07 August 2010

Daun Gugur & Pokok Sakit

Tajuk ini saya ambil daripada tajuk rencana Utusan Malaysia Online 7 Ogos 2010.Menariknya tajuk ini cuba mengupas isu sosial yang melanda remaja hari ini terutamanya isu hamil luar nikah dan pembuangan bayi. Entahlah di mana silapnya, isu ini bagaikan tidak pernah menemui titik nokahnya. Terbaru seorang bayi perempuan ditemui di sebuah longkang dalam lubang paip berhampiran stesen minyak Klang Gate. Alhamdullillah tangisan bayi itu didengari oleh seorang remaja lelaki yang kemudiannya bertindak menyelamatkan bayi itu.

Saya tidak berminat untuk menuding jari kepada sesiapa sebab saya juga bukanlah manusia yang terlalu baik dan terpelihara daripada dosa. Namun apa yang membuatkan saya tertarik dengan tajuk ini ialah petikan yang terkandung dalam rencana ini. Salah satunya ialah penulis menyatakan bahawa "masalah selepas berkahwin tanpa persediaan mental dan fizikal yang cukup akan menambahkan jumlah perkahwinan yang porak peranda." Secara umumnya saya bersetuju dengan kenyataan ini terutamanya bila melihat kepada situasi kini yang serba-serbinya sangat mencabar kekuatan minda dan fizikal. Pada saya, yang paling penting adalah kehidupan selepas berkahwin. Sayangnya ramai yang hanya mementingkan persiapan pada hari perkahwinan. Bukan suatu yang menghairankan bila ada yang sanggup bergolok gadai semasa hari perkahwinan semata-mata untuk menjadikan majlis dipandang hebat. Apa gunanya jika hanya pada hari itu sahaja majlis hebat dan seminggu kemudian gigit jari memikirkan hutang-hutang yang perlu dibayar. Bagi yang berkemampuan, ia bukanlah masalah besar. Bagi yang kurang berkemampuan, bersederhanalah.

Selain kewangan, banyak lagi hal-hal lain yang perlu dipersiapkan seperti kekuatan emosi untuk menghadapi setiap masalah yang timbul. Percayalah 99% pasti ada perubahan sikap akan berlaku di antara pasangan. Kalau kita mengharapkan pasangan kita kekal dengan sikap romantisnya semasa mula-mula menjalin hubungan dulu, itu semua mungkin tidak akan berlaku lagi. Bahkan ada di antaranya mula menunjukkan rasa bosan terhadap pasangan bila berada di rumah. Bosan bukan bermakna tidak sayang tapi jika setiap hari menghadapi rutin yang sama di rumah pasti lama-kelamaan akan timbul perasaan bosan di hati pasangan. Inilah yang sangat berbahaya dan merupakan ancaman kepada kekukuhan institusi rumah tangga. Jadi setiap pasangan harus bijak mengatur variasi rumah tangga. Kawan saya pernah berkata, "Anda telah memilih dan memutuskan untuk bersama dengan pasangan anda, jadi apa pun kelebihan dan kelemahannya anda harus bersedia menerimanya dan berhentilah daripada terus mengeluh tentang diri pasangan anda."

Meskipun perjalanan saya untuk menempuh alam rumah tangga masih jauh dan samar-samar tapi saya tahu, alam perkahwinan sangat mencabar dan melelahkan. Tahniah kepada semua yang berjaya menempuhnya hingga ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment