16 December 2012

Doa Seorang Wanita Ketika Meminta Lelaki Yang Soleh


Ya Allah...
Aku tidak meminta seseorang yang sempurna
Hingga aku dapat membuatnya sempurna di mataMu
Seseorang yang memerlukan sokongan sebagai peneguhku
Seseorang yang memerlukan doaku untuk kehidupannya
Seseorang yang memerlukan senyumku untuk mengatasi kesedihannya
Seseorang yang memerlukan diriku untuk membuat hidupnya lebih hidup
Aku tidak mengharap lelaki semulia Abu Bakar r.a
       atau setakwa Umar r.a, pun setabah Usman r.a
       ataupun sekaya Abdurrahman bin Auf r.a, setabah Zaid r.a
       juga segagah Ali r.a, apalagi setampan Usamah r.a
       kerana aku sedar
       Aku bukanlah semulia Fatimah r.a
       Tidak setakwa Aisyah r.a, pun tidak secantik Zainab r.a

Aku hanya mengharap seorang kaum Adam akhir zaman
Membangun keturunan yang soleh dan solehah
Membangun peradaban dan membuat Rasullah s.a.w bangga di akhirat
Kerana aku sedar, hanyalah insan yang biasa

Ya Allah...
Aku memohon
Jadikanlah ia sandaran bagiku
Buatlah aku menjadi wanita yang dapat membuatnya bangga
Berikan aku hati yang sungguh mencintaiMu sehingga aku dapat mencintai dengan sepenuh jiwa

Ya Allah...
Berilah aku sifat lembut, sehingga auraku datang dariMu
Berilah aku tangan sehingga aku mampu berdoa untuknya
Berikan aku penglihatan sehingga aku dapat melihat banyak kebaikan dalam dirinya
Berikan aku lisan yang penuh dengan kata-kata bijaksana
Hingga ku mampu memberikan semangat serta membantunya tiap saat
Amin Yaa Rabbal'alamiin.


~~~~ Diambil daripada facebook: Sudah Tahukah Anda~~~~
 
      





Obses

Saya sangat obses dengan bunga. Salah satu bunga yang paling menarik perhatian saya adalah bunga ros atau bunga mawar. Cantik! Lihatlah betapa cantiknya kuntuman bunga-bunga ros ini menghiasi laman rumah kita jika ditanam dan dijaga dengan baik :-)






09 December 2012

~Hati Manusia~


Kita tidak akan pernah benar-benar tau apa sebenarnya yang tersimpan jauh di sudut hati seseorang. Adakalanya kita cuba mentafsir tetapi tafsiran itu kadang-kadang mengelirukan dan kita pun semakin galak membuat andaian demi andaian. Hanya individu-individu berkenaan dan Allah s.w.t sahaja yang tahu bicara hati mereka yang sebenarnya. 

Sesungguhnya hati manusia itu sangat misteri untuk ditafsirkan. Seseorang itu boleh sahaja tertawa atau tersenyum tetapi apakah ia menggambarkan keadaan hatinya yang sebenar? Mungkin saja orang-orang yang kita lihat tersenyum manis, tertawa riang itu sebenarnya sedang merawat hatinya sendiri yang sedang parah menderita bergelut dengan aneka permasalahan hidup. Falsafah pernah mengandaikan bahawa kononnya mereka yang kuat ketawa sebenarnya adalah seorang yang pemurung dan suka memendam rasa ketika bersendirian. Benarkah? 

Walau apa pun, semoga kita semua akan terus melangkah dengan yakin, riang dan bersemangat walau sebanyak manapun ujian dan masalah yang dihadapi. Ingatlah Allah s.w.t tidak akan membiarkan kita sendirian menghadapi sesulit mana pun persoalan hidup ini..

18 November 2012

Jenayah Sana-Sini

Apalah mau jadi manusia sekarang ni? Dalam sehari tidak sunyi  kes-kes jenayah. Sana jenayah, sini jenayah. Hari-hari ada saja kes jenayah. Tambah menyakitkan hati bila orang yang sepatutnya diberi tanggungjawab menjaga keselamatan awam turut terlibat dengan kes jenayah. Emmm potong saja kemaluan tiga orang polis yang merogal seorang wanita Indonesia ketika dalam tahanan tu. Lepas tu bagi anjing makan. Anjing pun mungkin hilang selera makan. Tindakan tiga orang bodoh ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti pihak berkuasa tapi ia juga mampu menjejaskan hubungan di antara dua negara: Indonesia-Malaysia. Apapun kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana tahanan ia seharusnya diadili dengan adil berlandaskan undang-undang bukannya berdasarkan hawa nafsu kebinatangan. Tidakkah mereka sakit hati jika saudara perempuan mereka juga diperlakukan seperti itu? Janganlah bertindak sewenang-wenangnya dan janganlah biarkan nafsu kebinatangan menguasai akal waras.

Lagi satu kes tragis, seorang bapa tergamak menggelar bayinya yang baru berusia 11 bulan dan dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah. Kesian bayi tidak berdosa, maut di tangan bapanya sendiri. Kes-kes seperti ini bukan kes baru. Ia sering berlaku dan akan terus berlaku jika manusia semakin lupa dan lalai mengingatiNya. Tidak ada langkah terbaik dalam mencegah kes-kes jenayah dan kes sosial lainnya selain daripada kembali kepada tuntutan asal fahaman agama masing-masing kerana agama tidak pernah mengajak berbuat jahat.

14 November 2012

Kucing-Kesayangan Kami

Kucing adalah binatang kesayangan kami sekeluarga. Pernah suatu ketika dulu ada berbelas ekor kucing dalam satu masa di rumah kami. Masa bagi kucing makan memang riuh bunyi kucing mengiau. Tapi saya paling geram bila kucing berak dalam rumah. Walaupun sudah dibasuh, baunya tetap terhidu. Silap-silap boleh pengsan dan saya memang sangat cerewet bab kebersihan. Saya akan selongkor semua ruang untuk cari di mana kucing tu berak. Selagi tidak jumpa, selagi itulah saya tidak akan senang duduk. Lagipun sangatlah memalukan bila orang datang ke rumah dan terhidu bau-bauan yang tidak menyenangkan.

Emm...comel kan kucing-kucing ni. Sebab tu saya suka kucing. Tapi ini bukan gambar kucing kami. Gambar ini saya rembat dari google.








Gadis Kecil Di Pesta Jagung Kota Marudu

Setiap tahun Kota Marudu pasti menganjurkan Pesta Jagung tetapi baru tahun ini saya berkunjung ke pesta tersebut. Itupun sebab terlibat dengan pameran jabatan. Kalaulah saya tidak terlibat dengan pameran, saya lebih suka terperuk di rumah. Samalah juga bila Pesta Kelapa atau Sunset Music Fest diadakan di Kudat, saya tidak pernah berkunjung ke pesta tersebut. Agak merimaskan apabila berada dalam kerumunan orang ramai dengan cuaca yang panas. Berkunjung ke mana-mana pesta bukanlah suatu yang menarik perhatian saya. Saya lebih suka berkunjung ke tempat-tempat yang jauh dari kesibukan orang ramai. Tempat-tempat yang menenangkan dan punya nilai-nilai sejarah adalah tempat-tempat yang menjadi pilihan saya. Peduli apa jika orang melabelkan saya sebagai kolot. Ia adalah hak eksklusif setiap individu. Terpulang kepada anda untuk memilih tempat-tempat yang menarik perhatian anda.

Berbalik kepada Pesta Jagung tadi, sehingga ke saat ini saya masih terbayang gelagat mencuit hati seorang kanak-kanak kecil yang mungkin dalam lingkung empat tahun. Mulanya saya tidak faham apa yang dituturkan oleh si kecil itu sebaik saja dia memandang wajah saya. Lama kemudian barulah saya faham apa yang dituturkan oleh kanak-kanak kecil itu. "Aku ada bapa...aku ada bapa...aku ada bapa, tu bapa aku..." rupanya itulah ayat yang dituturkan oleh si kecil. Punyalah gembira kanak-kanak itu bagitau yang dia ada bapa. Ibu kanak-kanak itu hanya tersenyum memandang saya sambil berkata. "ishh macamlah ko seorang saja ada bapa.." Saya tersenyum sendiri sambil mencubit pipi kanak-kanak itu. Saya sendiri tidak pasti kenapa kanak-kanak itu begitu gembira memberitahu yang dia ada bapa. Tapi biasalah kanak-kanak kan punya macam-macam ragam dan kepelbagaian ragam mereka sering mencuit hati orang-orang dewasa yang ada di sekeliling mereka. Berbahagialah mereka yang dikurniakan anak-anak soleh kerana apabila mati seseorang anak adam itu, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara -sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa dari anak-anak yang soleh.

04 September 2012

Raya & Duit Raya

Berlalulah sudah ramadan sebulan berpuasa
Tiba syawal kita rayakan dengan rasa gembira
Anak muda di rantauan semuanya pulang ke desa
Ibu dan ayah keriangan bersyukur tak terkira

Hari ni raya ke-15. Lambat update bukan sebab masih dalam mood raya tapi sebab mood malas update. Apa-apa pun salam aidilfitri diucapkan buat semua muslimin muslimat. Seronoknya tahun ni dapat peluang cuti raya 2 minggu. Tahun depan tentunya giliran saya pula untuk beraya di opis. Lima hari sebelum raya saya sudah pun berada di kampung. Bertolak lebih kurang jam 11am dan sampai di kampung dalam jam 8pm. Sempat jugalah bantu sikit-sikit kemas rumah sebelum raya.

Bagi kanak-kanak hari raya adalah hari yang paling meriah. Dapat saya saksikan betapa cerianya wajah kanak-kanak yang berkunjung ke rumah termasuklah wajah anak-anak saudara saya. Riang sungguh mereka berlari bekejaran sesama sendiri sambil bermain mercun. Tambah ceria bila dihulurkan sampul duit raya.

Raya dan duit raya sangat sinonim dengan sambutan hari raya. Ini yang ingin saya perkatakan, budaya memberi duit raya seolah-olah sudah menjadi suatu kemestian di kalangan kita. Saya sendiri kadang-kadang terhulur juga duit raya buat anak-anak saudara saya. Persoalanya adakah amalan memberi duit raya merupakan suatu amalan yang wajar diteruskan? Ini kerana dibimbangi amalan memberi duit raya akan menyebabkan penghayatan raya di kalangan kanak-kanak akan tersasar. Misalnya, setiap kali tiba hari raya yang terfikir oleh kanak-kanak ini hanyalah duit raya dan bukannya penghayatan sebenar tentang hari raya itu sendiri. Apalagi jika kumpulan kanak-kanak berkunjung ke rumah-rumah semata-mata untuk mengutip duit raya. Maka jadilah mereka ini seolah-olah peminta sedekah di pagi raya. Tujuan sebenar budaya kunjung-mengunjungi telah tersasar dari matlamatnya kerana berkunjung sekadar untuk mendapatkan duit raya.

Tambah sadis bila ada di antara kanak-kanak ini yang mendesak tuan rumah memberikan duit raya. Selagi duit raya tidak dihulurkan selagi itulah kumpulan kanak-kanak ini enggan beredar. Kejadian seperti ini pernah berlaku di rumah saya sendiri beberapa tahun yang lalu.

Walaubagaimanapun terpulanglah pada diri masing-masing sama ada hendak memberikan duit raya atau tidak. Tidak salah memberikan duit raya, tetapi pada masa yang sama kanak-kanak perlu dididik agar mereka lebih memahami konsep raya yang sebenarnya.

21 July 2012

Salam Ramadhan


Ramadhan datang lagi. Selamat menunaikan ibadah puasa buat semua. Semoga ibadah puasa yang dilaksanakan tahun ini lebih baik dan sempurna berbanding ibadah puasa di tahun-tahun yang lalu.

Bersyukur kita kerana masih diberi kesempatan untuk melaksanakan ibadah puasa tahun ini yang mungkin saja ia merupakan puasa terakhir buat kita kerana kita tidak pernah tahu bila saatnya nafas kan terhenti.

