03 March 2011

Pemanduan Berhemah

Yeah akhirnya hari yang ditunggu-tunggu (1 Mac) pun tiba. Mula-mulanya saya bercadang selepas balik dari kerja pagi 1 Mac tu, saya hendak terus balik ke KK tapi memandangkan cuaca yang tidak berapa baik sejak dari malam ditambah lagi dengan tahap mengantuk yang melampau saya mengambil keputusan untuk balik rumah dan tidur untuk beberapa jam bagi menghilangkan rasa mengantuk dan juga untuk menunggu hujan lebat berhenti. Petang itu baru saya bertolak ke KK. Nasib baik hujan lebat tidak berterusan. Saya bukanlah seorang yang suka memandu apalagi kalau terpaksa memandu dalam tempoh masa yang lama. Kalaulah ada pilihan, saya lebih suka menggunakan pengangkutan awam tapi yang lecehnya di sini pengangkutan awam yang ada cuma pacuan empat roda dan hanya ada 1 biji bas yang beroperasi tapi ia bertolak sekali sehari sahaja ke KK. Pengangkutan udara (MAS Wing) pula hanya ada dua kali penerbangan iaitu setiap hari Isnin petang dan Khamis petang. Saya terpaksa juga memandu kereta ke KK sebab saya perlu hantar kereta untuk service dan seperti biasalah semua urusan service menservice ini bukan saya yang lakukan. Saya sangat berterima kasih kepada suami adik saya yang sentiasa menghulurkan bantuan. Sebenarnya urusan membeli kereta ini dahulu pun dia yang uruskan. Saya cuma bagi duit dan semuanya dia yang uruskan. Saya hanya turun untuk mendatanggani beberapa dokumen dengan pihak bank. Urusan memperbaharui road tax dan insuran pun dia yang lakukan. Banyak sebenarnya yang dia uruskan. Selepas hantar kereta untuk diservis, dia jugalah yang akan hantar kereta saya ke bengkel untuk baiki bumper yang hampir tercabut gara-gara terlanggar kereta kawan beberapa bulan yang lalu. Hurmmmm...terima kasih, semoga kalian berdua akan sentiasa bahagia dan murah rezeki.

Pemanduan berhemah saya pun bermula sejak saya meninggalkan kuarters. Best rasanya memandu dalam suasana petang yang tidak terlalu panas sambil mendengar muzik. Woww... hati saya mudah tersentuh bila melihat keindahan dan kehijauan alam di kiri kanan, bagaikan berada di hutan belantara. Di depan saya adalah kawasan bukit bukau yang sedang dilitupi kabus. Kabus putih kelihatan bergerak perlahan-lahan meliputi kawasan perbukitan. Sekali sekala saya mematikan aircond kereta dan membiarkan udara segar dari luar mengambil alih peranan aircond kereta saya. Rasa tenang dan tenteram. Saya memang cintakan kedamaian. Saya cintakan keindahan dan kehijauan alam. Semua itu mampu memberikan rasa tenteram di jiwa saya. Bagi saya, 'alam itu mendamaikan dan kedamaian itu suatu yang indah'. Saya benci suasana bandar yang di kiri kanan hanya kelihatan tembok-tembok batu yang bisu. Setiap kali memandang tembok-tembok batu dan bangunan-bangunan konkrit, ia hanya menimbulkan rasa tegang dan stress dalam jiwa saya. Saya juga bencikan kehidupan bandar kerana di dalamnya hidup ramai manusia hipokrit yang mementingkan diri sendiri, mementingkan nilai material, status dan juga semakin hilang nilai-nilai kemanusiaan. Sebab itu jika diminta membuat pilihan, saya lebih suka suasana kampung. Suasana kampung yang bukan sahaja nilai tradisi dan kemasyarakatannya tetap utuh tapi keindahan alamnya juga tidak terusik dan pada masa yang sama pembangunan dari segi kemudahan asas tetap dapat dinikmati. Saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya.

Pemanduan berhemah dan susana tenang yang saya lalui sebentar tadi mula terganggu apabila tiba di kawasan Ulu Kukut. Huh..benar-benar merimaskan bila memandu di atas jalan raya yang teruk dengan lubang-lubang besar di kiri, kanan bahkan di tengah-tengah jalan pun ada lubang. Jalan ini satu-satunya jalan yang tidak pernah sempurna sejak dulu. Masa saya balik bercuti hari raya haji dahulu, keadaan jalan ini masih boleh dikira baik tapi baru beberapa bulan, keadaan jalan ini kembali jadi buruk dan teruk. Saya cuma berdoa dalam hati agar cepat sampai ke destinasi dituju. Saya rimas memandu, rimas menekan brek, rimas mengelak lubang-lubang yang berselerakan dan juga rimas kerana semua kereta terpaksa memperlahkankan kereta masing-masing dengan kelajuannya hanya 20-40km/j !! Walaupun berhati-hati agar tayar kereta tidak termasuk ke dalam lubang tapi ada masanya saya gagal juga mengelak. Aduhhh sakit hati saya bila tiba-tiba tayar kereta saya termasuk dalam lubang dengan bunyi dentuman yang sangat kuat dan menyakitkan hati. Saya kira pasti ada bahagian kereta saya yang sudah kemek tapi nasib baiklah tidak ada bahagian yang kemek. Saya cepat-cepat turun dan memeriksa kereta saya sewaktu saya berhenti rehat sekejap untuk membeli minuman/makanan ringan di simpang Kudat-Kota Marudu.

Selesai membeli makanan dan minuman saya meneruskan semula perjalanan. Kali ini perjalanan agak baik. Keadaan jalan raya juga semakin baik tapi masalah lain pula yang menganggu kelancaran pemanduan saya. Bila menghampiri kawasan Kota Belud, laju kereta terpaksa diperlahankan lagi sekali dan perlu lebih fokus kerana di sini anda akan sentiasa bertembung dengan kumpulan para lembu yang sedang 'berjogging' di tepi jalan atau kadang-kadang sampai masuk ke tengah-tengah jalan. Kalau lembu tu memang lembu jugalah, menyusahkan para pemandu dan pengguna jalan raya yang lain. Tuan punya lembu ni pun satu, sediakanlah kandang untuk lembu-lembu tu. Jangan biarkan lembu-lembu tu berkeliaran seolah-olah jalan raya tu lembu tu yang punya. Emmmm lembu tetap lembu.

Dan akhirnya saya pun selamat tiba di KK. Lepas hantar kereta dan makan malam saya terus check in hotel sebelum menyambung perjalanan balik ke kampung esok harinya dengan menaiki bas pula :-)


2 comments: