25 November 2010

Ceria Itu Milik Semua :-)


Senyum dan tersenyum suatu perkara yang sangat mudah, tidak memerlukan tenaga untuk melakukannya dan juga tidak perlu kata-kata untuk mengungkapkannya tapi ia sangat susah untuk diamalkan :-)

Senyumlah selagi anda mampu tersenyum kerana senyuman yang lahir dari hati yang ikhlas akan membuatkan anda terasa sangat damai dan tenang. Bahkan ia juga mampu membuatkan hati orang yang sedang marah menjadi sejuk tapi kadang-kadang senyuman itu sebenarnya boleh jadi satu pembohongan kerana kita tidak akan pernah benar-benar tahu apa yang tersembunyi jauh di sudut hati seseorang. Siapa tahu kalau dia sebenarnya menyimpan cerita lalu yang melukakan namun enggan dikongsi dengan sesiapa dan dia berusaha menyembunyikannya dengan senyuman dan wajah manis setiap hari. Apapun samaada anda memilih untuk tersenyum atau bermuram, itu adalah hak peribadi setiap individu.

Ada satu lagu berkenaan senyum yang sering saya dengar. Lagu 'Senyum'-Nyanyian Malique Ft Najwa. Lagu yang dapat membuatkan kita rasa ceria dan tersenyum. Antara lirik yang saya sukai dalam lagu ini ialah:

Kacak luar, kacak dengar sini
Kalau saya senyum, awak mesti senyum sekali
Kalau kita senyum, semua orang berjangkit
Bila semua orang senyum, dunia tiada penyakit
(hebatkan kuasa senyuman dapat membuatkan orang terjangkit untuk turut tersenyum)

Lirik berikutnya yang saya suka adalah lirik ini:
Ay cantik luar cantik dalam cantik dengar sini
Kalau cantik senyum cantik mesti cantik lagi
Senyum sikit nak tengok ada tak lesung pipit
Kalau tak ada pun aku masih mahu cubit

Lirik ketiga yang saya suka dalam lagu ini:
Ay buai tinggi-tinggi sampai ke puncak awan
Dengan kumulus dan nimbus aku berkawan
Aku bukan rupawan aku bukan jutawan
Tapi aku punya satu senyuman yang menawan
(Hebat, kita tidak perlu memiliki rupa paras yang cantik dan bergelar jutawan untuk tersenyum)



Salam Aidil Adha...

Agak terlewat untuk mengucapkan salam Aidil Adha buat semua :-) semoga dapat dimaafkan. Meskipun agak terlewat tapi saya tidak pernah melupakan anda semua yang menjadi sahabat saya. Semoga saja kita semua akan sentiasa diberikan kekuatan yang luarbiasa kuatnya dalam menghadapi setiap musibah dan ujian hidup ini. Jiwa harus sentiasa kuat, tenang dan redha dalam menempuh setiap ujian dariNYA.

Sedikit info berkenaan hari raya korban buat semua tapi saya yakin anda semua khususnya yang beragama Islam pasti telah pun mengetahui latar belakang sambutan ini:
  1. Merupakan salah satu perayaan terbesar selain daripada perayaan Hari Raya Aidilfitri.
  2. Disambut pada hari ke10, 11, 12 dan 13 Zulhijah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijah, diikuti solat sunat dan khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijah diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samaada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijah.
  3. Ia juga merupakan hari umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t (sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Raya_Aidiladha)
**Hari Raya Korban tahun ini merupakan hari raya yang istimewa bagi saya kerana setelah hampir 9 tahun tidak merayakannya, tahun ini saya berpeluang bercuti dan balik ke kampung halaman merayakannya bersama keluarga dalam sambutan yang sangat sederhana. Kenapa begitu lama sekali saya tidak menyambutnya? Ini kerana 3 tahun saya berada di Kuching, Sarawak dan kemudiannya bekerja di Semenanjung selama 5 tahun jadi kemampuan untuk sentiasa balik bercuti agak terhad dan biasanya saya cuma memilih hanya 2 kali setahun untuk balik bercuti iaitu pada setiap hari raya puasa dan juga pada cuti sekolah samaada cuti sekolah pada bulan Mac atau Mei setiap tahun. Kesempatan ini sangat bermakna buat saya namun saya merasakan sambutan Hari Raya Korban kali ini agak hambar tidak seperti sambutan ketika saya masih kanak-kanak dahulu. Kadang-kadang saya merasakan sambutan Hari Raya Aidilfitri juga terasa tidak semeriah dahulu. Zaman telah jauh berubah. Ternyata arus modenisasi telah mengambil alih ruang lingkup kehidupan kita hari ini tapi tidak mengapa jika sambutan perayaan telah jauh berubah. Apa yang penting rasa syukur itu sentiasa ada dalam jiwa kita. Syukuri setiap nikmat yang telah Allah anugerahkan dalam hidup kita yang singkat di muka bumi ini.

p/s: Saya tiba-tiba teringat pada seorang kawan saya bernama Adha yang sekumpulan dengan saya dalam Kursus Induksi di Port Dickson beberapa tahun yang lalu :-) mungkinkah namanya diambil sempena hari raya adha???Hanya dia yang tahu. Kepadamu sahabat yang bernama Adha: semoga engkau sentiasa berada dalam kasih sayang dan redha Allah s.w.t

23 October 2010

Kes Cerai Membimbangkan



Kes cerai membimbangkan (Utusan Malaysia Online, 21/10/2010)
Sekali imbas tajuk ini agak menggerikan bagi setiap pasangan yang telah berumah tangga. Bahkan ia juga mampu menimbulkan rasa fobia bagi segelintir mereka yang belum berkahwin. Tidak terkecuali diri saya sendiri. Kadang-kadang saya merasa fobia dan takut untuk memikirkan soal kahwin bila melihat kisah-kisah rumah tangga yang berakhir di tengah jalan. Kes perceraian di Selangor dikatakan semakin membimbangkan apabila 4614 pasangan dilaporkan bercerai tahun lalu. Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 545 kes berbanding 4069 kes pada tahun 2008.

Berdasarkan perbualan dengan rakan-rakan yang berhadapan dengan kes perceraian, selalunya ada banyak sebab terjadinya perceraian, antaranya:

  • Masalah Kewangan - Gaji tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan dan keperluan ahli keluarga.
  • Masalah Komunikasi - Isteri/suami kurang bercakap dan terlalu memendam perasaan. Segala rasa tidak puas hati dibiarkan terpendam hingga akhirnya menjadi bom jangka yang menanti saat untuk meletup.
  • Sikap baran suami/isteri - Bukan untuk mengaibkan sesiapa tapi ada di antara kawan saya bercerita pada saya tentang kebengisan sikap isterinya hingga tergamak tidak membenarkannya masuk dalam rumah (terpaksa tidur di beranda rumah). Seorang kawan perempuan saya pula pernah mengadu sering menjadi mangsa sepak terajang suaminya yang panas baran dan pemabuk. Kedua-duanya akhirnya memilih untuk menamatkan tali perkahwinan mereka. Kawan perempuan itu kemudiannya berkahwin dengan lelaki lain yang pada pengamatan saya seorang lelaki yang baik, penyayang dan dapat menerima kehadiran anak-anak tirinya. Manakala kawan lelaki itu pula memilih untuk terus bersendirian. Mungkin kepercayaannya terhadap kasih sayang wanita dan alam rumah tangga telah terhakis. Saya pernah bertanya padanya mengapa dia tidak melupakan saja kisah silamnya yang suram dan teruskan kehidupan berumah tangga dengan gadis lain. Jawapnya: " khawin itu susah, perlu banyak komitmen dan takut kisah yang sama berulang lagi..." Hingga kini sudah lebih 10 tahun dia hidup sendiri tanpa seseorang yang bergelar isteri di sisinya. Ternyata kehancuran rumah tangga meninggalkan parut yang sangat dalam di hatinya. Semoga saja dia akan terus tabah dan mudah-mudahan satu hari nanti dia akan bertemu semula dengan cinta sejatinya.
  • Masalah Sex - Emmm ini pun kisah benar, saya tidak tahu kenapa kawan saya begitu terbuka bercerita hal ini pada saya. Pada saya hal ini begitu sensitif dan peribadi. Saya tidak kisah sebenarnya mendengar setiap keluhan kawan-kawan saya tapi kadang-kadang emosi saya juga terheret sama. Bayangkanlah kata kawan saya itu, selama 2 tahun perkahwinan, mereka tidak pernah langsung melakukan hubungan suami isteri. Saya agak terkejut dan malu sebab saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberikan apa-apa pandangan padanya tentang hal ini. Dan kesudahannya juga sama iaitu berakhir dengan perceraian.
  • Orang Ketiga - Tidak dinafikan kewujudan orang ketiga juga menjadi penyumbang terbesar kepada berlakunya perceraian. Saya sangat bersimpati dengan kisah malang yang dialami oleh kawan saya akibat suaminya bermain kayu tiga. Menurut kawan saya, suaminya sering memberi alasan 'out station' atas urusan kerja tapi tembelang suaminya terbongkar apabila dicekup di sebuah hotel bersama wanita lain. Hati wanita mana yang tidak remuk bila suami yang disandarkan harapan dan kesetiaan rupanya berlaku curang. Paling sedih bila seorang kawan yang beragama Kristian sanggup menukar agamanya untuk berkahwin dengan seorang lelaki Islam tetapi setelah beberapa tahun berkahwin dan dikurniakan dua orang anak, suaminya mula beralih arah kepada wanita lain. Saya simpati kerana saya sendiri tidak pasti sama ada dia mampu meneruskan kehidupannya sebagai seorang Islam selepas perceraian itu memandangkan keseluruhan ahli keluarganya beragama Kristian. Cerita terakhir tentangnya saya diberitahu dia kembali semula tinggal bersama dengan ahli keluarganya yang beragama Kristian. Doa saya semoga akidahnya serta anak-anaknya tetap terpelihara. Sebab itu dalam entri sebelum ini saya ada menegaskan agar mereka yang memilih untuk menukar agama haruslah benar-benar membuat pilihan yang tepat di samping kekuatan mental dan emosi juga harus kuat.
Terlalu banyak punca sebenarnya. Setiap pasangan pasti ada sebab-sebab yang berbeza mengapa mereka memilih untuk bercerai. Luluh hati saya bila pada satu hari anak saudara saya yang paling kecil dan paling manja datang mendekati saya sambil berbisik dengan matanya yang sayu dan kelihatan air mata bergenang di kelopak matanya "anti, saya takutlah kalau mama dan papa bercerai..." bukan sekali tapi berkali-kali ungkapan takut itu keluar dari mulutnya. Saya tersentak dan terus bertanya mengapa dia beranggapan mama dan papanya akan bercerai. Dengan wajah jujur tapi sayu, anak kecil ini memberitahu saya beberapa hari sebelum itu, dia terdengar papa dan mamanya bergaduh. Sekadar menenangkan dirinya, saya memeluknya sambil memberitahu pada anak kecil ini bahawa kadang-kadang ada masanya ibu bapa akan bergaduh tapi itu tidak semestinya mereka akan bercerai. Samalah macam kawan, kadang-kadang kita akan gaduh dengan kawan tapi tidak bermakna kita akan putuskan tali persahabatan dengan kawan kita sambung saya lagi. Aduhai, anak sekecil ini rupanya sudah mengerti apa itu perceraian. Nasib baiklah penjelasan saya itu dapat diterimanya. Saya berharap pada semua rakan-rakan saya yang sedang berhadapan dengan kes perceraian ataupun pernah berhadapan dengan perceraian, semoga kalian sentiasa tabah menghadapinya. Saya juga berharap agar anak-anak tidak dijadikan mangsa. Sekalipun tali perkahwinan telah terputus tetapi hubungan darah yang terjalin di antara anak dan ibu atau anak dengan bapa tetap wujud untuk selamanya. Luangkanlah masa untuk bertanya khabar dengan anak-anak anda. Janganlah dibiarkan mereka begitu sahaja sehingga akhirnya mereka terlupa yang anda adalah ibu atau bapa kandung mereka.

09 October 2010

Kebenaran Itu Pahit

"Kadang-kadang menyatakan kebenaran itu sangat menyakitkan apalagi kalau ia melibatkan hati dan perasaan orang lain tapi menyembunyikan kebenaran juga sebenarnya amat menyakitkan..."

Kadang-kadang kita terlalu menjaga hati dan perasaan orang lain, kita takut segala kebenaran yang akan disampaikan akan membuatkan hati sesetengah orang yang ada disekeliling kita akan terluka. Sayangnya kerana terlalu menjaga hati orang lain, kita sebenarnya telah menyebabkan hati orang-orang yang ingin kita jaga itu jadi bertambah terluka apabila kebenaran yang disembunyikan itu akhirnya terbongkar.

Sepahit mana pun kebenaran itu, jadilah orang yang berani menyatakannya. Mungkin dengan keberanian itu, orang-orang yang ada disekeliling kita akan lebih menghargai keikhlasan dan kejujuran kita. Ajarlah jiwa kita agar sentiasa berlapang dada dan sentiasa berani menghadapi setiap kemungkinan yang akan terjadi setelah kebenaran itu dinyatakan. Kita bukanlah manusia yang terlalu sempurna, yang tidak pernah melakukan kesilapan dalam hidup namun setiap kesilapan yang pernah dilakukan haruslah dikaji agar kesilapan-kesilapan itu tidak berulang lagi pada masa-masa akan datang.

Saya tahu, di luar sana ramai yang bertindak menyembunyikan kebenaran dan mereka ini saya percaya bukanlah tidak jujur, tidak ikhlas atau hipokrit tapi mereka pasti punya alasan tersendiri untuk tidak menyatakan kebenaran itu.

Untuk semua, jika anda benar-benar menyayangi dan menghargai persahabatan yang anda jalin dengan sahabat-sahabat anda, beranilah menyatakan kebenaran. Beranilah menegur jika ada salah silap yang dilakukannya. Tegurlah dengan berhemah dan penuh kasih sayang bukan dengan kritikan dan cemuhan menghina. Persahabatan dan perhubungan yang dibina berlandaskan kasih sayang pasti akan menjadikan sesuatu perhubungan itu lebih manis dan menghiburkan :-)


30 September 2010

Musibah 2004

Akhirnya setelah koma selama 6 tahun iaitu sejak 18 Feb 2004 hingga 28 September 2010, anak saudaraku menghembuskan nafas terakhir pada 28 September lalu. Al-Fatihah untuknya... Mungkin kematian ini adalah yang terbaik agar derita yang ditanggungnya selama 6 tahun berakhir. Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Semoga kakakku sekeluarga tabah menghadapi ujian ini. Mati adalah pasti kerana ia janji Allah bagi setiap yang bernyawa cuma kita tidak pernah tahu bilakah saat itu akan tiba. Anak saudaraku koma sejak berusia 10 tahun gara-gara terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta yang dipandu oleh bapanya telah terbabas dan masuk ke dalam gaung. Ketika itu mereka dalam perjalanan balik dari kampung. Adik beradiknya yang lain termasuk ibu bapanya juga turut mengalami kecederaan tapi tidaklah seteruk yang dialami oleh anak saudaraku yang seorang ini. Walau apa pun, kita perlu berlapang dada dan redha menerima takdir ini. Kalau masa yang ditentukan oleh Allah telah tiba, tiada siapa pun dapat menghalangnya. Cara bagaimana kematian itu berlaku hanyalah perantara. Meskipun kemalangan itu tidak berlaku, tapi jika Allah menentukan batas waktunya hanya setakat itu, kematian akan tetap datang menjemput. Kita tidak pernah tahu bagaimana cara kematian kita. Teringat seketika kematian ngeri dan sadis yang melibatkan Datuk Sosilawaty Lawiya dan empat yang lain, sungguh menyedihkan. Kematian biasa sekurang-kurangnya kita masih berpeluang menguruskan jenazahnya tapi bagi kematian sadis seperti yang di atas sangatlah menyentuh perasaan kerana ahli keluarganya tidak dapat melihat jenazah mereka buat kali terakhir, hanya tulang-tulang yang diperolehi dan perlu dibuktikan pula melalui ujian DNA. Semoga kita semua akan sentiasa diberikan ketabahan dalam menempuh saat-saat getir dalam hidup ini.

29 September 2010

Damai Itu Indah





"Aku cintakan kedamaian dan keamanan sejagat
Aku menyanjung tinggi peradaban tata susila dan nilai kemanusiaan
Aku bencikan peperangan, konflik, sengketa dan anarki
Kerana jiwaku penuh dengan rasa peri kemanusiaan, kasih sayang dan perdamaian"


****Mari hayati lirik lagu ini bersama***

Sleeping Child -MLTR

The milky way upon the heavens
Is twinkling just for you
And mr.moon he came by
To say goodnight to you

I'll sing for you I'll sing for mother
We're praying for the world
And for the people everywhere
Gonna show them all we care

Oh my sleeping child the world's so wild
But you've built your own paradise
That's one reason why
I'll cover you sleeping child

If all the people around the world
They had a mind like yours
we'd have no fighting and no wars
There would be lasting peace on earth

If all the kings and all the leaders
Could see you here this way
They would hold the earth in their arms
They would learn to watch you play

Oh my sleeping child the world's so wild
But you've built your own paradise
That's one reason why
I'll cover you sleeping child

I'm gonna cover my sleeping child
Keep you away from the world so wild
Away from the world so wild

Oh my sleeping child the world's so wild
But you've built your own paradise
That's one reason why
I'll cover you sleeping child

Oh my sleeping child the world's so wild
But you've built your own paradise
That's one reason why
I'll cover you sleeping child




27 September 2010

Salam Aidilfitri

Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan salam aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Semoga raya tahun hadapan kita masih berpeluang meraikannya dalam suasana yang harmoni namun dalam kita bergembira usah dilupakan mereka yang tidak bernasib baik. Hulurkanlah bantuan seikhlasnya kepada yang memerlukan.
Tahun ini merupakan tahun kedua, saya meraikan aidilfitri tanpa kunjungan daripada nenek kerana nenek telah pun pergi untuk selamanya. Saban tahun nenek tidak pernah gagal menghadirkan diri pada pagi syawal di rumah kami. Meskipun nenek seorang penganut agama Christian tapi ia tidak pernah menjadi batu penghalang antara kami untuk saling menyayangi dan memahami antara satu sama lain. Nenek sangat menghormati amalan agama kami sekeluarga, bahkan jika ke rumah nenek segala peralatan memasak yang baru akan disediakannya khas untuk kami gunakan. Pemergian nenek sangat kami rasai. Kasih sayang yang diberikannya sangat istimewa dan tulus. Saya masih ingat satu ketika dahulu hari raya jatuh pada hari Jumaat. Pada hari itu, kami sediakan juadah hari raya berasaskan daging untuk makan tengah hari. Saya agak tertanya-tanya mengapa nenek saya langsung tidak mahu menjamah hidangan daging yang kami sediakan sebaliknya meminta makanan lain yang tidak berasaskan daging. Setelah diterangkan barulah saya faham, rupa-rupanya hari itu nenek saya tidak boleh makan daging mengikut amalan agamanya.
Meskipun nenek telah tiada tapi pagi syawal kami tetap meriah dengan kunjungan sanak saudara daripada sebelah emak dan bapa saya yang beragama Christian. Awal pagi lagi semuanya sudah berkumpul di rumah untuk sama-sama meraikan aidilfitri. Emak saya mempunyai 2 orang adik yang beragama Christian dan 2 orang adik beragama Islam. Manakala bapa saya anak tunggal.
Biasanya hanya hari raya ke-empat barulah saya berpelung berziarah ke rumah jiran-jiran sekampung dan juga ke rumah kawan-kawan adik dan kakak saya. Sebenarnya selama ini, saya belum pernah menjemput mana-mana kawan saya sama ada kawan-kawan lelaki atau perempuan untuk datang berhari raya ke rumah saya. Bukan sombong tapi bagi saya hari raya adalah hari yang bebas untuk kita berkunjung kemana-mana rumah walaupun tanpa apa-apa undangan. Seperti yang tertulis dalam profile saya iaitu saya suka memerhatikan tingkah laku manusia dan persekitaran, saya praktikkan juga hal ini dalam suasana hari raya iaitu melalui ucapan selamat hari raya. Saya suka melihat siapa sebenarnya di antara rakan-rakan saya yang tidak lupa untuk mengucapkan salam aidilfitri kepada saya. Walaupun ia mungkin kedengaran agak tidak masuk akal tetapi biasanya kalau kita mengingati seseorang kawan, kita tidak akan pernah melupakan untuk mengucapkan salam untuk perayaan yang diraikannya ataupun untuk apa-apa sambutan yang diraikannya, sambutan harijadi misalnya. Itu hanyalah andaian, tanpa ucapan tidak semestinya kawan melupakan kita. Berfikir positif saja kerana mungkin ketika itu ada halangan baginya untuk menghantar ucapan selamat buat kita..

26 September 2010

Vivaku

Aduyaiiiiii...awal-awal pagi lagi, vivaku sudah buat aku jadi nervous. Bahkan masih terasa seluruh body menggeletar. Masalah kecil saja sebenarnya tapi oleh sebab aku tidak tahu apa-apa hal tentang kereta, jadi aku rasakan ia masalah yang besar. Sudah terbayang kedai bengkel kereta di depan mata :-( aku pun x perasaan sebenarnya kedudukan cermin sisi keretaku teralih, cuma sedar bila masuk dalam garaj rumah. Aku hampir menanggis bila usahaku untuk membetulkan semula kedudukan cermin sisi itu gagal. Sudahlah hanya tinggal aku seorang saja di kuartes ni. Jiran yang lain, entah kemana. Nasib baik jiran yang seorang cepat balik ke rumah. Aku tengok selamba ja dia betulkan semula kedudukan cermin tu, tak sampai pun seminit rasanya. Hehehe...aduyaiiiii, aku dah banyak kali try tapi sikit pun tak berganjak dari kedudukan asal. Rasa-rasanya cam mana, kedudukan cermin sisi tu bole teralih ;-)? Apalagi ni semua gara-gara aku terlanggar gate la. Ntah la ini kali keberapa aku terlanggar gate ni, aku pun sudah x ingat. Kali pertama dulu, terlanggar gate time reverse juga, tercabut jugalah bumper. Yang kali ni, cermin sisi pula teralih, nasib baik x tercabut.

Kalau cerita pasal kereta, memang banyak cerita lucu yang telah aku lalui. Bagi sesetengah orang aku konfem 100% mereka pasti melabelkan semua kisah-kisah yang aku lalui dengan kereta ku ini sebagai cerita lawak. Dan aku selalunya akan jadi mangsa ejekan dan bahan ketawa abang dan adik-beradikku yang lain. Lantaklah labu, aku peduli apa hehehe.. Bagiku, semua kisah keretaku adalah kisah yang menggerikan. Kan bagus kalau jarak office dengan rumah cuma selangkah, tidak perlu la aku terkial-kial memandu kereta di jalan raya. Apalagi kalau di sebelah tu ada lori, rasa cam mau tercabut jantung, berpeluh-peluh. Semua hal-hal kereta sangat membebankan aku, termasuklah dari hal isi minyak dan pam tayar. Waktu mula-mula dapat kereta dulu, kawanku la yang selalu jadi mangsa aku dari hal-hal, check air kereta, check minyak hitam (ntah binatang apa minyak hitam tu hissshh) isi minyak, pam tayar dan bahkan hantar kereta untuk servis dan juga untuk 'mandikan' kereta, semuanya aku serahkan padanya tapi tension juga bila minyak kereta habis time dia bercuti atau berkursus. Terpaksalah aku yang buat sendiri, tensionnyaa. Pernah satu kali tu, aku betul-betul tension, angin tayar x ada. Cam mana ni? Aku called abang aku dengan harapan dapat simpati. Manalah tau dia orang simpati dengan kebodohanku dan sanggup datang ke tempat aku untuk tolong pamkan tayar keta. Tapi gilalah, takkanlah dia org perlu datang semata-mata untuk pamkan tayar keta aku. Sudahlah jarak lebih kurang 300km. Memang gilalah kalau aku paksa juga dia orang datang hehehe..Nasib baik la, masa di Petronas tu, ada 2 orang yang sudi ajarkan aku cam mana pamkan tayar hahahaha.

Kecederaan-kecederaan yang dialami oleh keretaku sudah x dapat dikira. Kalau terlanggar gate atau tiang masa reverse tu, sudah jadi cam perkara biasa. Bahkan terlanggar anak anjing pun pernah, sian anak anjing tu, nasib baik x mati. Tuan anjing tu pun satu, lain kali jangan biarkan anjing berkeliaran di jalan raya, nanti kalau anjing mati terlanggar tau pula marah. Dalam banyak-banyak kes, ada satu yang kalau aku kenang balik, mau terburai isi perut aku ketawa. Gila, bodoh betul la kes ni. Satu malam tu, kira hari pertama aku dapat kereta, aku punyalah excited mau drive keta. Masuk dalam keta, aku pun start engine dan pakai tali pinggang kaledar. Pas tu aku jadi panik, lama aku tunggu lampu di meter keta tu menyala tapi tetap gelap, x nampak apa-apa. Alamak cam mana mau drive ni, lampu meter dalam keta ni gelap ja. Cam mana mau tenggo kelajuan keta yang aku bawa ni. Aku mula risau, ni keta baru tak kan la ada problem pula. Aku pun sibuk la mendail semua nombor. Geramnya dalam situasi terdesak cam ni, tiada seorang pun yang jawab telefon. Last sekali barulah abang aku angkat telefon. Macam-macam soalan dia tanya, tanya keta ok ka? sudah start engine dan banyak lagi la soalan. Aku jawab semua ok, keta start pun ok tapi aku confused napa meter tak ada lampu. Kalau siang tak kisah la, sebab kita still boleh nampak berapa laju kita bawa. Last2 abang aku tanya satu soalan, "lampu keta sudah on ka belum?" aku jawab terkejut "hahhh? lampu keta?, cam mana mau on?" nah di situlah dia tanpa simpati, ketawa bagaikan orang kerasukan. Ohh rupa-rupanya lampu keta perlu di'on kan dulu barulah meter dalam keta tu pun menyala hahaha. Ahhh lantaklah, aku mana ada experience pasal drive keta ni, jadi wajarlah kalau aku x tau kan...kan..selalunya aku jadi penumpang ja.

Apa pun kisah yang pernah anda lalui, selalulah beringat jalan raya bukan medan untuk berlumba. Sayangilah diri dan keluarga anda serta hormatilah semua pengguna jalan raya. Semoga kita tidak termasuk sebagai salah seorang penyumbang peningkatan statistik kemalangan jalan raya.


26 August 2010

25hb Hari Gaji SeMalaysia ;-)

Ketibaan 25hb sentiasa dinantikan bagi setiap kakitangan awam kerana pada tarikh inilah bil-bil bulanan dapat dijelaskan dengan sempurna, sama ada bil telefon, api, air dan pelbagai jenis bil lagi. Pada tarikh inilah, kaunter-kaunter bank penuh sesak dan mesin ATM kehabisan duit dalam tempoh beberapa jam sahaja. Kadang-kadang ada yang mengunjungi mesin ATM seawal jam 6 pagi untuk mengelakkan daripada terpaksa beratur panjang. Begitulah hebatnya kuasa tarikh 25hb setiap bulan dan saya juga tidak terkecuali daripada senarai pekerja awam yang sentiasa menantikankan ketibaan 25hb :-)

Seronok rasanya bila diumumkan semua kakitangan awam dari gred 1 - 54 akan diberikan bantuan khas Hari Raya sebanyak RM500. Meskipun bagi sesetengah orang ada yang beranggapan ia hanyalah jumlah yang kecil tapi bagi saya, saya tetap bersyukur dengan pengumuman itu. Sebenarnya kitalah yang perlu bijak dan berhemah dalam berbelanja. Berbelanjalah mengikut keperluan, bukannya mengikut tuntutan hawa nafsu. Kalau setiap kita dididik untuk berbelanja secara berhemah, saya pasti kes 'keberhutangan serius' di kalangan penjawat awam tentunya dapat dielakkan dan ingatlah mereka yang disenaraikan dalam kumpulan keberhutangan serius boleh dikenakan tindakan tata tertib..



Pro vs Kontra

Dalam entri sebelum ini, saya bersetuju terhadap perlaksanaan undang-undang yang menetapkan bahawa mereka yang disabitkan dengan kes buang bayi wajar didakwa dengan niat membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau di didakwa dengan niat cubaan membunuh. Tapi setelah difikir semula, dapatkah hukuman seperti ini membendung kes ini tidak berlaku lagi sedangkan sekarang ini pun telah ada peruntukan hukuman mati ke atas pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan seperti pengedaran dadah dan kes bunuh. Namun kes-kes dadah dan bunuh tetap juga berlaku? Itu satu hal, bagaimana pula jika yang terlibat dengan kes buang bayi itu adalah remaja bawah umur. Wajarkah usia muda mereka ditamatkan di tali gantung? Persoalan ini sebenarnya telah menimbulkan banyak pandangan sama ada yang bersifat pro mahupun kontra. Sekali imbas, memanglah perlaksanaan hukuman yang ketat merupakan alternatif yang berkesan dan diharap mampu menimbulkan kesan gerun kepada sesiapa pun tetapi semasa kepala otak dikuasai oleh setan, tiada siapa pun sebenarnya yang akan terasa gerun pada hukuman yang menanti, yang dirasakan hanyalah keseronakan.

Persoalan utama yang perlu dirungkai sebenarnya adalah mengkaji akar umbi permasalahan ini. Mengapa keadaan ini berlaku? Kita kerap mendengar sebab utama adalah rapuhnya hubungan kekeluargaan di samping wujudnya lambakan bahan-bahan porno yang berleluasa. Salah siapa jika hubungan kekeluargaan semakin rapuh? Salah siapa jika lambakan bahan-bahan porno semakin berleluasa? Ya, ini zaman globalisasi, zaman yang memungkinkan segala-galanya dapat diperolehi dengan mudah tapi itu bukannya alasan untuk membenarkan segala-galanya dapat di akses dengan mudah.

Masyarakat seharusnya lebih peka, sensitif dan terbuka terhadap isu ini. Kes buang bayi mungkin terjadi disebabkan remaja merasa malu, takut dan panik, jadi mereka mengambil langkah mudah dengan membuang bayi tersebut. Pada saya jika remaja ini diberi sokongan emosi oleh ahli-ahli keluarga dan masyarakat, kes ini mungkin dapat dibendung. Perkara sudah terjadi, nasi sudah menjadi bubur. Sekalipun dimaki siang dan malam, ia sudah tidak berguna jadi terima situasi itu dengan terbuka. Bukanlah bermaksud saya menggalakkan berlakunya zina dan maksiat. Apa yang ingin saya jelaskan janganlah ahli keluarga dan anggota masyarakat umumnya terus menggalakkan remaja tersebut melakukan dosa zina dan ditambah pula dengan dosa membunuh. Ingatlah bayi yang dibunuh itu tidak berdosa.

Paling utama, kembalilah kepada tuntutan agama masing-masing. Hayati, Fahami, Dalami, dan Praktikkan apa yang disarankan oleh agama. Kes terbaru, seorang kanak-kanak 12 tahun dicekup ketika melakukan zina sangatlah menggerunkan. Semoga kanak-kanak ini sedar dan diberikan hidayah oleh Allah swt.

Sekadar berkongsi catatan seseorang yang saya ambil dari "Catatan Doa-doa Islam Sehari-hari" di facebook. Katanya: "Satu satu hal yang menyebabkan kehancuran adalah hilangnya akhlak baik dan tidak kuatnya iman. Kita seharusnya diajarkan keseimbangan, seperti di sekolah, selain materi pelajaran, juga harus diajarkan akhlak baik dan ingat hidup tidak hanya di dunia saja. Jadi harus seimbang, antara usaha dan beribadah serta amal baik, untuk menjalaninya jangan pantang menyerah!semangat harus kuat..."

14 August 2010

Hukuman Mati Menanti Anda

Akhirnya.......

Kabinet mengarahkan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan bunuh. Arahan itu meminta polis supaya menyiasat sesiapa yang membuang bayi sehingga menyebabkan kematian bayi, disiasat di bawah Seksyen 302 kanun tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. Selain itu mereka juga boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian di bawah kanun yang sama-utusan online. Melaka pula mengambil inisiatif dengan mewujudkan talian khas bebas tol remaja hamil: 06-2333333 bagi membantu remaja yang berhadapan dengan masalah tersebut.

Langkah-langkah ini memang perlu dikuatkuasakan segera memandangkan isu ini semakin parah hari ini. Samalah juga seperti kes anak hilang yang sebelum ini ada dinyatakan bahawa ibu bapa yang lalai hingga menyebabkan anak mereka hilang akan didakwa tapi akhirnya ia menjadi senyap begitu saja.

Sekadar renungan bersama ***Salah satu cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 ialah "Memujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mengutamakan kepentingan masyarakat, kebajikan insan tidak akan berkisar kepada Negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh." Dengan peningkatan kes-kes yang lari daripada nilai-nilai kemanusian hari ini, sesungguhnya ini merupakan cabaran paling besar dalam merealisasikan pencapaian Dasar Wawasan 2020 menjelang 10 tahun dari sekarang.


"Sayangi Diri Anda, Hargai Kehidupan Anda"

07 August 2010

Daun Gugur & Pokok Sakit

Tajuk ini saya ambil daripada tajuk rencana Utusan Malaysia Online 7 Ogos 2010.Menariknya tajuk ini cuba mengupas isu sosial yang melanda remaja hari ini terutamanya isu hamil luar nikah dan pembuangan bayi. Entahlah di mana silapnya, isu ini bagaikan tidak pernah menemui titik nokahnya. Terbaru seorang bayi perempuan ditemui di sebuah longkang dalam lubang paip berhampiran stesen minyak Klang Gate. Alhamdullillah tangisan bayi itu didengari oleh seorang remaja lelaki yang kemudiannya bertindak menyelamatkan bayi itu.

Saya tidak berminat untuk menuding jari kepada sesiapa sebab saya juga bukanlah manusia yang terlalu baik dan terpelihara daripada dosa. Namun apa yang membuatkan saya tertarik dengan tajuk ini ialah petikan yang terkandung dalam rencana ini. Salah satunya ialah penulis menyatakan bahawa "masalah selepas berkahwin tanpa persediaan mental dan fizikal yang cukup akan menambahkan jumlah perkahwinan yang porak peranda." Secara umumnya saya bersetuju dengan kenyataan ini terutamanya bila melihat kepada situasi kini yang serba-serbinya sangat mencabar kekuatan minda dan fizikal. Pada saya, yang paling penting adalah kehidupan selepas berkahwin. Sayangnya ramai yang hanya mementingkan persiapan pada hari perkahwinan. Bukan suatu yang menghairankan bila ada yang sanggup bergolok gadai semasa hari perkahwinan semata-mata untuk menjadikan majlis dipandang hebat. Apa gunanya jika hanya pada hari itu sahaja majlis hebat dan seminggu kemudian gigit jari memikirkan hutang-hutang yang perlu dibayar. Bagi yang berkemampuan, ia bukanlah masalah besar. Bagi yang kurang berkemampuan, bersederhanalah.

Selain kewangan, banyak lagi hal-hal lain yang perlu dipersiapkan seperti kekuatan emosi untuk menghadapi setiap masalah yang timbul. Percayalah 99% pasti ada perubahan sikap akan berlaku di antara pasangan. Kalau kita mengharapkan pasangan kita kekal dengan sikap romantisnya semasa mula-mula menjalin hubungan dulu, itu semua mungkin tidak akan berlaku lagi. Bahkan ada di antaranya mula menunjukkan rasa bosan terhadap pasangan bila berada di rumah. Bosan bukan bermakna tidak sayang tapi jika setiap hari menghadapi rutin yang sama di rumah pasti lama-kelamaan akan timbul perasaan bosan di hati pasangan. Inilah yang sangat berbahaya dan merupakan ancaman kepada kekukuhan institusi rumah tangga. Jadi setiap pasangan harus bijak mengatur variasi rumah tangga. Kawan saya pernah berkata, "Anda telah memilih dan memutuskan untuk bersama dengan pasangan anda, jadi apa pun kelebihan dan kelemahannya anda harus bersedia menerimanya dan berhentilah daripada terus mengeluh tentang diri pasangan anda."

Meskipun perjalanan saya untuk menempuh alam rumah tangga masih jauh dan samar-samar tapi saya tahu, alam perkahwinan sangat mencabar dan melelahkan. Tahniah kepada semua yang berjaya menempuhnya hingga ke akhir hayat.

30 June 2010

Facebook Yang Melalaikan

Sejak akhir-akhir ini saya banyak menghabiskan masa dengan facebook, main game. Setiap hari pagi, petang dan malam saya banyak habiskan masa di depan laptop. Kadang-kadang time di office pun saya selitkan sedikit masa main facebook. Kalau sebelum ini saya agak rajin membaca berita-berita online, menulis blog atau membaca tulisan para blogger yang saya sukai kini semua itu seakan sudah tidak mendapat tempat di hati saya. Saya sibuk menjaga 'cafe' dan 'mencari harta karun' di facebook. Tambah seronok ketika menanti dish yang disediakan masak, ada rakan sembang merangkap 'nebor' yang sudi bersembang dengan saya :-) 'Kesibukan' ini menyebabkan saya terlupa bulan Jun sudah hampir sampai ke penghujungnya. Saya benar-benar terlupa yang bulan Jun hanya berbaki dua hari sebelum bulan Julai mengambil alih. Hinggalah pada pagi kelmarin baru saya tersedar iaitu apabila bapa saya menelefon saya kira-kira jam 8am. "Hello Dija, kenapa lama tidak telefon?" Begitu bunyi ungkapan pertama yang keluar dari mulut bapa saya. Saya terdiam seketika, cuba mencari alasan yang paling kukuh dan logik dan yang paling penting ia tidak akan mengguris hati tua bapa saya. Tapi malang sekali otak saya ketika itu seakan beku, tiada alasan yang lojik mampu saya berikan. Akhirnya saya bagitau bapa saya yang saya tiada kredit untuk menelefon dia hehehe. Alangkah sewelnya alasan yang saya berikan, seorang anak yang punya pekerjaan tetap tidak mempunyai kredit untuk menelefon bapanya??? Tapi takkanlah saya mahu cakap yang saya lalai main game facebook hingga terlupa untuk menelefonnya hehehehe. Lama saya berfikir, bila kali terakhir saya menelefon bapa saya. Barulah saya sedar sudah hampir dua bulan rupanya saya tidak menelefon dia walaupun saya agak kerap menghubungi adik saya. Rupa-rupanya itu masih tidak mencukupi. Dia tetap saja mahu saya menghubunginya dan bercakap secara langsung dengannya. Emmm kesimpulannya aktiviti berfacebook perlu dikurangkan. Jangan sampai facebook menghilangkan nilai-nilai kekeluargaan dan persahabatan. Jadi untuk sahabat sembang saya tu, luangkanlah juga masa untuk 'ngeteh' dengan kawan-kawanmu :-)

