06 January 2016

Di Sebalik Duka Ada Suka


Masih lagi berkisar cerita tahun 2015. Disebalik cerita duka yang kami sekeluarga lalui, sebenarnya masih terselit beberapa siri cerita suka yang kami tempuh. Cerita suka yang sekurang-kurangnya dapat menghiburkan hati yang sedang berduka. Antaranya pencapaian cemerlang yang diperolehi oleh anak-anak saudara dalam bidang akademik. Mereka adalah anak-anak abang dan kakak saya. Masing-masing berjaya mendapat 5A dalam UPSR , 10A 1B dalam peperiksaan tingkatan 3 (PT3), 8A 3Bdalam peperiksaan SPM dan seorang lagi alhamdulillah berjaya menamatkan pengajian di UMS dan seorang lagi mendapat tawaran belajar di Uitm Kuching. Alhamdulillah.. semoga mereka menjadi anak-anak yang berguna bukan sahaja untuk diri dan keluarga tapi berguna untuk masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Saya juga berharap agar mereka tidak menjadi anak-anak yang sombong dan  bongkak dengan kecerdasan akal fikiran yang dimiliki kerana sesungguhnya semua itu hanyalah pinjaman dari Allah. Semoga mereka kekal menjadi anak-anak yang tinggi nilai kemanusiaannya dan meletakkan Allah adalah segala-galanya.

Jika pembukaan tahun 2015, bermula dengan kisah duka sebaliknya penghujung 2015 pula berakhir dengan suatu cerita suka. Gembira rasa hati bila mengetahui status permohonan pinjaman perumahan saya dan adik saya lulus. Di sini bukan soal lulusnya permohanan rumah yang ingin saya ketengahkan. Apa yang ingin saya sampaikan adalah, hidup ini penuh dengan aneka ragam dan warna. Suka dan duka akan silih berganti mewarnai  perjalanan kehidupan kita. Tidaklah wajar jika kita memandang hidup ini penuh dengan peristiwa duka sahaja. Cuba semak semula anda pasti akan menemukan tidak semuanya bersifat duka, pasti ada suka terselit walaupun ia mungkin hanya peristiwa kecil. Sekecil apapun peristiwa yang telah membuatkan anda merasa gembira, merasa bernyawa kembali maka hargailah peristiwa itu. Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup kita bukannya berlaku dengan sia-sia. Ada pengajaran tersembunyi di sebalik semua peristiwa yang terjadi itu. Kaji dan hayatilah.

No comments:

Post a Comment