29 October 2009

Adik,Cekalkan Hatimu

Adik-adikku, jangan biarkan hari-hari yang kita lalui terasa kosong dan suram. Kita harus berani menghadapi realiti. Kita juga harus berani bangkit semula meskipun pelbagai ujian dan cabaran getir menanti di setiap lorong kehidupan yang kita lalui. Tiada gunanya membiarkan airmata jatuh berguguran dan menyesali takdir yang terjadi. Jadilah manusia yang hatinya cekal bukan kepalang. Jangan biarkan emosi menguasai fikiran. Kepada mereka yang sedang patah hati, simpanlah airmatamu. Percaya dan yakinlah bahawa disetiap kegetiran yang ditempuh, ada bahagia yang sedang menanti....

Dan kepada mereka yang patah hati kerana cinta tidak kesampaian,usah berlagu hiba.Persiapkan diri untuk menjadi lebih kuat dan tabah. Cinta itu memang indah dan buta. Cinta itu juga penuh dengan nilai-nilai abstrak dan suspen yang adakalanya sukar untuk kita jangkakan kesudahannya. Adakalanya cinta itu membuatkan kita tertawa riang dan adakalanya membuatkan kita menanggis. Namun apa pun definisi cinta yang diberikan, berpada-padalah dalam mencintai seseorang kerana cinta sesama manusia adakalanya akan berubah mengikut edaran waktu namun cinta pada Yang Maha Kuasa adalah cinta sejati. Semoga Tuhan menemukan aku dengan cinta sejatiku.








28 October 2009

Memori



Kau pergi
Meninggalkan rasa kosong yang lara
Ketika hati mula menyanyikan lagu rindu
Rupa-rupanya yang berkumandang hanyalah sendu
Ternyata sungguh menyeksakan bila rindu sudah tidak berjawab

Tuhan
Tunjukkan aku jalan keluar
Tolong hentikan derita jiwa ini

Aku kesal
Dia pergi
Membawa hatiku yang tersayat
Pedih oleh luka
Lalu bergenanglah airmata membasahi segenap ruang jiwa

Sakit sekali bila rasa cinta berantakan
Aku bersumpah untuk tidak jatuh cinta lagi
Meskipun satu hari nanti cinta datang lagi menyapa kehidupanku
Akan kuusir ia agar menjauh
Nyahlah engkau cinta
Aku ingin sendiri