30 June 2011

Hati Yang Terusik

Kata penulis buku ini,

"Kepada mereka yang hatinya terusik,
Banyakkan bersabar dalam menempuh kehidupan ini kerana sebutir kesabaran balasannya segunung ganjaran.."

Sinopsis:
Buku ini menghimpunkan 16 buah cerpen dengan pelbagai tema yang menyentuh persoalan tentang kehidupan manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan Tuhan. Manusia dicipta Tuhan bukan untuk melakukan persengketaan dan permasalahan. Namun tidak semua manusia sedar akan kehidupan di muka bumi ini yang memerlukan perhatian, kasih sayang, keamanan dan jauh daripada segala persengketaan. Hanya sekeping hati yang dapat mengubah manusia menjadi insan yang mulia atau sebaliknya. Hanya sekeping hati yang layak menghiasi peribadi seseorang. Baik hatinya, maka bersihlah jiwanya dan tenteramlah kehidupannya, apatah lagi jika kehidupan itu berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan oleh undang-undang Tuhan. Hati Yang Terusik tepu dengan imbangan pengajaran untuk peringatan di dunia dan bekalan untuk akhirat. Hati Yang Terusik, sarat dengan falsafah kehidupan. Jika manusia melakukan maksiat, maka itulah yang menyebabkan kegelapan pada wajah dan kesempitan pada rezeki. Tetapi kalau selalu menyebut Allah, Dia akan menerangi hati dan wajah.

***********************

Terdapat beberapa ungkapan yang pada saya agak menarik dalam buku ini. Antaranya seperti berikut:

"Dalam hidup ini seseorang itu perlu berbicara pada diri sendiri tentang arah tuju hidup. Sesuatu yang dilakukan itu tidak akan berpanjangan. Sepantas-pantas seseorang itu berlari pun dia akan berhenti juga akhirnya. Setinggi mana gunung didaki, akan turun juga dia akhirnya.."


Benar, kita seharusnya sentiasa berbicara pada diri sendiri atau dalam bahasa lainnya muhasabah diri. Dengan bermuhasabah, kita akan semakin kenal siapa diri kita yang sebenarnya. Kita akan semakin kenal tiap kelemahan yang ada dalam diri dan pastinya akan berusaha memperbaiki setiap kelemahan dan kekurangan yang ada. Kita mungkin punya ramai kawan tetapi dalam ramai kawan yang kita ada, berapa ramaikah yang berani secara terus terang menegur kelemahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan? Rasanya tidak ramai yang berani berkata secara terus terang atas alasan takut hati kita tersinggung apabila ditegur dan saya yakin yang mengutuk dibelakang kita jumlahnya pasti lebih ramai.

Kita manusia biasa yang punya kelemahan masing-masing. Kita tidak sempurna sepenuhnya. Dari segi fizikal mungkin kita sempurna tetapi ketidaksempurnaan itu mungkin berpunca dari mental kita. Orang yang suka menabur fitnah, panas baran dan sebagainya jelas menunjukkan mentalnya tidak sempurna walaupun mungkin fizikalnya sempurna.

29 June 2011

EPSA

Emm ok juga ada EPSA ni. EPSA adalah singkatan untuk e-pembelajaran sektor awam. Duduk depan komputer sejam dua jam, sudah selesai keperluan berkursus untuk 7 hari setahun. Jimat masa dan kos sebab kursus dijalankan secara dalam talian. Bagi saya yang memang malas bergerak keluar ke mana-mana tempat untuk berkursus, EPSA adalah pilihan alternatif yang terbaik. Terima kasih INTAN kerana menyediakan kursus secara online :-) Cuma yang tidak bestnya, line internet selalu down atau slow mengalahkan siput babi. Buang masa pula, duduk berjam-jam tunggu satu-satu topik dalam kursus tu selesai loading. Kursus secara dalam talian juga menjimatkan kos kerana jabatan tidak perlu mengeluarkan apa-apa perbelanjaan untuk membolehkan setiap kakitangan hadir berkursus ke ibu pejabat seperti sebelum ini.

Minggu lalu selesai satu kursus. Saya ambil kursus Pengurusan Konflik. Saja ambil kursus ini sebab nampak macam menarik. Ya la, konflik kan sangat sebati dalam kehidupan harian manusia. Mana ada manusia yang tidak pernah menghadapi konflik dalam hidupnya. Setiap kita pernah mengalami dan berhadapan dengan pelbagai konflik. Kadang-kadang kita merasakan konflik yang kita hadapi adalah konflik yang paling berat berbanding dengan apa yang orang lain hadapi. Benarkah begitu? Bagi saya, sebenarnya tiada kayu pengukur yang tepat dapat digunakan untuk mengukur konflik siapa yang lebih berat dan serius. Kalau kita beranggapan bahawa konflik kitalah yang paling berat untuk dihadapi, orang lain mungkin melihat apa yang kita hadapi itu biasa saja, tidak membebankan dan tidak terlalu serius. Itulah realiti kehidupan, manusia mempunyai perspektif yang berbeza-beza terhadap sesuatu isu.

22 June 2011

Tentang Kawan

Wah lamanya saya tidak bertandang menjenguk blog ini. Banyak cerita yang ingin saya ceritakan di sini sebenarnya tapi kadang-kadang rasa malas sering menguasai keadaan. Jadi bila kemalasan menguasai keadaan, blog pun terbiar begitu saja.

Bukan sahaja menulis blog, aktiviti melayari internet dan facebook juga semakin kurang saya lakukan akhir-akhir ini. Kadang-kadang saya membuka facebook sekadar untuk melihat samada, ada atau tidak mesej yang dihantar oleh kawan-kawan ke inbox saya. Tidak hairanlah setiap kali buka facebook ada beratus game requests yang dihantar oleh kawan-kawan facebook saya. Bukan bermakna saya sudah melupakan kawan-kawan facebook cuma keadaan tidak mengizinkan saya untuk sentiasa online seperti sebelum ini.

Kalau dulu saya berasa sangat berterima kasih dengan kewujudan facebook kerana melaluinya 'jejak kasih' dengan kawan-kawan dan guru-guru sekolah yang telah lama terputus hubungan dapat ditautkan kembali. Melalui facebook juga hubungan persahabatan dengan kawan-kawan lama kononnya dapat dieratkan semula. Saling dapat bertanya khabar dan sebagainya. Tetapi hari ini persepsi saya terhadap facebook agak berubah terutama sekali bila melihat ramai rakan-rakan yang menyalahgunakan facebook untuk menjatuhkan airmuka, mengaibkan dan menabur fitnah sesama sendiri. Saya sama sekali tidak selesa dengan keadaan ini. Walaupun bukan saya yang terkena, tetapi saya tetap merasakan tempiasnya bila yang terlibat adalah di antara sesama rakan sekolah. Rata-ratanya bukan berpendidikan setakat sekolah rendah atau SPM tetapi sayangnya mengapa mereka tidak menggunakan kepintaran otak yang dimiliki agar bertindak sesuai dengan cara orang yang berpendidikan tinggi. Apakah dengan memalukan rakan-rakan di facebook suatu hal yang boleh dibanggakan? Ke mana hilangnya adab sopan dan nilai etika sebagai seorang manusia. Saya juga tertanya-tanya mengapa ramai yang lebih suka mendengar cerita dari satu pihak saja? Padahal orang yang bawa cerita itu belum tentu berkata benar. Berilah peluang kepada pihak yang satu lagi untuk menyatakan apa sebenarnya yang terjadi. Sayangnya ramai yang lebih suka mendiamkan diri dan menerima bulat-bulat semua cerita yang disampaikan oleh pihak yang satu lagi. Terus terang, itu bukan cara saya. Saya lebih suka bertanya terus dengan orang-orang yang terlibat walaupun saya tahu ramai yang kurang senang dengan cara saya. Sekurang-kurangnya saya tahu apa sebenarnya yang berlaku dan tidak menerima 100% cerita yang disampaikan. Samaada pihak yang satu lagi berkata benar atau tidak, hanya yang empunya diri saja yang mengetahuinya. Selalunya dalam keadaan ini akan timbul dua versi cerita yang berbeza.

Benarlah apa yang pernah saya katakan dalam entri saya sebelum ini iaitu:

"Mencari sahabat sejati di era facebook samalah seperti mencari setitik air di padang pasir yang tandus, kering dan gersang. Ia mungkin ditemui tetapi sukar.."

Bagi anda yang telah berjaya menemukan seseorang yang kalaupun tidak dapat dianggap sebagai 'sejati' tetapi memadailah jika ia menyenangkan anda, jagalah persahabatan itu sebaiknya...