23 June 2010

Biar Masa Menentukan

Kalau satu hari nanti saya temui lelaki yang benar-benar saya cintai dan dapat menerima saya seadanya, saya ingin sekali memberikan yang terbaik untuknya. Saya ingin sekali memberikan kasih sayang yang suci dan murni untuknya. Siapa pun dia, saya akan menerimanya seadanya asal saja dia ikhlas dan jujur pada saya. Bukan harta dan wajah tampan yang menjadi ukuran saya kerana semua itu hanyalah bersifat sementara. Ketulusan dan keikhlasan la yang paling utama dan dia juga haruslah mampu membimbing saya ke arah yang lebih baik. Saya lebih rela bersendirian daripada hidup bersama dengan lelaki yang tidak mencintai saya, yang berlagak dan hanya mementingkan kehidupan duniawi. Saya lebih rela hidup bersendirian daripada hidup di samping lelaki yang hanya akan membuatkan jiwa dan kehidupan saya tambah menderita dan merana.

Saya tidak pernah kisah dan peduli pada tanggapan umum tentang title anak dara tua. Biarlah, saya senang dan selesa begini. Sekurang-kurangnya saya tidak menyusahkan sesiapa. Urusan ini adalah kehidupan peribadi saya yang tidak perlu dicampuri oleh sesiapa walaupun oleh ibu bapa saya sendiri. Ini zaman facebook, bukan lagi zaman batu. Kepada ibu saya, sabarlah, satu hari nanti, bila hati saya sudah bersedia saya pasti akan membawa seseorang melangkah masuk ke dalam rumah kita. Janganlah lagi terus bertanya sama ada saya sudah menemui seseorang yang istimewa kerana jawapan saya tetap sama seperti sebelum ini.Mudah-mudahan saja saya akan menemukan laki-laki yang kaya dengan budi bahasa dan kasih sayang...


06 June 2010

Merawat Hati Yang Luka

Emmm saat ini, hati saya masih stabil, tidak terluka walaupun tidak dinafikan saya pernah juga menghadapi situasi yang melukakan. Saya percaya saya tidak keseorangan, saya yakin kita semua pernah menghadapi saat-saat yang melukakan dalam hidup kita. Tidak kiralah apa pun puncanya yang pasti menghadapi saat-saat yang melukakan adalah suatu yang sangat perit dan menyeksakan. Seluruh semangat juang yang ada dalam diri boleh hilang begitu saja, yang ceria sebelumnya boleh saja jadi murung dan tidak bermaya. Tajuk ini saya ambil daripada slot motivasi rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM 1 yang disiarkan beberapa hari lepas. Saya tertarik dengan tajuk ini kerana ia suatu yang tidak asing dalam kehidupan peribadi kita. Oleh kerana tertarik dan wujud rasa ingin tahu, saya mengikuti slot motivasi tersebut sehingga ke akhirnya, lebih kurang dalam 30minit disiarkan.

Merawat hati yang sedang terluka sebenarnya tidak mudah. Kadang-kadang ada orang yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menyembuhkan hatinya yang terluka. Bahkan ada juga yang menyimpan rasa terluka dalam diri untuk selamanya. Menggapa ya? Mungkin kerana rasa dendam yang terlalu menebal dalam diri. Tapi tidak mustahil hati yang terluka dapat disembuhkan semula. Segalanya terpulang pada kesungguhan diri kita sendiri untuk keluar daripada rasa terluka itu. Pakar motivasi tersebut juga menyarankan agar kita keluar daripada rasa terluka. Jangan biarkan hati terluka tanpa diubati.

Kita boleh berbohong pada khalayak umum dengan menyatakan "
aku biasa-biasa saja, aku gembira dengan apa yang aku lalui, hatiku sudah tidak sakit dan terluka lagi.." Ya, kita boleh saja menyatakan seperti itu tapi percayalah mereka yang mahir menilai tingkah laku (body language) pasti dapat merasakan ada sesuatu yang anda sembunyikan. Ada kesedihan terpendam yang anda kunci rapat dalam jiwa anda. Akhirnya anda sendiri merana dan sinaran mata selalunya tidak dapat menyembunyikan apa yang terbuku di dada anda.

Kepada mereka yang sedang bersedih, kepada mereka yang sedang terluka, rawatlah kelukaan itu. Jangan biarkan ia terus menjadi barah pada kehidupan peribadi anda. Memang hidup bukan selamanya untuk tertawa tapi hidup juga bukan untuk selamanya menanggisi kelukaan. Hidup adalah suatu keseimbangan antara rohaniah dan jasmaniah, antara kegembiraan dan kelukaan.

Ketika berada dalam kesedihan atau terluka emosi kita selalunya jadi tidak stabil, fikiran jadi bercelaru. Seolah-olah ada sesuatu yang sangat menyesakkan dada hinggakan sukar untuk bernafas, terasa ingin menanggis dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Itu yang saya rasakan, anda mungkin merasakan yang berbeza dengan apa yang saya rasakan. Selalunya bila berada dalam keadaan ini, saya cuba menyibukkan diri dan tidak terlalu memikirkannya. Saya selalu memujuk hati saya supaya menjadi lebih kuat dan tenang. Satu yang menjadi pegangan saya selama ini ialah,
'semua yang ada di muka bumi ini hanyalah sementara, justeru segala kesulitan dan kelukaan juga bersifat sementara. Lambat-laun semuanya akan berakhir dan kembali normal' Hati kita perlu kuat, tenang dan redha menerimanya. Satu lagi, selalunya apabila berada dalam keadaan sedih, saya menghindarkan lagu-lagu bernada jiwang. Saya lebih suka mendengar lagu-lagu berentak rancak bagi mengubati kesedihan.
Saya juga selalu menetapkan had bahawa segala kesedihan dan kelukaan yang saya lalui tidak boleh berlarutan untuk berbulan-bulan lamanya. Jadi bila sudah menetapkan tempoh masa 'berkabung' saya sedaya-upaya akan mencari jalan untuk melupakan segala kelukaan itu. Segalanya terpulang pada diri kita. Cara anda mungkin berbeza dengan cara saya tapi matlamatnya tetap sama iaitu untuk merawat hati yang terluka

02 June 2010

Isreal Laknat

Agak lama mendiamkan diri, saya jadi tidak tahu hendak menulis apa dalam blog kesayangan saya ini. Saya hilang idea walaupun sebenarnya banyak benda yang berlaku di sekeliling saya yang boleh saya tulis di sini.

Antara peristiwa yang menarik perhatian saya minggu ini ialah kekejaman rejim zionis Israel yang menyerang kapal Mavi Marmara, kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin. Tindakan Israel benar-benar keterlaluan dan menimbulkan kemarahan seluruh dunia. Sudah sampai masanya seluruh bangsa Arab dan umat Islam keseluruhannya bergabung tenaga menentang kekejaman Israel. Israel dan Yahudi perlu diajar cukup-cukup di muka bumi ini.

Kadang-kadang saya sendiri merasa amat emosi bila melihat golongan kanak-kanak dan wanita turut menjadi mangsa kekejaman rejim zionis tersebut. Jika dibandingkan kanak-kanak di negara kita dengan kanak-kanak di sana, kanak-kanak di negara kita jauh lebih beruntung kerana mereka masih dapat hidup dengan aman tanpa diselubungi dengan ketakutan. Tidur kanak-kanak di sini lebih lena tanpa sebarang dentuman bom dan mortar berbanding dengan kanak-kanak di sana. Amat malang sekali bagi rakyat Palestin yang sejak berpuluh tahun dulu hidup tertindas di negara sendiri. Terlaknatlah seluruh Israel dan bangsa Yahudi, yang sebenarnya sebuah negara yang tidak diiktiraf, yang cuba merampas negara lain untuk mewujudkan negara mereka sendiri.

Agak lega sedikit bila mengetahui rakyat Malaysia yang turut berada dalam kapal itu selamat dan usaha membawa mereka pulang sedang diusahakan. Semoga semuanya berjalan lancar dan mereka selamat tiba di tanah air. Saya sangat memahami perasaan yang dirasai oleh seluruh ahli keluarga mereka. Tidak ada siapa pun yang tenang bila mengetahui nyawa saudara mara berada dalam keadaan genting ibarat telur dihujung tanduk.



16 May 2010

Perubahan Politik Sibu

Ketika saya menulis entri ini, keputusan pilihan raya kecil sibu baru saja diumumkan dengan DAP menang majoriti 398 undi menewaskan calon BN. Saya agak terkejut kerana sebagaimana yang diketahui umum, Sarawak adalah antara kubu kuat BN sebelum ini. Saya sama sekali tidak berminat untuk mengulas hal ini kerana dalam politik ada banyak kemungkinan yang berlaku namun pada saya kemenangan ini menunjukkan satu perubahan politik sedang berlaku di Sarawak. Walau apa pun, semoga YB2 yang dipilih oleh rakyat ini meletakkan tanggungjawab mereka terhadap rakyat sebagai keutamaan yang paling tinggi. Rakyat telah memberikan anda undi justeru balaslah undi itu dengan komitmen yang sepatutnya, jangan persiakan harapan rakyat.

24 April 2010

Kenapa & Mengapa?

Dari dulu sampai sekarang saya tidak faham, kenapa setiap kali menjelang pilihanraya, pasti kedengaran pelbagai projek pembangunan disalurkan ke kawasan terlibat? Kenapa, setiap projek pembangunan mesti digembar-gemburkan dan mengapa ia mesti menjadi lebih hangat menjelang pilihanraya? Dan saya juga tidak faham kenapa setiap kali hampir pilihanraya, ramai yang keluar parti dan menganggotai parti yang sebelum ini menjadi lawan mereka. Kenapa mesti dilakukan pada hari menjelang pilihan raya? Kenapa dan kenapa? Tidak bolehkah keluar parti selepas pilihan raya atau kenapa tidak dari awal lagi keluar parti. Kenapa mesti tunggu ada pilihanraya? Alasan yang sama selalunya diberikan "sudah hilang kepercayaan terhadap parti & sudah sedar kesilapaan". Aduhai lawak la, kenapa menjelang pilihanraya baru kepercayaan terhadap parti yang dianggotai hilang? Kenapa tidak dari dulu? Kenapa dan kenapa menjelang pilihanraya baru sedar telah buat silap menjadi ahli dalam parti tersebut. Satu yang saya faham itu semua strategi politik. Sebab itu saya tidak berminat dengan politik. Politik penuh dengan hipokrit!!

19 April 2010

Kekuatan Kita Pada Doa

Kawan saya suatu ketika dulu pernah mengingatkan saya bahawa kekuatan umat Islam terletak pada doa. Saya akui memang benar, kekuatan kita adalah pada doa. Ketika berhadapan dengan musibah atau ketika hati sedang resah, mintalah bantuan pada Allah kerana segala sesuatu hanya akan berlaku dengan kehendaknya. Saya sering berdoa meminta agar Allah memberikan saya jalan penyelesaian yang terbaik bagi setiap masalah yang saya hadapi. Alhamdulillah tanpa sedar, dalam diam Allah mengilhamkan kepada saya jalan keluar yang saya tidak terfikir langsung sebelumnya. Kita kena sabar, adakalanya Allah menangguhkan permintaan kita untuk seketika. Jangan sesekali berputus asa dan bersangka buruk dengan Allah jika permintaan dan doa kita lambat dimakbulkan.


25 March 2010

Enggan Terima RM3.3juta


Isshh Siapa Lelaki ni?

Dia adalah pakar matematik Rusia, Dr.Grigory Perelman, lelaki bijak yang telah berjaya menyelesaikan masalah matematik paling sukar sejak 100 tahun lalu. Dengan kebijakannya, dia dianugerahkan hadiah AS$1juta (RM3.3juta) tetapi menolak pemberian hadiah tersebut, malah beliau juga menolak gelaran manusia paling bijak di dunia yang diberikan kepadanya.

Isshh ishh ada juga orang yang seperti ini rupanya, yang tidak menganggap wang adalah segala-galanya. Beliau menjelaskan tidak berminat dengan wang dan nama "Saya tidak memerlukan hadiah. Apa yang saya miliki sudah mencukupi." Apa yang dimilikinya hanyalah sebuah meja, kerusi dan katil dengan cadar kotor serta menghuni di sebuah flat yang kecil-sumber kosmo online

23 March 2010

Kadang-kadang.....

Kadang-kadang kita merasa letih dan keliru dengan ragam kehidupan ini. Kadang-kadang bila kita telah memiliki sesuatu, kita masih mengharapkan untuk mendapatkan sesuatu yang lain yang pada pandangan mata zahir kita ia adalah suatu yang terbaik dan perlu dimiliki. Padahal ia mungkin sebaliknya. Kepuasan dan kehendak manusiawi tidak akan pernah berakhir. Bila apa yang kita miliki telah tiada, barulah kita menyedari kehilangannya. Barulah terdetik penyesalan kerana kewujudannya selama ini langsung tidak disedari. Jadi sebelum terlambat hargailah setiap apa yang kita miliki.

22 March 2010

Aku Ada Impian Part II

Sebelum ini pernah saya nyatakan saya ada banyak impian dan angan-angan. Ini adalah sambungan impian/angan-angan yang seterusnya tapi impian dan angan-angan ini lebih bersifat humor dan agak pelik bagi sesetengah manusia yang mindanya waras. Anggap saja sewaktu saya menulis impian/angan-angan ini, minda saya berada di bawah sedar :-)

Impian aku:
  1. Aku mahu lakukan apa saja ikut suka hati aku - cakap ikut suka mulut aku
  2. Makan makanan yang tinggi kalori - aiskrim, kek, coklat, rendang, tomyam, sup tulang, asam pedas dan pelbagai lagi masakan yang lazat-lazat tapi berat badan tetap maintain dan kekal sihat
  3. Tidur dan bangun ikut suka hati
  4. Banyak masa untuk rilek sambil membelek majalah kegemaran - westika, cappellini, satini, devera dll sambil berbincang fesyen baju, kasut @ beg terkini dengan adik.
  5. Tidak perlu kerja teruk2 tapi duit sentiasa ada
  6. Shoping jadi amalan rutin
  7. Masuk pi dapur hanya bila perlu - bila perut menggigil kelaparan dan masa itu semua makanan ada tersedia atas meja.Tinggal ambil dan suap dalam mulut.
  8. Tengo TV 24jam sambil makan kacang, kuaci, keropok atau kueh & minum nescafe 3 in 1 dan rancangan tv semua best2 berkisar soal kehidupan dan kebenaran. Cerita jiwang2, buang jauh2.
  9. Tidak perlu belajar masak-masak
  10. Tidak perlu penat2 kemas rumah, biar rumah macam tongkang pecah nanti boleh masuk dalam oprah punya show
  11. Kredit telefon sentiasa ada jadi boleh buat panggilan keluar anytime
  12. Boleh surf internet, baca blog dan tulis blog tanpa gangguan line disconnect
Hehehe...adakah orang yang punya impian seperti ini???

