11 July 2011

"Selamat Tinggal Semua.."

Sebelum saya mulakan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua yang sedang menatap surat yang ke-12 ini. Masa berlalu begitu cepat dan ini merupakan surat saya yang terakhir. Saya harap apabila anda selesai membaca surat ini, walaupun apa yang akan terjadi ke atas diri saya, anda akan terus menyokong kempen 'Kami Percaya Pada Peluang Kedua.' Untuk surat terakhir ini, saya ingin menulis tentang bagaimana perasaan saya dalam menunggu saat-saat kematian. Pertama, saya merasakan bahawa kewujudan hukuman mati ini bukan hanya demi hukuman, tetapi sebaliknya untuk membolehkan pesalah memahami, dan berdepan sepenuhnya, dengan kesilapan yang telah dilakukan. Ambil diri saya sebagai contohnya, saya sebenarnya bersyukur saya telah ditangkap kerana ia membolehkan saya memahami makna dan tujuan sebenarnya kehidupan ini, dan telah membolehkan saya mencari kekuatan dalam diri ini. Saya ingat pernah menyebut tentang "diri ini" sebelum saya ditangkap - seorang yang tidak pernah benar-benar hidup sebelum.

Beberapa hari yang lalu, peguam saya, M.Ravi datang melawat saya. Beliau memberitahu saya bahawa beliau akan menghantar rayuan terakhir saya kepada Presiden Singapura dalam beberapa hari. Itu adalah peluang terakhir saya. Pada malam sebelum hukuman mati dilaksanakan, tahanan akan diberi peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga. Mereka tidak mahu lagi memikirkan perkara lain, selain rasa kesakitan dan kesengsaraan sebelum menjalani hukuman itu. Bagi pesalah hukuman mati, pada saat diiring keluar dari sel, mereka sudah hilang kawalan emosi dan tidak dapat lagi mengawal perasaan. Sebanyak manapun kaunseling yang diberi, tidak akan dapat menenangkan mereka kerana sebaik sahaja melangkah keluar dari sel, mereka tahu mereka tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Tetapi orang yang paling merasakan kesakitan itu adalah keluarga mereka. Saya tidak berani membayangkan perasaan mereka ketika menunggu di luar untuk menuntut mayat orang yang amat disayangi.

Jika Esok Malam Terakhir Saya

Bagi saya jika esok adalah malam terakhir saya, maka saya juga tidak ada pilihan. Tetapi saya bersedia menghadapi hakikat itu. Lagipun saya yang buat silap, dan saya telahpun bertaubat. Apakah saya takut? Saya benar-benar tidak tahu. Tetapi saya rasa mungkin tidak, kerana saya mulai biasa dengan perasaan menghadapi kematian - jangan lupa, dalam tempoh empat tahun yang singkat ini, saya sudah banyak kali berdepan dengan kematian. Sesungguhnya saya telah beberapa kali "mati" sebelum ini. Pada tahun 2007, bila saya ditangkap, dan selepas mengenali ajaran Buddha, saya "dilahirkan semula." Pada 2009, apabila saya dijatuhi hukuman mati, dan peguam saya merayu terhadap hukuman saya itu.

Saya tidak akan meminta makanan yang mahal-mahal untuk makan malam terakhir saya. Saya rasa saya akan teruskan rutin tetap saya bangun pada waktu pagi untuk skrip buddha saya dan bermeditasi, diikuti dengan sarapan pagi vegetarian saya sehingga tiba waktu malam, mengenakan pakaian terbaik yang dibeli saudara perempuan saya, mengucapkan selamat tinggal kepada tahanan lain, dan akhirnya tunduk kepada Tuhan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih saya. Tetapi saya tidak benar-benar meluahkan perasaan saya kerana sesungguhnya saya tidak tahu bagaimana perasaan saya ketika melangkah ke arah tali gantung nanti. Saya rasa tiada siapa pun yang tahu.

