25 January 2012

2012: Tahun Naga

Sempena cuti Tahun Baru Cina ni seronaklah bagi mereka yang bekerja waktu pejabat sebab dapat cuti panjang. Bagi yang kerja syif memang tidak merasa cuti panjang tu. Di sekitar Kudat walaupun hari ini sudah masuk hari ke-3, kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina masih dirasakan. Sana sini riuh dengan pertunjukan tarian singa dan naga diiringi dengan paluan gendang.

Masa di kampung dulu, jiran sebelah rumah saya berbangsa Cina. Setiap kali tiba sambutan Tahun Baru Cina, jiran saya mesti datang ke rumah. Dari jauh sudah kelihatan pakcik tu datang menuju ke rumah kami dengan beg plastik di tangan. Bila terlihat saja kelibat pakcik tu, saya dan adik akan saling berpandangan dan tersenyum sesama sendiri. Walaupun tanpa apa-apa perkataan tapi kami tau ada sesuatu yang bakal kami terima dan biasanya yang terisi dalam beg plastik itu adalah buah-buah limau dan biskut-biskut yang dibelinya dari kedai di pekan Tenom. Tekaan kami tidak pernah silap. sebaik saja pakcik itu beredar, kami segera mendapatkan ibu kami dan pura-pura bertanya untuk apa pakcik itu datang. Biasanya jumlah buah limau yang diberikan cukup untuk semua orang. Oh, alangkah gembiranya hati dapat menikmati keenakan buah limau mandrin percuma. Masa dulu, untuk beli buah limau mandrin memang tidak pernah walau sekali pun sebab hidup waktu itu sangat susah. Memadailah dengan makan buah limau manis yang banyak terdapat di sekeliling rumah. Keluarga pakcik Cina itu pun tidaklah berada sangat. Corak kehidupan kami lebih kurang sama juga - sama-sama mengusahakan tanah sawah dan kebun koko. walaupun begitu mereka tetap ingin berkongsi kegembiraan di hari Tahun Baru Cina dengan kami sekeluarga.

Banyak kenangan yang kami lalui bersama dan persahabatan itu terjalin tanpa sempadan. Paling saya ingat, waktu pagi kami akan berjalan kaki sama-sama ke sekolah, saling menunggu dan bermain bersama. Sudah hampir 20tahun mereka meninggalkan kampung. Berhijrah ke daerah lain tetapi ikatan kemesraan yang terjalin tetap terpelihara hingga ke hari ini walaupun makcik dan pakcik itu telah lama meninggal dunia. Anak-anaknya tetap mengingati kami sekeluarga. Sungguh terharu bila buat pertama kalinya mereka adik-beradik datang berkunjung ke rumah semasa adik saya melangsungkan perkahwinan November lalu setelah bertahun-tahun tidak bersua. Dan syukur kerana salah seorang daripada mereka akhirnya memilih Islam sebagai agama anutannya. Alangkah indahnya jika mereka semua turut memeluk Islam tetapi kita tidak berhak untuk memaksa mereka.

Jalinkanlah persahabatan dengan sesiapa pun tanpa perlu mengira perbezaan agama dan budaya. Apa yang penting mereka tidak akan mempengaruhi anda untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. Sekalipun mungkin ada yang cuba menghasut anda, teguhkanlah hati dan pertahankanlah nilai jati diri anda. Kita akan sering terimbas kenangan lalu dan benarlah kenangan adalah sebahagian daripada pengalaman hidup yang akan kekal selamanya dalam ingatan.

Antara gambar yang sempat saya ambil sempena sambutan Tahun Baru Cina 2012 di Kudat...



24 January 2012

Wanita dan Bunga Adalah Sinonim

Kenapa wanita sering disamakan seperti bunga dan lelaki pula diibaratkan seperti kumbang :-) ? Ini tentu saja kerana bunga itu indah, menarik dan mempesonakan. Malah keharuman sesetengah bunga dijadikan bahan asas pembuatan minyak wangi. Belum pernah rasanya bahan asas minyak wangi diperbuat daripada kumbang kan. Ada ka? Kalaupun ada mesti bau semacam. Jadi untuk anda yang bergelar wanita, berbanggalah kerana dilahirkan sebagai seorang wanita. Kita selalu dengar, di sebalik kejayaan seorang lelaki ada wanita berdiri di belakang menyokongnya. Jarang pula kedengaran, di sebalik kejayaan seorang wanita, ada lelaki berdiri di belakang menyokongnya walaupun tidak dinafikan sememangnya ada. Dan lagi bila suami dapat gelaran datuk, secara rasminya si isteri juga mendapat tempias gelaran datin. Tapi kalau isteri dapat gelaran datuk, suami dapat tempias gelaran juga ka..?

Sama ada anda dilahirkan sebagai wanita atau lelaki, hargailah kehidupan anda kerana kita tidak berhak untuk memilih lahir sebagai wanita atau lelaki. Semuanya adalah kententuanNya.









sumber gambar: google

23 January 2012

Derma Mata Untuk Dunia

COLOMBO - Sri Langka merupakan antara negara yang paling banyak penderma mata di dunia selepas perang saudara di negara ini berakhir. Ia menyumbang 3,000 kornea pada setiap tahun dan menyediakan tisu untuk mata kepada 57 buah negara bagi tempoh lebih hampir setengah abad. Persatuan Pendermaan Mata Sri Lanka memulakan promosi menderma mata sejak berdekad-dekad lamanya. Bekalan kornea amat baik di negara ini sehingga menyebabkan kerajaan Sri Lanka menubuhkan bank mata pada tahun lalu. Bank itu dibiayai oleh penderma dari Singapura. Hampir 900,000 orang telah menandatangani ikrar untuk menderma mata selepas mereka mati menerusi persatuan tersebut.

"Orang ramai bertanya kepada saya, bolehkah kami menderma mata kami semasa masih hidup?Disebabkan kami mempunyai dua mata, bolehkah kami menderma satu mata?" kata Pengarah Hospital Mata Kebangsaan Sri Lanka, Dr. Sisira Liyanage. Kebanyakan penduduk Sri Lanka beragama Buddha yang percaya mendermakan mata membantu mereka dilahirkan kembali dengan menikmati hidup yang lebih baik. -Agensi@Kosmo Online

~~~~~~~~~~~~~

Sekadar renungan bersama, bagaimana rasanya jika anugerah penglihatan yang kita miliki ini tiba-tiba ditarik semula oleh Allah? Jika sebelum ini kita sudah terbiasa dengan penglihatan yang jelas dan terang, mampukah rasanya kita menyesuaikan diri dengan suasana baru yang sangat berbeza berbanding sebelum ini. Saya teringat pada seorang pakcik di kampung yang mengalami masalah penglihatan. Saya tidak pasti puncanya tapi ramai yang mengatakan ia disebabkan oleh genetik. Sebelum ini, penglihatan pakcik itu normal dan tiada masalah langsung. Dia bebas bergerak ke sana sini tanpa perlu dipimpin tangannya tapi sekarang pergerakannya jadi terhad dan perlu seseorang memimpin tangannya untuk berjalan ke mana-mana. Kasihankan...

Tabahlah Wahai Sahabat

Saya tersentuh dengan satu komen yang tercatat di entri saya yang lepas, entri 2 tahun lepas. Ia adalah entri yang berkisar soal hati - merawat hati yang terluka. Saya menulis entri tersebut sekadar untuk suka-suka. Saya percaya kita semua pernah berhadapan dengan situasi yang membuatkan hati kita terluka. Luka yang tidak terawat akhirnya akan membuatkan seluruh kehidupan jadi duka. Sesuatu hal yang bersangkut paut dengan hati sebenarnya bukanlah suatu hal yang mudah untuk dirungkaikan. Dan perkara-perkara yang membuatkan hati kita terluka datang dari pelbagai sebab. Ada yang terluka disebabkan oleh sikap ibu bapa, majikan, kawan-kawan, kekasih mahupun disebabkan oleh tingkah laku pasangan suami/isteri yang berlaku curang.

Saya kerap terbaca sama ada melalui majalah, internet mahupun melalui perbualan dengan rakan-rakan yang berhadapan dengan masalah rumah tangga. Saya benar-benar bersimpati dengan semua luahan mereka. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah berperanan sebagai pendengar kerana untuk memberikan apa-apa pandangan, saya juga masih kurang pengalaman dan saya sendiri tidak tahu bagaimana agaknya perjalanan hidup saya di kemudian hari.

Perjalanan hidup kita tidak selamanya akan indah dan berjalan lancar, pasti akan ada bengkang bengkoknya kerana ia sebahagian dari janji Allah untuk menguji iman kita. Hanya mereka yang sedang terluka sahaja tahu betapa beratnya bebanan perasaan yang sedang dihadapi. Semoga anda akan kembali kuat dan tabah dalam menghadapi semuanya..