09 February 2012

Nilaikan Semula Azam Tahun Baru Anda



Kata kawan saya:
"Kita Sering Mengimbas Kembali Kenangan Lalu Tetapi Jarang Sekali Berusaha Untuk Mengejar Impian Hari Esok"
..............................

Kita telah pun berada di bulan ke dua tahun 2012, bermakna tahun 2012 telah sebulan kita lalui. Apakah anda masih ghairah berbicara soal azam dan semangat baru sama seperti ketika anda membicarakannya di awal tahun lalu ataukah ia semakin luntur dari hari ke hari. Biasanya ramai yang sangat teruja menetapkan pelbagai azam baru hanya di awal tahun saja. Masuk bulan ke dua dan bulan-bulan seterusnya, ia akan jadi semakin luntur dan pudar. Bahkan mungkin ada yang sudah mula lupa apa azam yang ingin dicapai pada tahun berkenaan. Dan masa pun terus berlalu. Azam yang dirancang hanya tinggal catatan dalam diari. Tahun berakhir, diari pun ditutup. Tahun baru tiba lagi dan diari baru dengan catatan azam baru pun dibuka. Kita pun kembali sibuk menulis pelbagai azam yang ingin dicapai walaupun kesudahannya ia juga akan berakhir sebagai suatu catatan yang tidak pernah terusik dalam diari.

Kepada semua, masih belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan selamat tahun baru dan selamat menilai semula semua catatan azam yang telah dibuat pada awal tahun lalu. Semoga segala azam yang ditetapkan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

05 February 2012

Keindahan Alam Yang Mendamaikan Jiwa

Keindahan itu kadang-kadang tidak dapat digambarkan sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Saya sering mengimpikan untuk berada di tempat yang damai dan tenang seperti gambar-gambar di bawah ini. Jauh dari segala hal-hal yang meresahkan fikiran dan perasaan.







04 February 2012

Kisah Tragis Di Bulan Feb


Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Sungguh sedih bila mengenangkan mangsa yang terlibat adalah kanak-kanak kecil yang belum mengerti apa-apa. Terbayang di ruang mata saya, mangsa menjerit ketakutan dan mohon diselamatkan namun apakan daya api yang marak menyala meratah tubuh si kecil tanpa simpati. Al-fatihah buat si kecil. Seluruh warga kampung turut berduka dengan musibah ini. Semoga keluarga si kecil tabah menghadapi ujian terbesar ini. Rasa agak sedih juga sebab tidak dapat balik kampung di saat ada warga kampung ditimpa musibah.



01 February 2012

Mengadulah Pada Allah


Bukanlah suatu perkara yang asing hari ini, bila ramai di antara kita menjadikan facebook sebagai platform untuk meluahkan perasaan tidak kiralah apa pun jenis perasaan itu. Tidak salah sebenarnya menggunakan facebook sebagai alternatif untuk mendapatkan pandangan dari mana-mana pihak. Tetapi pada saya adalah agak kurang manis jika hal-hal yang menyangkut kehidupan peribadi anda seharian turut diceritakan dalam facebook. Tidak perlulah diceritakan dari A-Z tentang diri anda. Jika semuanya dikongsi dengan khalayak ramai, maka apa lagi rahsia tentang anda yang tinggal? Simpanlah sebahagian daripada cerita hidup anda untuk anda sendiri. Kongsikan ia hanya dengan mereka yang benar-benar anda percayai. Paling utama, kawal emosi anda.

Tidak dinafikan ketika sedang marah kita inginkan seseorang yang mahu mendengar luahan hati kita dan cara paling cepat untuk mendapatkan respon adalah melalui facebook. Dalam beberapa saat, pasti ada komen-komen balas yang konon-kononnya prihatin dengan permasalahan kita. Mungkin juga sebab teruja bila mendapat komen-komen balas yang banyak, maka individu-individu berkenaan semakin seronok meluahkan perasaan melalui facebook. Harus diingat, tidak semua komen tersebut benar-benar bernas dan mampu membantu anda menghadapi permasalahan yang dihadapi.

Paling sadis, bila pasangan suami isteri menggunakan facebook sebagai tempat untuk meluahkan kemarahan masing-masing dengan bahasa mencarut yang keterlaluan dan tidak terkawal. Kawal bahasa anda kerana gaya penulisan akan sedikit sebanyak memberikan gambaran personaliti anda. Begitu juga dengan mereka yang menjadikan facebook sebagai tempat untuk melepaskan rasa rindu terhadap pasangan masing-masing. Aduh!! kadang-kadang rasa geli juga baca status-status begini. Kawallah emosi. Kalaupun tengah merindu, tidak perlulah sentiasa kemaskini status semata-mata untuk memberitahu pada seluruh dunia yang anda sedang merindui seseorang. Simpan perasaan itu. Belajarlah untuk berahsia kerana itu akan membuatkan orang semakin tertanya-tanya siapa anda dan apa yang anda lakukan.

Tapi tidaklah semua orang menggunakan facebook sebagai tempat untuk meluahkan perasaan seperti yang saya nyatakan di atas. Masih ramai juga yang menjadikan facebook tidak lebih sekadar alternatif untuk bersosial. Kadang-kadang saya tersenyum sendiri bila membaca status-status yang agak lucu dan nakal.

Saya bersetuju dengan kata-kata Ustaz Azhar Idrus di atas. Mengadulah pada Allah, luahkan segalanya pada Allah. Sebesar manapun rahsia anda, bila anda mengadu pada Allah, rahsia itu selamat di tanganNya. Sebaliknya jika anda mengadu pada facebook, tiada jaminan rahsia itu tidak akan diketahui oleh orang lain.