14Feb?


14 Febuari sentiasa dinantikan oleh setiap pasangan kekasih kerana pada tarikh inilah kononnya hari yang paling ideal untuk mengungkapkan kasih yang terpendam selama ini. Benarkah begitu?? Mengapa perlu diperuntukkan satu hari khusus untuk menyatakan rasa sayang tersebut? Paling utama, apakah sambutan ini selari dengan tuntuan Islam?

Prof Madya Dr.Khadijah Mohd Khambali@Hambali (Pensyarah Jabatan Akidah & Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, UM) dalam utusan 14 Feb 2010 menyatakan bahawa hari valentine diambil dari nama seorang paderi yang cuba menyebarkan ajaran kristian di Rom. Masyarakat Rom ketika itu, menyambut perayaan kasih sayang pada setiap 15 Februari dan menyembah tuhan Lupercus yang berperanan menjaga kebajikan dan pertanian masyarakat Rom. Selepas musim menuai, sebagai tanda dedikasi kepada tuhan mereka, masyarakat Rom akan menyambutnya dengan penuh kasih sayang dan kesyukuran. Ketika St.Valentino tiba di Rom untuk menyebarkan ajaran Kristian, para remaja yang belum berkahwin telah diminta agar mengikuti latihan ketenteraan. Mereka yang bercinta tidak sanggup meninggalkan kekasih masing-masing. Justeru mereka menemui St.Valentino. St.Valentino pada masa itu menyebarkan bentuk kasih sayang dengan mengahwinkan mereka mengikut upacara perkahwinan kristian. Akhirnya semakin ramai yang menemui St.Valentino untuk berkahwin dan tidak mengikuti latihan ketenteraan. Apabila perkara ini diketahui pemerintah Rom, St.Valentino dipenjarakan dan akhirnya dibunuh. Sebelum dibunuh seorang pengawal penjara yang anaknya buta telah datang menemui St.Valentino. Anak yang buta itu tertarik dengan kisah St.Valentino walaupun belum bertemunya. St.Valentino sempat memberi kata-kata perangsang kepada anak pengawal yang buta itu untuk terus hidup. Pada awalnya gadis itu mahu membunuh diri. Bermula dari kisah itu, sebagai memperingati jasa St.Valentino, perayaan kepada tuhan Lupercus dan tuhan Juno disimbolikkan dalam perayaan Valentine's Day.

Malangnya ramai yang merayakan sambutan valentine's day tanpa mempedulikan batasan halal dan haram.Tambah mendukacitakan sebaik sahaja Valentine's Day bermula, ramai anak-anak muda yang tergelincir daripada landasan kehidupan yang suci murni dengan pelbagai pesta dan sebaginya. Semoga kesedaran akan berputik kembali di jiwa kita semua bahawa hidup ini hanyalah sementara. Segala keseronokan pesta pora ini akan tetap ditinggalkan apabila nadi berhenti berdegup. Jadikan setiap hari yang kita lalui sebagai hari-hari yang penuh dengan kasih sayang dan ketulusan. Justeru tidak perlulah ditunggu hingga 14 Febuari untuk menyatakan rasa sayang kerana kita tidak pernah tahu apakah kita berkesempatan untuk hidup sehingga 14 Februari pada tahun-tahun akan datang. Jadi, nyatakan saja rasa sayang anda pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Nyatakan tanpa ragu-ragu selagi belum terlambat.

Kepada anak-anak muda yang tergelincir daripada landasan kehidupan, berilah mereka peluang memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan. Mereka juga manusia biasa yang gagal melawan emosi muda. Hulurkan kasih sayang kepada mereka. Sesungguhnya jiwa-jiwa itu sangat mendambakan kasih sayang namun disebabkan salah percaturan, mereka menemukan kasih sayang yang salah, yang hanya menghancurkan diri dan masa depan. Semoga dengan kasih sayang yang tulus, hati-hati itu akan kembali lembut dan bercahaya. "Ya Allah, sesungguhnya hati dan jiwa ini sangat rapuh, justeru itu selamatkanlah hati dan jiwa ini daripada menjadi mangsa godaan dan bisikan syaitan dan iblis laknatullah. Jadikan hati ini sentiasa tenang, tenteram, redha dan ikhlas menerima setiap ketentuan yang telah Engkau lakarkan dalam perjalanan hidupku ini..."

***Hayati sebahagian daripada lirik lagu mari shalawat-wali band ini***

Daripada kita pacaran
Lebih baik kita sholawatan
Daripada kita berduaan
Nanti bakal dihasut setan

Awas jangan dekat-dekatan
Kita 'kan belum ada ikatan
Daripada dekat-dekatan
Mending kita sholawatan

No comments:

Post a Comment