14 November 2012

Gadis Kecil Di Pesta Jagung Kota Marudu

Setiap tahun Kota Marudu pasti menganjurkan Pesta Jagung tetapi baru tahun ini saya berkunjung ke pesta tersebut. Itupun sebab terlibat dengan pameran jabatan. Kalaulah saya tidak terlibat dengan pameran, saya lebih suka terperuk di rumah. Samalah juga bila Pesta Kelapa atau Sunset Music Fest diadakan di Kudat, saya tidak pernah berkunjung ke pesta tersebut. Agak merimaskan apabila berada dalam kerumunan orang ramai dengan cuaca yang panas. Berkunjung ke mana-mana pesta bukanlah suatu yang menarik perhatian saya. Saya lebih suka berkunjung ke tempat-tempat yang jauh dari kesibukan orang ramai. Tempat-tempat yang menenangkan dan punya nilai-nilai sejarah adalah tempat-tempat yang menjadi pilihan saya. Peduli apa jika orang melabelkan saya sebagai kolot. Ia adalah hak eksklusif setiap individu. Terpulang kepada anda untuk memilih tempat-tempat yang menarik perhatian anda.

Berbalik kepada Pesta Jagung tadi, sehingga ke saat ini saya masih terbayang gelagat mencuit hati seorang kanak-kanak kecil yang mungkin dalam lingkung empat tahun. Mulanya saya tidak faham apa yang dituturkan oleh si kecil itu sebaik saja dia memandang wajah saya. Lama kemudian barulah saya faham apa yang dituturkan oleh kanak-kanak kecil itu. "Aku ada bapa...aku ada bapa...aku ada bapa, tu bapa aku..." rupanya itulah ayat yang dituturkan oleh si kecil. Punyalah gembira kanak-kanak itu bagitau yang dia ada bapa. Ibu kanak-kanak itu hanya tersenyum memandang saya sambil berkata. "ishh macamlah ko seorang saja ada bapa.." Saya tersenyum sendiri sambil mencubit pipi kanak-kanak itu. Saya sendiri tidak pasti kenapa kanak-kanak itu begitu gembira memberitahu yang dia ada bapa. Tapi biasalah kanak-kanak kan punya macam-macam ragam dan kepelbagaian ragam mereka sering mencuit hati orang-orang dewasa yang ada di sekeliling mereka. Berbahagialah mereka yang dikurniakan anak-anak soleh kerana apabila mati seseorang anak adam itu, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara -sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa dari anak-anak yang soleh.

No comments:

Post a Comment