23 January 2012

Tabahlah Wahai Sahabat

Saya tersentuh dengan satu komen yang tercatat di entri saya yang lepas, entri 2 tahun lepas. Ia adalah entri yang berkisar soal hati - merawat hati yang terluka. Saya menulis entri tersebut sekadar untuk suka-suka. Saya percaya kita semua pernah berhadapan dengan situasi yang membuatkan hati kita terluka. Luka yang tidak terawat akhirnya akan membuatkan seluruh kehidupan jadi duka. Sesuatu hal yang bersangkut paut dengan hati sebenarnya bukanlah suatu hal yang mudah untuk dirungkaikan. Dan perkara-perkara yang membuatkan hati kita terluka datang dari pelbagai sebab. Ada yang terluka disebabkan oleh sikap ibu bapa, majikan, kawan-kawan, kekasih mahupun disebabkan oleh tingkah laku pasangan suami/isteri yang berlaku curang.

Saya kerap terbaca sama ada melalui majalah, internet mahupun melalui perbualan dengan rakan-rakan yang berhadapan dengan masalah rumah tangga. Saya benar-benar bersimpati dengan semua luahan mereka. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah berperanan sebagai pendengar kerana untuk memberikan apa-apa pandangan, saya juga masih kurang pengalaman dan saya sendiri tidak tahu bagaimana agaknya perjalanan hidup saya di kemudian hari.

Perjalanan hidup kita tidak selamanya akan indah dan berjalan lancar, pasti akan ada bengkang bengkoknya kerana ia sebahagian dari janji Allah untuk menguji iman kita. Hanya mereka yang sedang terluka sahaja tahu betapa beratnya bebanan perasaan yang sedang dihadapi. Semoga anda akan kembali kuat dan tabah dalam menghadapi semuanya..


No comments:

Post a Comment