04 September 2012

Raya & Duit Raya

Berlalulah sudah ramadan sebulan berpuasa
Tiba syawal kita rayakan dengan rasa gembira
Anak muda di rantauan semuanya pulang ke desa
Ibu dan ayah keriangan bersyukur tak terkira

Hari ni raya ke-15. Lambat update bukan sebab masih dalam mood raya tapi sebab mood malas update. Apa-apa pun salam aidilfitri diucapkan buat semua muslimin muslimat. Seronoknya tahun ni dapat peluang cuti raya 2 minggu. Tahun depan tentunya giliran saya pula untuk beraya di opis. Lima hari sebelum raya saya sudah pun berada di kampung. Bertolak lebih kurang jam 11am dan sampai di kampung dalam jam 8pm. Sempat jugalah bantu sikit-sikit kemas rumah sebelum raya.

Bagi kanak-kanak hari raya adalah hari yang paling meriah. Dapat saya saksikan betapa cerianya wajah kanak-kanak yang berkunjung ke rumah termasuklah wajah anak-anak saudara saya. Riang sungguh mereka berlari bekejaran sesama sendiri sambil bermain mercun. Tambah ceria bila dihulurkan sampul duit raya.

Raya dan duit raya sangat sinonim dengan sambutan hari raya. Ini yang ingin saya perkatakan, budaya memberi duit raya seolah-olah sudah menjadi suatu kemestian di kalangan kita. Saya sendiri kadang-kadang terhulur juga duit raya buat anak-anak saudara saya. Persoalanya adakah amalan memberi duit raya merupakan suatu amalan yang wajar diteruskan? Ini kerana dibimbangi amalan memberi duit raya akan menyebabkan penghayatan raya di kalangan kanak-kanak akan tersasar. Misalnya, setiap kali tiba hari raya yang terfikir oleh kanak-kanak ini hanyalah duit raya dan bukannya penghayatan sebenar tentang hari raya itu sendiri. Apalagi jika kumpulan kanak-kanak berkunjung ke rumah-rumah semata-mata untuk mengutip duit raya. Maka jadilah mereka ini seolah-olah peminta sedekah di pagi raya. Tujuan sebenar budaya kunjung-mengunjungi telah tersasar dari matlamatnya kerana berkunjung sekadar untuk mendapatkan duit raya.

Tambah sadis bila ada di antara kanak-kanak ini yang mendesak tuan rumah memberikan duit raya. Selagi duit raya tidak dihulurkan selagi itulah kumpulan kanak-kanak ini enggan beredar. Kejadian seperti ini pernah berlaku di rumah saya sendiri beberapa tahun yang lalu.

Walaubagaimanapun terpulanglah pada diri masing-masing sama ada hendak memberikan duit raya atau tidak. Tidak salah memberikan duit raya, tetapi pada masa yang sama kanak-kanak perlu dididik agar mereka lebih memahami konsep raya yang sebenarnya.