Banyak kisah duka
berlaku dalam keluarga saya sepanjang tahun 2015. Semoga 2016 ini semua kisah
duka itu bertukar menjadi khabar suka yang menggembirakan hati semua orang.
Tirai 2015 tahun lalu bermula dengan khabar duka perginya bapa saya ke alam
sana iaitu pada 5 Januari 2015. Hingga ke hari ini masih ada saki baki tanggis
dan ingatan yang terpendam jauh di sudut hati ini. Sebuah kerinduan yang tidak
akan pernah terungkai, kekal dalam ingatan selamanya.
Selang beberapa bulan kemudian nenek saya iaitu nenek sebelah
ibu saya pula meninggal dunia. Disusuli kemudiannya dengan kematian kakak
sepupu saya akibat kanser tiroid. Kakak sepupu ini satu-satunya kakak sepupu
yang sangat rapat dengan kami. Selepas kematian bapa saya, kakak sepupu inilah
yang sering menemani ibu saya di rumah. Kematiannya meninggalkan kesan yang
sangat mendalam di hati kami. Satu persatu orang-orang yang ada di sisi kami
dijemput pulang menghadap Tuhan. Semua itu adalah ketetapan Ilahi. Tiada siapa
yang dapat menolak kematian kerana setiap jiwa pasti akan
mati. Dan mati itu sebenarnya tidak memerlukan sebab. Jika Allah
mengkehendaki kita mati, maka berakhirlah episode kehidupan manusia di atas
muka bumi ini. Sakit hanyalah salah satu penghubung antara kehidupan dan
kematian.
Kemudian pada Ogos tahun lalu, adik saya (kedua-dua orang
adik saya) pula menjalani pembedahan. Adik saya yang pertama menjalani
pembedahan untuk membuang fibroidnya di Damai Specialist Kota Kinabalu.
Alhamdulillah 3 biji fibroid yang sangat
besar berjaya dikeluarkan. Semoga selepas ini adik saya akan terus sihat dan
ceria. Saya ingin melihat wajahnya sentiasa mempamerkan senyuman yang
membahagiakan. Semoga segala peristiwa duka
yang pernah menyelubungi perjalanan hidupnya akan segera berlalu pergi. Adikku:
“Selepas
awan kelabu berarak pergi, pelangi pasti muncul, langit pasti kembali cerah
membiru..”
Adik bongsu saya juga menjalani pembedahan pada November lalu
untuk membuang gumpalan cecair di lehernya. Lehernya menjadi besar dan
seolah-olah ada ketulan isi yang bergerak-gerak bila disentuh. Tiga hari dia
terpaksa bermalam di hospital. Saya juga mengharapkan agar adik saya ini terus
sihat dan ceria. Bahkan saya berharap agar semua orang akan sentiasa diberikan
kesihatan mental dan fizikal yang baik. Sentiasa bahagia, ceria dan bersemangat
menempuh perjalanan hidup yang penuh ranjau berliku. Insyaallah.
Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk bangkit semula dari semua
rasa duka yang melukakan. Kami ini lemah Ya Allah. Tiada daya dan upaya kami
melainkan dengan pertolongan dariMu. Engkaulah yang mengenggam segala urusan
kehidupan kami di atas muka bumi ini maka aturkanlah perjalanan hidup kami ini
sesuai dengan kehendakMu.
No comments:
Post a Comment