**Budak2 bawah umur dilarang menyimpan impian seperti ini :-) sebab ini ialah impian orang bengong**

11 March 2010

Selamat Pengantin Baru

Sahabatku, sahabat yang paling akrab kini telah berumah tangga. Hanya selepas beberapa bulan saya tahu dia telah berumah tangga. Kenapa perlu dirahsiakan :-( Saya jadi merajuk kerana dia merahsiakan perkahwinannya sedangkan sebelum itu dia berjanji akan mengkhabarkan perkahwinannya nanti. Saya merajuk bukan kerana dia terlebih dahulu naik pelamin. Tidak! Saya merajuk kerana dia seolah-olah tidak mengambil berat nilai sebuah persahabatan yang telah terbina 11 tahun lamanya. Akhirnya saya mengambil keputusan berdiam diri. Email, sms dan panggilan telefonnya saya abaikan. Tujuan saya hanya sekadar membuatkan dia rasa sakit hati, baru padan muka. Saya tahu dia cuba memujuk bila kiriman smsnya yang terakhir berbunyi "saya tahu kau tidak akan balas sms ini, just to inform u...." Bunyi sms itu langsung tidak menyentuh hati nurani saya. Seperti biasa, habis baca saya delete sms tersebut. Keras sungguh hati ini. Keluarga dan persahabatan adalah dua perkara yang sangat saya hargai. Hanya orang-orang tertentu saja yang benar-benar saya anggap sahabat yang paling akrab. Jadi bila sahabat saya mengkhianati persahabatan kami, saya jadi sedih dan kecewa. Itu adalah smsnya yang terakhir. Selepas itu saya tidak tahu apa yang terjadi padanya. Saya tidak tahu dia bahagia atau gembira. Saya sudah tidak mahu ambil tahu apa-apa tentang dirinya lagi. Persahabatan kami sudah sampai pada titik noktahnya

Satu hari, setelah berbulan tidak memeriksa emel. Saya dapati ada emel darinya. Aduh! Ternyata dia tidak pernah jemu menghubungi saya. Kandungan emelnya "Kau benar-benar ingin melupakan persahabatan kita, saya add nama kau dalam list fb saya, please check and confirm my request" diikuti dengan icon kartun muka sedih. Rupanya dia tetap saja sahabat saya yang paling baik, yang tidak pernah jemu memujuk agar persahabatan ini kembali bertaut cuma saya saja yang selalu ego. Saya jadi tersentuh dengan segala cubaan yang dia lakukan selama ini untuk merapatkan kembali hubungan persahabatan kami. Akhirnya hati saya jadi lembut. Saya juga tidak ingin persahabatan ini berakhir. Untukmu sahabatmu, semoga kau berbahagia selamanya di sisi lelaki yang kau cintai.

Aku Jatuh Cinta

Ya aku sudah jatuh cinta. Jatuh cinta pada dunia penulisan blog. Dulu aku tidak tahu apa itu blog dan tidak tahu bagaimana hendak mencipta blog. Aku juga tidak tahu apa benda yang perlu ditulis dalam blog. Terima kasih kepada sahabatku yang mula-mula sekali memperkenalkan aku pada dunia blog. Persahabatan kita walau cuma seketika ternyata meninggalkan suatu yang amat bermakna. Darimu aku belajar buat blog. Terima kasih. Kemudian aku belajar bagaimana untuk menambahkan aksesori-aksesori dalam blog seperti bagaimana menambah shoutmix box dan mengubah background blog. Kesemua info ini kuperolehi melalui internet. Kadang-kadang time kerja waktu malam, aku habiskan masa sehingga pagi mencari artikel-artikel tentang blog, tentang bagaimana menambahkan traffic dan banyak lagi. Kadang-kadang aku jadi leka tapi rasa sangat seronok. Blog ini hanyalah blog biasa-biasa yang menceritakan apa-apa saja hal samaada yang aku lalui sendiri, melalui pembacaan mahupun kisah-kisah yang dialami oleh rakan-rakan. Blog ini akan menjadi kenang-kenangan untuk adik-adikku & sahabatku sampai bila-bila. Adik-adikku, mereka adalah simbol kasih sayang dan inspirasiku. Aku jadi kuat dan bersemangat kerana mereka.

03 March 2010

Safiya Humairah Shari

Minggu ini paparan berita samaada melalui media cetak mahupun elektronik agak galak bercerita tentang kematian adik Safiya Humairah Shari, 3 tahun yang mati di tangan kekasih ibunya sendiri. Malah kebanyakan blog yang saya baca turut menceritakan kematian kanak-kanak itu. Ramai yang memaki, mencarut dan mempersalahkan ibu kanak-kanak tersebut. Ramai juga yang melabelkan ibu Safiya Humairah sebagai binatang dan perempuan murahan. Memang kita semua yang punya hati dan nilai kemanusiaan yang tinggi akan turut merasa marah dengan insiden itu. Saya juga merasa agak emosi dengan kisah itu. Bahkan semua kisah yang melibatkan penderaan dan pencabulan ke atas kanak-kanak sangat menyentuh emosi saya. Bagi saya kanak-kanak adalah golongan yang sangat istimewa dan menyenangkan yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang dan kelembutan. Saya tidak tahu mengapa nilai-nilai kemanusiaan dan kekeluargaan semakin longgar hari ini. Manusia sudah tidak peduli dan tidak mahu ambil peduli dengan hal-hal kejiranan. Kisah adik Safiya Humairah (nama yang cantik dan manis) bukanlah kes terpencil, banyak kes seumpama ini telah berlaku dan akan terus berlaku.

Bila nafas si kecil telah terhenti, tangisan dan airmata sudah tidak memberi apa-apa makna. Meraung dan menanggis air mata darah sekalipun, si kecil tidak akan kembali lagi. Biarkan dia pergi dengan aman kerana itu bermakna derita yang ditanggungnya telah pun berakhir. Semoga roh si kecil tenang dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah untuk si kecil Safiya Humairah.

02 March 2010

Zaman Sudah Berubah

Zaman sudah berubah. Benar-benar berubah. Semasa kanak-kanak dulu, saya memerhatikan kanak-kanak sebaya saya yang ketika itu berada dalam lingkungan 5 hingga 12 tahun lebih banyak menghabiskan masa bermain dengan permainan-permainan tradisi seperti bermain guli, congkak, gasing, layang-layang, teng-teng dan sebagainya

Kini pergilah ke kawasan kampung sekalipun, agak sukar untuk melihat permainan tradisi ini dimainkan oleh kelompok kanak-kanak di alaf baru ini. Permainan kanak-kanak di zaman IT telah mengalami perubahan seiring dengan perubahan teknologi yang sedang bertiup kencang. Mereka lebih selesa memilih permainan-permainan komputer seperti 'dress up,''the adventure of sinbad' dan banyak lagi. Dan bukanlah suatu yang asing apabila kanak-kanak sekolah rendah turut mempunyai akaun facebook dan blog sendiri.

Suatu yang agak menakutkan jika kanak-kanak ini dibiarkan tanpa pemantauan sewajarnya daripada ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak ini sangat terdedah kepada ancaman jenayah cyber. Di ruang cyber, mereka bebas 'menemui' orang-orang yang tidak diketahui identitinya. Bahkan orang dewasa turut tidak terkecuali daripada ancaman jenayah cyber. Berhentilah daripada memberikan maklumat yang terperinci di dalam profile mana-mana akaun yang dibuka sama ada dalam facebook, friendster, myspace dan sebagainya. Malangnya, saya perhatikan ramai di antara rakan-rakan saya yang ghairah memberikan maklumat secara detail dari A - Z dalam akaun facebook masing-masing. Jangan sampai satu hari nanti identiti diri anda dicuri. Sebagaimana yang berlaku pada seorang wanita Australia yang kini hidup dalam ketakutan kerana identitinya telah digunakan oleh orang lain yang terlibat dalam pembunuhan komendar Hamas walhal beliau sendiri tidak tahu bagaimana indentitinya boleh dimiliki oleh orang lain.
Beringat-ingatlah kecanggihan teknologi memungkinkan segala-galanya berlaku.