26 August 2010

25hb Hari Gaji SeMalaysia ;-)

Ketibaan 25hb sentiasa dinantikan bagi setiap kakitangan awam kerana pada tarikh inilah bil-bil bulanan dapat dijelaskan dengan sempurna, sama ada bil telefon, api, air dan pelbagai jenis bil lagi. Pada tarikh inilah, kaunter-kaunter bank penuh sesak dan mesin ATM kehabisan duit dalam tempoh beberapa jam sahaja. Kadang-kadang ada yang mengunjungi mesin ATM seawal jam 6 pagi untuk mengelakkan daripada terpaksa beratur panjang. Begitulah hebatnya kuasa tarikh 25hb setiap bulan dan saya juga tidak terkecuali daripada senarai pekerja awam yang sentiasa menantikankan ketibaan 25hb :-)

Seronok rasanya bila diumumkan semua kakitangan awam dari gred 1 - 54 akan diberikan bantuan khas Hari Raya sebanyak RM500. Meskipun bagi sesetengah orang ada yang beranggapan ia hanyalah jumlah yang kecil tapi bagi saya, saya tetap bersyukur dengan pengumuman itu. Sebenarnya kitalah yang perlu bijak dan berhemah dalam berbelanja. Berbelanjalah mengikut keperluan, bukannya mengikut tuntutan hawa nafsu. Kalau setiap kita dididik untuk berbelanja secara berhemah, saya pasti kes 'keberhutangan serius' di kalangan penjawat awam tentunya dapat dielakkan dan ingatlah mereka yang disenaraikan dalam kumpulan keberhutangan serius boleh dikenakan tindakan tata tertib..



Pro vs Kontra

Dalam entri sebelum ini, saya bersetuju terhadap perlaksanaan undang-undang yang menetapkan bahawa mereka yang disabitkan dengan kes buang bayi wajar didakwa dengan niat membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau di didakwa dengan niat cubaan membunuh. Tapi setelah difikir semula, dapatkah hukuman seperti ini membendung kes ini tidak berlaku lagi sedangkan sekarang ini pun telah ada peruntukan hukuman mati ke atas pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan seperti pengedaran dadah dan kes bunuh. Namun kes-kes dadah dan bunuh tetap juga berlaku? Itu satu hal, bagaimana pula jika yang terlibat dengan kes buang bayi itu adalah remaja bawah umur. Wajarkah usia muda mereka ditamatkan di tali gantung? Persoalan ini sebenarnya telah menimbulkan banyak pandangan sama ada yang bersifat pro mahupun kontra. Sekali imbas, memanglah perlaksanaan hukuman yang ketat merupakan alternatif yang berkesan dan diharap mampu menimbulkan kesan gerun kepada sesiapa pun tetapi semasa kepala otak dikuasai oleh setan, tiada siapa pun sebenarnya yang akan terasa gerun pada hukuman yang menanti, yang dirasakan hanyalah keseronakan.

Persoalan utama yang perlu dirungkai sebenarnya adalah mengkaji akar umbi permasalahan ini. Mengapa keadaan ini berlaku? Kita kerap mendengar sebab utama adalah rapuhnya hubungan kekeluargaan di samping wujudnya lambakan bahan-bahan porno yang berleluasa. Salah siapa jika hubungan kekeluargaan semakin rapuh? Salah siapa jika lambakan bahan-bahan porno semakin berleluasa? Ya, ini zaman globalisasi, zaman yang memungkinkan segala-galanya dapat diperolehi dengan mudah tapi itu bukannya alasan untuk membenarkan segala-galanya dapat di akses dengan mudah.

Masyarakat seharusnya lebih peka, sensitif dan terbuka terhadap isu ini. Kes buang bayi mungkin terjadi disebabkan remaja merasa malu, takut dan panik, jadi mereka mengambil langkah mudah dengan membuang bayi tersebut. Pada saya jika remaja ini diberi sokongan emosi oleh ahli-ahli keluarga dan masyarakat, kes ini mungkin dapat dibendung. Perkara sudah terjadi, nasi sudah menjadi bubur. Sekalipun dimaki siang dan malam, ia sudah tidak berguna jadi terima situasi itu dengan terbuka. Bukanlah bermaksud saya menggalakkan berlakunya zina dan maksiat. Apa yang ingin saya jelaskan janganlah ahli keluarga dan anggota masyarakat umumnya terus menggalakkan remaja tersebut melakukan dosa zina dan ditambah pula dengan dosa membunuh. Ingatlah bayi yang dibunuh itu tidak berdosa.

Paling utama, kembalilah kepada tuntutan agama masing-masing. Hayati, Fahami, Dalami, dan Praktikkan apa yang disarankan oleh agama. Kes terbaru, seorang kanak-kanak 12 tahun dicekup ketika melakukan zina sangatlah menggerunkan. Semoga kanak-kanak ini sedar dan diberikan hidayah oleh Allah swt.

Sekadar berkongsi catatan seseorang yang saya ambil dari "Catatan Doa-doa Islam Sehari-hari" di facebook. Katanya: "Satu satu hal yang menyebabkan kehancuran adalah hilangnya akhlak baik dan tidak kuatnya iman. Kita seharusnya diajarkan keseimbangan, seperti di sekolah, selain materi pelajaran, juga harus diajarkan akhlak baik dan ingat hidup tidak hanya di dunia saja. Jadi harus seimbang, antara usaha dan beribadah serta amal baik, untuk menjalaninya jangan pantang menyerah!semangat harus kuat..."

14 August 2010

Hukuman Mati Menanti Anda

Akhirnya.......

Kabinet mengarahkan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan bunuh. Arahan itu meminta polis supaya menyiasat sesiapa yang membuang bayi sehingga menyebabkan kematian bayi, disiasat di bawah Seksyen 302 kanun tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. Selain itu mereka juga boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian di bawah kanun yang sama-utusan online. Melaka pula mengambil inisiatif dengan mewujudkan talian khas bebas tol remaja hamil: 06-2333333 bagi membantu remaja yang berhadapan dengan masalah tersebut.

Langkah-langkah ini memang perlu dikuatkuasakan segera memandangkan isu ini semakin parah hari ini. Samalah juga seperti kes anak hilang yang sebelum ini ada dinyatakan bahawa ibu bapa yang lalai hingga menyebabkan anak mereka hilang akan didakwa tapi akhirnya ia menjadi senyap begitu saja.

Sekadar renungan bersama ***Salah satu cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 ialah "Memujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mengutamakan kepentingan masyarakat, kebajikan insan tidak akan berkisar kepada Negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh." Dengan peningkatan kes-kes yang lari daripada nilai-nilai kemanusian hari ini, sesungguhnya ini merupakan cabaran paling besar dalam merealisasikan pencapaian Dasar Wawasan 2020 menjelang 10 tahun dari sekarang.


"Sayangi Diri Anda, Hargai Kehidupan Anda"

07 August 2010

Daun Gugur & Pokok Sakit

Tajuk ini saya ambil daripada tajuk rencana Utusan Malaysia Online 7 Ogos 2010.Menariknya tajuk ini cuba mengupas isu sosial yang melanda remaja hari ini terutamanya isu hamil luar nikah dan pembuangan bayi. Entahlah di mana silapnya, isu ini bagaikan tidak pernah menemui titik nokahnya. Terbaru seorang bayi perempuan ditemui di sebuah longkang dalam lubang paip berhampiran stesen minyak Klang Gate. Alhamdullillah tangisan bayi itu didengari oleh seorang remaja lelaki yang kemudiannya bertindak menyelamatkan bayi itu.

Saya tidak berminat untuk menuding jari kepada sesiapa sebab saya juga bukanlah manusia yang terlalu baik dan terpelihara daripada dosa. Namun apa yang membuatkan saya tertarik dengan tajuk ini ialah petikan yang terkandung dalam rencana ini. Salah satunya ialah penulis menyatakan bahawa "masalah selepas berkahwin tanpa persediaan mental dan fizikal yang cukup akan menambahkan jumlah perkahwinan yang porak peranda." Secara umumnya saya bersetuju dengan kenyataan ini terutamanya bila melihat kepada situasi kini yang serba-serbinya sangat mencabar kekuatan minda dan fizikal. Pada saya, yang paling penting adalah kehidupan selepas berkahwin. Sayangnya ramai yang hanya mementingkan persiapan pada hari perkahwinan. Bukan suatu yang menghairankan bila ada yang sanggup bergolok gadai semasa hari perkahwinan semata-mata untuk menjadikan majlis dipandang hebat. Apa gunanya jika hanya pada hari itu sahaja majlis hebat dan seminggu kemudian gigit jari memikirkan hutang-hutang yang perlu dibayar. Bagi yang berkemampuan, ia bukanlah masalah besar. Bagi yang kurang berkemampuan, bersederhanalah.

Selain kewangan, banyak lagi hal-hal lain yang perlu dipersiapkan seperti kekuatan emosi untuk menghadapi setiap masalah yang timbul. Percayalah 99% pasti ada perubahan sikap akan berlaku di antara pasangan. Kalau kita mengharapkan pasangan kita kekal dengan sikap romantisnya semasa mula-mula menjalin hubungan dulu, itu semua mungkin tidak akan berlaku lagi. Bahkan ada di antaranya mula menunjukkan rasa bosan terhadap pasangan bila berada di rumah. Bosan bukan bermakna tidak sayang tapi jika setiap hari menghadapi rutin yang sama di rumah pasti lama-kelamaan akan timbul perasaan bosan di hati pasangan. Inilah yang sangat berbahaya dan merupakan ancaman kepada kekukuhan institusi rumah tangga. Jadi setiap pasangan harus bijak mengatur variasi rumah tangga. Kawan saya pernah berkata, "Anda telah memilih dan memutuskan untuk bersama dengan pasangan anda, jadi apa pun kelebihan dan kelemahannya anda harus bersedia menerimanya dan berhentilah daripada terus mengeluh tentang diri pasangan anda."

Meskipun perjalanan saya untuk menempuh alam rumah tangga masih jauh dan samar-samar tapi saya tahu, alam perkahwinan sangat mencabar dan melelahkan. Tahniah kepada semua yang berjaya menempuhnya hingga ke akhir hayat.