06 January 2016

Di Sebalik Duka Ada Suka


Masih lagi berkisar cerita tahun 2015. Disebalik cerita duka yang kami sekeluarga lalui, sebenarnya masih terselit beberapa siri cerita suka yang kami tempuh. Cerita suka yang sekurang-kurangnya dapat menghiburkan hati yang sedang berduka. Antaranya pencapaian cemerlang yang diperolehi oleh anak-anak saudara dalam bidang akademik. Mereka adalah anak-anak abang dan kakak saya. Masing-masing berjaya mendapat 5A dalam UPSR , 10A 1B dalam peperiksaan tingkatan 3 (PT3), 8A 3Bdalam peperiksaan SPM dan seorang lagi alhamdulillah berjaya menamatkan pengajian di UMS dan seorang lagi mendapat tawaran belajar di Uitm Kuching. Alhamdulillah.. semoga mereka menjadi anak-anak yang berguna bukan sahaja untuk diri dan keluarga tapi berguna untuk masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Saya juga berharap agar mereka tidak menjadi anak-anak yang sombong dan  bongkak dengan kecerdasan akal fikiran yang dimiliki kerana sesungguhnya semua itu hanyalah pinjaman dari Allah. Semoga mereka kekal menjadi anak-anak yang tinggi nilai kemanusiaannya dan meletakkan Allah adalah segala-galanya.

Jika pembukaan tahun 2015, bermula dengan kisah duka sebaliknya penghujung 2015 pula berakhir dengan suatu cerita suka. Gembira rasa hati bila mengetahui status permohonan pinjaman perumahan saya dan adik saya lulus. Di sini bukan soal lulusnya permohanan rumah yang ingin saya ketengahkan. Apa yang ingin saya sampaikan adalah, hidup ini penuh dengan aneka ragam dan warna. Suka dan duka akan silih berganti mewarnai  perjalanan kehidupan kita. Tidaklah wajar jika kita memandang hidup ini penuh dengan peristiwa duka sahaja. Cuba semak semula anda pasti akan menemukan tidak semuanya bersifat duka, pasti ada suka terselit walaupun ia mungkin hanya peristiwa kecil. Sekecil apapun peristiwa yang telah membuatkan anda merasa gembira, merasa bernyawa kembali maka hargailah peristiwa itu. Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup kita bukannya berlaku dengan sia-sia. Ada pengajaran tersembunyi di sebalik semua peristiwa yang terjadi itu. Kaji dan hayatilah.

Imbasan 2015



Banyak kisah  duka berlaku dalam keluarga saya sepanjang tahun 2015. Semoga 2016 ini semua kisah duka itu bertukar menjadi khabar suka yang menggembirakan hati semua orang. Tirai 2015 tahun lalu bermula dengan khabar duka perginya bapa saya ke alam sana iaitu pada 5 Januari 2015. Hingga ke hari ini masih ada saki baki tanggis dan ingatan yang terpendam jauh di sudut hati ini. Sebuah kerinduan yang tidak akan pernah terungkai, kekal dalam ingatan selamanya.


Selang beberapa bulan kemudian nenek saya iaitu nenek sebelah ibu saya pula meninggal dunia. Disusuli kemudiannya dengan kematian kakak sepupu saya akibat kanser tiroid. Kakak sepupu ini satu-satunya kakak sepupu yang sangat rapat dengan kami. Selepas kematian bapa saya, kakak sepupu inilah yang sering menemani ibu saya di rumah. Kematiannya meninggalkan kesan yang sangat mendalam di hati kami. Satu persatu orang-orang yang ada di sisi kami dijemput pulang menghadap Tuhan. Semua itu adalah ketetapan Ilahi. Tiada siapa yang dapat menolak kematian kerana setiap jiwa pasti akan mati. Dan mati itu sebenarnya tidak memerlukan sebab. Jika Allah mengkehendaki kita mati, maka berakhirlah episode kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Sakit hanyalah salah satu penghubung antara kehidupan dan kematian.

Kemudian pada Ogos tahun lalu, adik saya (kedua-dua orang adik saya) pula menjalani pembedahan. Adik saya yang pertama menjalani pembedahan untuk membuang fibroidnya di Damai Specialist Kota Kinabalu. Alhamdulillah 3 biji  fibroid yang sangat besar berjaya dikeluarkan. Semoga selepas ini adik saya akan terus sihat dan ceria. Saya ingin melihat wajahnya sentiasa mempamerkan senyuman yang membahagiakan. Semoga segala peristiwa duka  yang pernah menyelubungi perjalanan hidupnya akan segera berlalu pergi. Adikku: “Selepas awan kelabu berarak pergi, pelangi pasti muncul, langit pasti kembali cerah membiru..”


Adik bongsu saya juga menjalani pembedahan pada November lalu untuk membuang gumpalan cecair di lehernya. Lehernya menjadi besar dan seolah-olah ada ketulan isi yang bergerak-gerak bila disentuh. Tiga hari dia terpaksa bermalam di hospital. Saya juga mengharapkan agar adik saya ini terus sihat dan ceria. Bahkan saya berharap agar semua orang akan sentiasa diberikan kesihatan mental dan fizikal yang baik. Sentiasa bahagia, ceria dan bersemangat menempuh perjalanan hidup yang penuh ranjau berliku. Insyaallah.


Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk bangkit semula dari semua rasa duka yang melukakan. Kami ini lemah Ya Allah. Tiada daya dan upaya kami melainkan dengan pertolongan dariMu. Engkaulah yang mengenggam segala urusan kehidupan kami di atas muka bumi ini maka aturkanlah perjalanan hidup kami ini sesuai dengan kehendakMu.