01 February 2012

Mengadulah Pada Allah


Bukanlah suatu perkara yang asing hari ini, bila ramai di antara kita menjadikan facebook sebagai platform untuk meluahkan perasaan tidak kiralah apa pun jenis perasaan itu. Tidak salah sebenarnya menggunakan facebook sebagai alternatif untuk mendapatkan pandangan dari mana-mana pihak. Tetapi pada saya adalah agak kurang manis jika hal-hal yang menyangkut kehidupan peribadi anda seharian turut diceritakan dalam facebook. Tidak perlulah diceritakan dari A-Z tentang diri anda. Jika semuanya dikongsi dengan khalayak ramai, maka apa lagi rahsia tentang anda yang tinggal? Simpanlah sebahagian daripada cerita hidup anda untuk anda sendiri. Kongsikan ia hanya dengan mereka yang benar-benar anda percayai. Paling utama, kawal emosi anda.

Tidak dinafikan ketika sedang marah kita inginkan seseorang yang mahu mendengar luahan hati kita dan cara paling cepat untuk mendapatkan respon adalah melalui facebook. Dalam beberapa saat, pasti ada komen-komen balas yang konon-kononnya prihatin dengan permasalahan kita. Mungkin juga sebab teruja bila mendapat komen-komen balas yang banyak, maka individu-individu berkenaan semakin seronok meluahkan perasaan melalui facebook. Harus diingat, tidak semua komen tersebut benar-benar bernas dan mampu membantu anda menghadapi permasalahan yang dihadapi.

Paling sadis, bila pasangan suami isteri menggunakan facebook sebagai tempat untuk meluahkan kemarahan masing-masing dengan bahasa mencarut yang keterlaluan dan tidak terkawal. Kawal bahasa anda kerana gaya penulisan akan sedikit sebanyak memberikan gambaran personaliti anda. Begitu juga dengan mereka yang menjadikan facebook sebagai tempat untuk melepaskan rasa rindu terhadap pasangan masing-masing. Aduh!! kadang-kadang rasa geli juga baca status-status begini. Kawallah emosi. Kalaupun tengah merindu, tidak perlulah sentiasa kemaskini status semata-mata untuk memberitahu pada seluruh dunia yang anda sedang merindui seseorang. Simpan perasaan itu. Belajarlah untuk berahsia kerana itu akan membuatkan orang semakin tertanya-tanya siapa anda dan apa yang anda lakukan.

Tapi tidaklah semua orang menggunakan facebook sebagai tempat untuk meluahkan perasaan seperti yang saya nyatakan di atas. Masih ramai juga yang menjadikan facebook tidak lebih sekadar alternatif untuk bersosial. Kadang-kadang saya tersenyum sendiri bila membaca status-status yang agak lucu dan nakal.

Saya bersetuju dengan kata-kata Ustaz Azhar Idrus di atas. Mengadulah pada Allah, luahkan segalanya pada Allah. Sebesar manapun rahsia anda, bila anda mengadu pada Allah, rahsia itu selamat di tanganNya. Sebaliknya jika anda mengadu pada facebook, tiada jaminan rahsia itu tidak akan diketahui oleh orang lain.