08 July 2012

~Kita~

Tersentak
Terkedu seketika
Seakan baru tersedar dari lamunan panjang
Rupanya kita semakin menjauh
Dan aku sudah tidak punya hak untuk bersuara
Kau aku dan kita semua
Punya haluan sendiri
Walau suatu ketika dulu kita akrab
Saling bercanda
Saling berkongsi cerita dan gurauan
Semuanya tinggal kenangan
Gurauan terasa hambar dan kosong
Aku tau mengapa
Kerana di sudut hati kalian ada sendu yang terpendam
Usah berselindung
Kerana sesungguhnya aku bijak mentafsir tingkah kalian
Dan semua ini sangat pedih untuk kutanggung sendiri

13 May 2012

Jalan Menuju Bahagia


Menurut Martin E.P. Seligman, PhD, pakar psikologi, terdapat 3 jalan menuju kesejahteraan dan kebahagiaan hidup yang berpanjangan iaitu:

1. Hidup yang menyenangkan.
Lalui hidup yang menyenangkan dengan penuh ceria, seronok dan dipenuhi saat-saat gembira.

2. Hidup yang padat.
Penuhi hidup dengan aktiviti-aktiviti menyihatkan atau hobi yang membawa bahagia

3. Hidup sihat yang bermakna
Jalani hidup sebaik mungkin dengan penuh matlamat untuk kehidupan sihat yang menyeluruh dan berterusan

sumber: majalah rapi




02 May 2012

Kuatkan Hatimu

Lamanya saya tidak menulis di blog kesayangan saya ini. Sebulan lamanya saya tinggalkan blog ini tanpa sebarang jejak. Hurmm...banyak idea belegar dalam kepala tetapi jari terasa malas menekan huruf mengatur ayat. Fikiran berserabut memikirkan pelbagai perkara terutamanya bila memikirkan adik yang bakal menjalani pembedahan untuk membuang ketumbahan di rahimnya/fibroid. Saya dapat merasakan kerisauan yang bersarang dalam hatinya. Jika saiz ketumbuhan sangat besar, kemungkinan rahim akan turut dibuang. Bagi seorang wanita, apalah ertinya menjadi seorang wanita tanpa rahim. Anda pasti mengerti maksud saya.

Saya percaya semua yang berlaku ada hikmahnya tetapi untuk kita menyakinkan dan memujuk hati seseorang yang sedang berduka sangatlah sukar. Berilah seberapa banyak kata-kata perangsang, ia seolah tidak memberi apa-apa kesan. Saya turut berduka. Saya tidak sanggup melihat adik saya muram dan menanggis kerana tangisan hanya akan membuatkan hari yang dilalui menjadi semakin suram dan tidak bermaya. Saya hanya mampu berdoa, mengharapkan yang terbaik buat dirinya. Semoga semuanya akan berjalan dengan baik, lancar dan sempurna. Permudahkanlah Ya Allah..

Sekadar Imbasan Lalu


Zaman kanak-kanak adalah zaman paling indah yang hanya akan dilalui sekali seumur hidup. Zaman kanak-kanak yang berlalu tidak akan pernah kita lalui lagi. Masa akan terus beredar membawa kita terus melangkah ke alam dewasa. Kadang-kadang terasa rindu untuk kembali semula ke zaman kanak-kanak. Riang melalui hari-hari tanpa dibebani dengan masalah dan tekanan hidup. Walau hidup dihimpit kemiskinan tetapi keriangan sebagai seorang kanak-kanak tetap dirasai. Dan bila mengimbas semula zaman kanak-kanak yang kami adik-beradik lalui, saya sangat merindui situasi itu. Tetapi semua itu tinggal kenangan. Kedewasaan dan tuntutan semasa telah menjarakkan keakraban kami. Masing-masing sudah punya haluan hidup sendiri. Satu yang menjadi harapan saya, walau sejauh mana kaki kita melangkah membawa haluan semoga kebahagiaan akan sentiasa melingkari kehidupan kita. Sesungguhnya saya tidak kuat berhadapan dengan situasi yang melukakan. Hati saya mudah terluka jika ada di antara kita yang tidak bahagia dengan kehidupannya. Ini kerana pertautan hati di antara sesama kita sangat kuat.

Semua memori yang pernah kita lalui bersama akan tetap kekal dalam ingatan untuk selamanya.




17 March 2012

Bersyukurlah Dengan Apa Yang Anda Miliki


Jika anda dilahirkan sempurna, hargailah kesempurnaan fizikal tersebut kerana di dunia ini ramai yang tidak dilahirkan sempurna. Namun ada di antara mereka tetap saja bersyukur dengan ketidaksempurnaan itu dan sedaya upaya cuba memanfaatkan anggota tubuh yang ada untuk melakukan pelbagai kerja. Bahkan adakalanya kerja-kerja yang dilakukan sangat berat dan mencabar. Namun demi kelangsungan hidup, seberat manapun kerja itu, tetap juga perlu dilakukan. Saya yakin kekuatan jiwa membuatkan mereka tidak mengendahkan ketidaksempurnaan yang mereka miliki. Jiwa mereka bukan jiwa yang lemah yang hanya mengharapkan simpati orang ramai.


Gambar: Fb:Quotes of the day

Dan ketika melihat mereka yang tidak berupaya, jangan mudah kita mencemuh ketidakupayaan fizikal mereka. Cacat fizikal tidak bermakna jiwanya juga cacat. Bahkan mungkin jiwanya lebih mulia berbanding mereka yang sempurna fizikalnya.

09 February 2012

Nilaikan Semula Azam Tahun Baru Anda



Kata kawan saya:
"Kita Sering Mengimbas Kembali Kenangan Lalu Tetapi Jarang Sekali Berusaha Untuk Mengejar Impian Hari Esok"
..............................

Kita telah pun berada di bulan ke dua tahun 2012, bermakna tahun 2012 telah sebulan kita lalui. Apakah anda masih ghairah berbicara soal azam dan semangat baru sama seperti ketika anda membicarakannya di awal tahun lalu ataukah ia semakin luntur dari hari ke hari. Biasanya ramai yang sangat teruja menetapkan pelbagai azam baru hanya di awal tahun saja. Masuk bulan ke dua dan bulan-bulan seterusnya, ia akan jadi semakin luntur dan pudar. Bahkan mungkin ada yang sudah mula lupa apa azam yang ingin dicapai pada tahun berkenaan. Dan masa pun terus berlalu. Azam yang dirancang hanya tinggal catatan dalam diari. Tahun berakhir, diari pun ditutup. Tahun baru tiba lagi dan diari baru dengan catatan azam baru pun dibuka. Kita pun kembali sibuk menulis pelbagai azam yang ingin dicapai walaupun kesudahannya ia juga akan berakhir sebagai suatu catatan yang tidak pernah terusik dalam diari.

Kepada semua, masih belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan selamat tahun baru dan selamat menilai semula semua catatan azam yang telah dibuat pada awal tahun lalu. Semoga segala azam yang ditetapkan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

05 February 2012

Keindahan Alam Yang Mendamaikan Jiwa

Keindahan itu kadang-kadang tidak dapat digambarkan sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Saya sering mengimpikan untuk berada di tempat yang damai dan tenang seperti gambar-gambar di bawah ini. Jauh dari segala hal-hal yang meresahkan fikiran dan perasaan.







04 February 2012

Kisah Tragis Di Bulan Feb


Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Sungguh sedih bila mengenangkan mangsa yang terlibat adalah kanak-kanak kecil yang belum mengerti apa-apa. Terbayang di ruang mata saya, mangsa menjerit ketakutan dan mohon diselamatkan namun apakan daya api yang marak menyala meratah tubuh si kecil tanpa simpati. Al-fatihah buat si kecil. Seluruh warga kampung turut berduka dengan musibah ini. Semoga keluarga si kecil tabah menghadapi ujian terbesar ini. Rasa agak sedih juga sebab tidak dapat balik kampung di saat ada warga kampung ditimpa musibah.



01 February 2012

Mengadulah Pada Allah


Bukanlah suatu perkara yang asing hari ini, bila ramai di antara kita menjadikan facebook sebagai platform untuk meluahkan perasaan tidak kiralah apa pun jenis perasaan itu. Tidak salah sebenarnya menggunakan facebook sebagai alternatif untuk mendapatkan pandangan dari mana-mana pihak. Tetapi pada saya adalah agak kurang manis jika hal-hal yang menyangkut kehidupan peribadi anda seharian turut diceritakan dalam facebook. Tidak perlulah diceritakan dari A-Z tentang diri anda. Jika semuanya dikongsi dengan khalayak ramai, maka apa lagi rahsia tentang anda yang tinggal? Simpanlah sebahagian daripada cerita hidup anda untuk anda sendiri. Kongsikan ia hanya dengan mereka yang benar-benar anda percayai. Paling utama, kawal emosi anda.

Tidak dinafikan ketika sedang marah kita inginkan seseorang yang mahu mendengar luahan hati kita dan cara paling cepat untuk mendapatkan respon adalah melalui facebook. Dalam beberapa saat, pasti ada komen-komen balas yang konon-kononnya prihatin dengan permasalahan kita. Mungkin juga sebab teruja bila mendapat komen-komen balas yang banyak, maka individu-individu berkenaan semakin seronok meluahkan perasaan melalui facebook. Harus diingat, tidak semua komen tersebut benar-benar bernas dan mampu membantu anda menghadapi permasalahan yang dihadapi.

Paling sadis, bila pasangan suami isteri menggunakan facebook sebagai tempat untuk meluahkan kemarahan masing-masing dengan bahasa mencarut yang keterlaluan dan tidak terkawal. Kawal bahasa anda kerana gaya penulisan akan sedikit sebanyak memberikan gambaran personaliti anda. Begitu juga dengan mereka yang menjadikan facebook sebagai tempat untuk melepaskan rasa rindu terhadap pasangan masing-masing. Aduh!! kadang-kadang rasa geli juga baca status-status begini. Kawallah emosi. Kalaupun tengah merindu, tidak perlulah sentiasa kemaskini status semata-mata untuk memberitahu pada seluruh dunia yang anda sedang merindui seseorang. Simpan perasaan itu. Belajarlah untuk berahsia kerana itu akan membuatkan orang semakin tertanya-tanya siapa anda dan apa yang anda lakukan.

Tapi tidaklah semua orang menggunakan facebook sebagai tempat untuk meluahkan perasaan seperti yang saya nyatakan di atas. Masih ramai juga yang menjadikan facebook tidak lebih sekadar alternatif untuk bersosial. Kadang-kadang saya tersenyum sendiri bila membaca status-status yang agak lucu dan nakal.

Saya bersetuju dengan kata-kata Ustaz Azhar Idrus di atas. Mengadulah pada Allah, luahkan segalanya pada Allah. Sebesar manapun rahsia anda, bila anda mengadu pada Allah, rahsia itu selamat di tanganNya. Sebaliknya jika anda mengadu pada facebook, tiada jaminan rahsia itu tidak akan diketahui oleh orang lain.





25 January 2012

2012: Tahun Naga

Sempena cuti Tahun Baru Cina ni seronaklah bagi mereka yang bekerja waktu pejabat sebab dapat cuti panjang. Bagi yang kerja syif memang tidak merasa cuti panjang tu. Di sekitar Kudat walaupun hari ini sudah masuk hari ke-3, kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina masih dirasakan. Sana sini riuh dengan pertunjukan tarian singa dan naga diiringi dengan paluan gendang.

Masa di kampung dulu, jiran sebelah rumah saya berbangsa Cina. Setiap kali tiba sambutan Tahun Baru Cina, jiran saya mesti datang ke rumah. Dari jauh sudah kelihatan pakcik tu datang menuju ke rumah kami dengan beg plastik di tangan. Bila terlihat saja kelibat pakcik tu, saya dan adik akan saling berpandangan dan tersenyum sesama sendiri. Walaupun tanpa apa-apa perkataan tapi kami tau ada sesuatu yang bakal kami terima dan biasanya yang terisi dalam beg plastik itu adalah buah-buah limau dan biskut-biskut yang dibelinya dari kedai di pekan Tenom. Tekaan kami tidak pernah silap. sebaik saja pakcik itu beredar, kami segera mendapatkan ibu kami dan pura-pura bertanya untuk apa pakcik itu datang. Biasanya jumlah buah limau yang diberikan cukup untuk semua orang. Oh, alangkah gembiranya hati dapat menikmati keenakan buah limau mandrin percuma. Masa dulu, untuk beli buah limau mandrin memang tidak pernah walau sekali pun sebab hidup waktu itu sangat susah. Memadailah dengan makan buah limau manis yang banyak terdapat di sekeliling rumah. Keluarga pakcik Cina itu pun tidaklah berada sangat. Corak kehidupan kami lebih kurang sama juga - sama-sama mengusahakan tanah sawah dan kebun koko. walaupun begitu mereka tetap ingin berkongsi kegembiraan di hari Tahun Baru Cina dengan kami sekeluarga.

Banyak kenangan yang kami lalui bersama dan persahabatan itu terjalin tanpa sempadan. Paling saya ingat, waktu pagi kami akan berjalan kaki sama-sama ke sekolah, saling menunggu dan bermain bersama. Sudah hampir 20tahun mereka meninggalkan kampung. Berhijrah ke daerah lain tetapi ikatan kemesraan yang terjalin tetap terpelihara hingga ke hari ini walaupun makcik dan pakcik itu telah lama meninggal dunia. Anak-anaknya tetap mengingati kami sekeluarga. Sungguh terharu bila buat pertama kalinya mereka adik-beradik datang berkunjung ke rumah semasa adik saya melangsungkan perkahwinan November lalu setelah bertahun-tahun tidak bersua. Dan syukur kerana salah seorang daripada mereka akhirnya memilih Islam sebagai agama anutannya. Alangkah indahnya jika mereka semua turut memeluk Islam tetapi kita tidak berhak untuk memaksa mereka.

Jalinkanlah persahabatan dengan sesiapa pun tanpa perlu mengira perbezaan agama dan budaya. Apa yang penting mereka tidak akan mempengaruhi anda untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. Sekalipun mungkin ada yang cuba menghasut anda, teguhkanlah hati dan pertahankanlah nilai jati diri anda. Kita akan sering terimbas kenangan lalu dan benarlah kenangan adalah sebahagian daripada pengalaman hidup yang akan kekal selamanya dalam ingatan.

Antara gambar yang sempat saya ambil sempena sambutan Tahun Baru Cina 2012 di Kudat...



24 January 2012

Wanita dan Bunga Adalah Sinonim

Kenapa wanita sering disamakan seperti bunga dan lelaki pula diibaratkan seperti kumbang :-) ? Ini tentu saja kerana bunga itu indah, menarik dan mempesonakan. Malah keharuman sesetengah bunga dijadikan bahan asas pembuatan minyak wangi. Belum pernah rasanya bahan asas minyak wangi diperbuat daripada kumbang kan. Ada ka? Kalaupun ada mesti bau semacam. Jadi untuk anda yang bergelar wanita, berbanggalah kerana dilahirkan sebagai seorang wanita. Kita selalu dengar, di sebalik kejayaan seorang lelaki ada wanita berdiri di belakang menyokongnya. Jarang pula kedengaran, di sebalik kejayaan seorang wanita, ada lelaki berdiri di belakang menyokongnya walaupun tidak dinafikan sememangnya ada. Dan lagi bila suami dapat gelaran datuk, secara rasminya si isteri juga mendapat tempias gelaran datin. Tapi kalau isteri dapat gelaran datuk, suami dapat tempias gelaran juga ka..?

Sama ada anda dilahirkan sebagai wanita atau lelaki, hargailah kehidupan anda kerana kita tidak berhak untuk memilih lahir sebagai wanita atau lelaki. Semuanya adalah kententuanNya.









sumber gambar: google

23 January 2012

Derma Mata Untuk Dunia

COLOMBO - Sri Langka merupakan antara negara yang paling banyak penderma mata di dunia selepas perang saudara di negara ini berakhir. Ia menyumbang 3,000 kornea pada setiap tahun dan menyediakan tisu untuk mata kepada 57 buah negara bagi tempoh lebih hampir setengah abad. Persatuan Pendermaan Mata Sri Lanka memulakan promosi menderma mata sejak berdekad-dekad lamanya. Bekalan kornea amat baik di negara ini sehingga menyebabkan kerajaan Sri Lanka menubuhkan bank mata pada tahun lalu. Bank itu dibiayai oleh penderma dari Singapura. Hampir 900,000 orang telah menandatangani ikrar untuk menderma mata selepas mereka mati menerusi persatuan tersebut.

"Orang ramai bertanya kepada saya, bolehkah kami menderma mata kami semasa masih hidup?Disebabkan kami mempunyai dua mata, bolehkah kami menderma satu mata?" kata Pengarah Hospital Mata Kebangsaan Sri Lanka, Dr. Sisira Liyanage. Kebanyakan penduduk Sri Lanka beragama Buddha yang percaya mendermakan mata membantu mereka dilahirkan kembali dengan menikmati hidup yang lebih baik. -Agensi@Kosmo Online

~~~~~~~~~~~~~

Sekadar renungan bersama, bagaimana rasanya jika anugerah penglihatan yang kita miliki ini tiba-tiba ditarik semula oleh Allah? Jika sebelum ini kita sudah terbiasa dengan penglihatan yang jelas dan terang, mampukah rasanya kita menyesuaikan diri dengan suasana baru yang sangat berbeza berbanding sebelum ini. Saya teringat pada seorang pakcik di kampung yang mengalami masalah penglihatan. Saya tidak pasti puncanya tapi ramai yang mengatakan ia disebabkan oleh genetik. Sebelum ini, penglihatan pakcik itu normal dan tiada masalah langsung. Dia bebas bergerak ke sana sini tanpa perlu dipimpin tangannya tapi sekarang pergerakannya jadi terhad dan perlu seseorang memimpin tangannya untuk berjalan ke mana-mana. Kasihankan...

Tabahlah Wahai Sahabat

Saya tersentuh dengan satu komen yang tercatat di entri saya yang lepas, entri 2 tahun lepas. Ia adalah entri yang berkisar soal hati - merawat hati yang terluka. Saya menulis entri tersebut sekadar untuk suka-suka. Saya percaya kita semua pernah berhadapan dengan situasi yang membuatkan hati kita terluka. Luka yang tidak terawat akhirnya akan membuatkan seluruh kehidupan jadi duka. Sesuatu hal yang bersangkut paut dengan hati sebenarnya bukanlah suatu hal yang mudah untuk dirungkaikan. Dan perkara-perkara yang membuatkan hati kita terluka datang dari pelbagai sebab. Ada yang terluka disebabkan oleh sikap ibu bapa, majikan, kawan-kawan, kekasih mahupun disebabkan oleh tingkah laku pasangan suami/isteri yang berlaku curang.

Saya kerap terbaca sama ada melalui majalah, internet mahupun melalui perbualan dengan rakan-rakan yang berhadapan dengan masalah rumah tangga. Saya benar-benar bersimpati dengan semua luahan mereka. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah berperanan sebagai pendengar kerana untuk memberikan apa-apa pandangan, saya juga masih kurang pengalaman dan saya sendiri tidak tahu bagaimana agaknya perjalanan hidup saya di kemudian hari.

Perjalanan hidup kita tidak selamanya akan indah dan berjalan lancar, pasti akan ada bengkang bengkoknya kerana ia sebahagian dari janji Allah untuk menguji iman kita. Hanya mereka yang sedang terluka sahaja tahu betapa beratnya bebanan perasaan yang sedang dihadapi. Semoga anda akan kembali kuat dan tabah dalam menghadapi semuanya..