25 November 2010

Ceria Itu Milik Semua :-)


Senyum dan tersenyum suatu perkara yang sangat mudah, tidak memerlukan tenaga untuk melakukannya dan juga tidak perlu kata-kata untuk mengungkapkannya tapi ia sangat susah untuk diamalkan :-)

Senyumlah selagi anda mampu tersenyum kerana senyuman yang lahir dari hati yang ikhlas akan membuatkan anda terasa sangat damai dan tenang. Bahkan ia juga mampu membuatkan hati orang yang sedang marah menjadi sejuk tapi kadang-kadang senyuman itu sebenarnya boleh jadi satu pembohongan kerana kita tidak akan pernah benar-benar tahu apa yang tersembunyi jauh di sudut hati seseorang. Siapa tahu kalau dia sebenarnya menyimpan cerita lalu yang melukakan namun enggan dikongsi dengan sesiapa dan dia berusaha menyembunyikannya dengan senyuman dan wajah manis setiap hari. Apapun samaada anda memilih untuk tersenyum atau bermuram, itu adalah hak peribadi setiap individu.

Ada satu lagu berkenaan senyum yang sering saya dengar. Lagu 'Senyum'-Nyanyian Malique Ft Najwa. Lagu yang dapat membuatkan kita rasa ceria dan tersenyum. Antara lirik yang saya sukai dalam lagu ini ialah:

Kacak luar, kacak dengar sini
Kalau saya senyum, awak mesti senyum sekali
Kalau kita senyum, semua orang berjangkit
Bila semua orang senyum, dunia tiada penyakit
(hebatkan kuasa senyuman dapat membuatkan orang terjangkit untuk turut tersenyum)

Lirik berikutnya yang saya suka adalah lirik ini:
Ay cantik luar cantik dalam cantik dengar sini
Kalau cantik senyum cantik mesti cantik lagi
Senyum sikit nak tengok ada tak lesung pipit
Kalau tak ada pun aku masih mahu cubit

Lirik ketiga yang saya suka dalam lagu ini:
Ay buai tinggi-tinggi sampai ke puncak awan
Dengan kumulus dan nimbus aku berkawan
Aku bukan rupawan aku bukan jutawan
Tapi aku punya satu senyuman yang menawan
(Hebat, kita tidak perlu memiliki rupa paras yang cantik dan bergelar jutawan untuk tersenyum)



Salam Aidil Adha...

Agak terlewat untuk mengucapkan salam Aidil Adha buat semua :-) semoga dapat dimaafkan. Meskipun agak terlewat tapi saya tidak pernah melupakan anda semua yang menjadi sahabat saya. Semoga saja kita semua akan sentiasa diberikan kekuatan yang luarbiasa kuatnya dalam menghadapi setiap musibah dan ujian hidup ini. Jiwa harus sentiasa kuat, tenang dan redha dalam menempuh setiap ujian dariNYA.

Sedikit info berkenaan hari raya korban buat semua tapi saya yakin anda semua khususnya yang beragama Islam pasti telah pun mengetahui latar belakang sambutan ini:
  1. Merupakan salah satu perayaan terbesar selain daripada perayaan Hari Raya Aidilfitri.
  2. Disambut pada hari ke10, 11, 12 dan 13 Zulhijah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijah, diikuti solat sunat dan khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijah diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samaada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijah.
  3. Ia juga merupakan hari umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t (sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Raya_Aidiladha)
**Hari Raya Korban tahun ini merupakan hari raya yang istimewa bagi saya kerana setelah hampir 9 tahun tidak merayakannya, tahun ini saya berpeluang bercuti dan balik ke kampung halaman merayakannya bersama keluarga dalam sambutan yang sangat sederhana. Kenapa begitu lama sekali saya tidak menyambutnya? Ini kerana 3 tahun saya berada di Kuching, Sarawak dan kemudiannya bekerja di Semenanjung selama 5 tahun jadi kemampuan untuk sentiasa balik bercuti agak terhad dan biasanya saya cuma memilih hanya 2 kali setahun untuk balik bercuti iaitu pada setiap hari raya puasa dan juga pada cuti sekolah samaada cuti sekolah pada bulan Mac atau Mei setiap tahun. Kesempatan ini sangat bermakna buat saya namun saya merasakan sambutan Hari Raya Korban kali ini agak hambar tidak seperti sambutan ketika saya masih kanak-kanak dahulu. Kadang-kadang saya merasakan sambutan Hari Raya Aidilfitri juga terasa tidak semeriah dahulu. Zaman telah jauh berubah. Ternyata arus modenisasi telah mengambil alih ruang lingkup kehidupan kita hari ini tapi tidak mengapa jika sambutan perayaan telah jauh berubah. Apa yang penting rasa syukur itu sentiasa ada dalam jiwa kita. Syukuri setiap nikmat yang telah Allah anugerahkan dalam hidup kita yang singkat di muka bumi ini.

p/s: Saya tiba-tiba teringat pada seorang kawan saya bernama Adha yang sekumpulan dengan saya dalam Kursus Induksi di Port Dickson beberapa tahun yang lalu :-) mungkinkah namanya diambil sempena hari raya adha???Hanya dia yang tahu. Kepadamu sahabat yang bernama Adha: semoga engkau sentiasa berada dalam kasih sayang dan redha Allah s.w.t