26 June 2016

Dendrobium Anosmum Berkembang Lagi

Haaa...orkid Dendrobium Anosmum kakak saya berkembang lagi. Suka sangat bila tengok bunga-bunga yang ditanam berbunga cantik. Awalnya orkid ini arwah bapa saya yang tanam tapi sekarang kakak saya yang ambil alih menjaga kesemua orkid tinggalan arwah bapa saya. 


Ini pula spesis orkid Dendrobium Anosmum yang baru dibeli oleh kakak saya. Sekali tengok macam sama tapi sebenarnya berbeza dari segi bentuk dan warna. Cantikkan.

Satu lagi spesis Dendrobium yang dimiliki oleh arwah bapa saya ialah Dendrobium Crumenatum. Ianya berbunga putih bersih.


Tidak lama lagi penuhlah kawasan rumah saya di kampung dengan pondok-pondok orkid. Menanam orkid bagi saya agak leceh. Sesetengah orkid ada yang tahan panas dan ada juga yang memerlukan sedikit sahaja cahaya matahari. Kalau terlebih siram pula,  akarnya akan mereput. Belum lagi pokok orkid diserang penyakit. Tapi rasa puas sangat bila pokok orkid yang ditanam berbunga. 

Harganya juga kadang-kadang boleh mencecah hingga ribuan ringgit terutama bagi spesis orkid yang sukar didapati. Huh kalau sudah mencecah ribuan ringgit harganya, kena pikir bukan setakat dua kali tapi beribu kali sebelum beli. Saya pernah mencuba menanam orkid di kuartes tapi sayangnya orkid-orkid itu mati. Mungkin sebab pendedahan kepada cahaya matahari yang berlebihan. Hanya satu orkid sahaja yang saya tanam mampu bertahan hingga ke hari ini iaitu orkid di bawah ini: 


Ini adalah orkid Coelogyne Rochussenii. Hanya sekali orkid ini pernah berbunga. Dan yang paling penting, orkid ini adalah pemberian arwah bapa saya. Gambar-gambar orkid atau bunga-bungaan yang lain akan terus saya kongsikan jika ada yang berbunga.


22 June 2016

Lepas Berkebun, Kita Menjahit Pula

Saya baru mula berjinak-jinak belajar menjahit. Semuanya disebabkan rasa teruja melihat pelbagai jenis baju kanak-kanak yang dikongsi oleh rakan-rakan facebook. Lalu saya pun berangan-angan, alangkah seronoknya kalau saya juga memiliki kemahiran menjahit baju. Sudah tentu saya akan jahitkan baju-baju gaun yang comel untuk anak-anak buah saya. Walaupun tanpa kemahiran dan tanpa menghadiri sebarang kursus menjahit secara formal saya yakin saya boleh menjahit. 

Hasil jahitan buat permulaan ini agak kurang kemas dan cantik tapi saya akan terus berusaha menghasilkan hasil jahitan yang lebih kemas dan cantik. Siapa tahu bila pencen nanti (insyaallah jika umur panjang) saya boleh mengisi masa dengan menjahit. 

Hasil jahitan pertama saya ;-) 
Masih banyak perlu dibaiki



Rose Jepun

Rose Jepun atau dikenali juga sebagai bunga pukul sembilan adalah bunga yang sangat mudah ditanam dan kerap berbunga setiap hari terutamanya di waktu pagi. Terdapat pelbagai variasi rose jepun samaada dari segi bentuk mahupun warnanya. Bunga ini perlukan cahaya matahari yang banyak jadi sangat sesuai ditanam di kawasan laman terbuka yang terdedah dengan cahaya matahari. Satu kelemahan bunga ini ialah ia mudah diserang ulat-ulat putih atau dikenali juga sebagai bena. Serangan bena akan menyebabkan batang bunga menjadi buruk dan layu. Untuk mengatasinya, pokok bunga perlu disembur dengan racun serangga secara berkala tapi saya cuma menyembur racun sekali-sekala sahaja bergantung kepada tahap kerajinan.

Ok, jom kita layan gambar bunga ros jepun hasil tanaman adik saya ni.. :-) Di kampung ada pelbagai jenis rose jepun yang ditanam oleh adik saya. Antaranya adalah seperti di bawah ini. Maaf  saya agak kurang arif id bagi setiap bunga rose jepun ini.