Saya telah melalui tahap di mana saya rasa kehilangan, jahil dan penderitaan tetapi ajaran Buddha yang saya amalkan telah membebaskan diri saya. Saya juga berterima kasih kerana ramai yang bersedia untuk memaafkan saya. Mampu untuk hidup sehingga hari ini adalah satu anugerah terbesar pada diri saya.
Saya rasa keluarga saya telah dapat menerima diri saya di atas apa yang telah saya lakukan, dan apa jua yang akan berlaku selepas ini. Mereka bersyukur kerana saya berubah dan saya terus membaca dan mengamalkan ajaran Buddha. Pengalaman pahit saya juga telah dapat memperbaiki hubungan di kalangan anggota keluarga saya, terutama adik-beradik saya. Tetapi saya kadangkala masih bimbang saat apabila ibu saya akhirnya mendapat tahu yang saya tiada lagi di dunia ini. Saya ingin sekali mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Saya tidak akan dapat berkongsi cerita mengenai diri saya tanpa bantuan anda. Saya akan berdoa untuk anda, dan semoga anda semua dalam keadaan sihat dan bahagia. Selamat tinggal.


***************************************************************
Surat ini ditulis oleh seorang banduan rakyat Malaysia kelahiran Sabah yang sedang merenggkok di penjara Singpura. Beliau menunggu hukuman gantung dilaksanakan keatasnya kerana kesalahan mengedar dadah. Pada November 2009, beliau dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah. Beliau hanya berusia 19 tahun. Pada 4 April lalu, beliau gagal dalam rayuan terakhirnya bagi mengelakkan hukuman mati mandatori, kecuali diberikan pengampunan oleh Presiden Singapura. Surat ini disiarkan menerusi web malaysiakini

"Hargailah setiap peluang yang ada dalam hidup kita kerana untuk mendapatkan peluang ke dua mungkin agak sukar. Juga hargailah setiap insan yang anda sayangi kerana sekali mereka pergi, mereka tidak akan pernah kembali lagi.."

Semoga luahan rasa yang ditulis oleh banduan akhir ini akan sedikit sebanyak memberikan keinsafan pada kita semua agar tidak tersilap langkah dalam menjalani hidup yang penuh dengan ujian dan dugaan ini.







08 July 2011

Kisah 5 Perkara Aneh

*Kisah ini saya ambil daripada email yang dihantar kepada saya, sekadar untuk dikongsi bersama

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:

  1. Engkau sembunyikan
  2. Apa yang engkau lihat (hadapi) makanlah.
  3. Engkau terimalah
  4. Jangan engkau putuskan harapan
  5. Larilah engkau daripadanya
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan. Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur alhamdulillah.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihat keadaan itu, lantas burung helang itupun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang itu pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalanannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya. Maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintahMu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini. Dalam mimpi Nabi itu telah diberitahu oleh Allah SWT bahawa:

  1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
  2. Semua amal kebaikan (budi) walaupun disembunyikan maka ia tetap akan nampak jua
  3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya
  4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
  5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah




02 July 2011

EPSA II

Legaaaaaa...
Sebab selesai siapkan kursus EPSA. Lepas ni tidak perlu lagi serabutkan kepala fikir pasal kursus. Tidak perlu sibuk-sibuk datang ke HQ untuk berkursus lagi. Kursus dalam talian, mudah, cepat, jimat masa dan kos. Tahun depan dan tahun-tahun berikutnya, EPSA akan jadi pilihan utama saya. Tapi kalau kena panggil berkursus ke HQ pun ok juga. Lagipun saya sudah lama tidak menjejakkan kaki ke KL sejak pindah ni. Boleh juga jalan-jalan cuci mata sekitar KL kan. Cuma bila ingat perjalanan yang jauh, jadi malas pula. Untuk ke KKIA ambik masa 2 jam setengah. Naik kapal terbang lagi lebih kurang dua jam setengah lagi. Dari LCCT ke tempat penginapan ambik masa sejam, itupun kalau jalan tidak sesak. Huh kalau cam ni, jawapnya EPSA saja la. EPSA pun ok juga. Ada banyak kursus ditawarkan. Satu-satu topik yang dibincangkan boleh diulang tayang beberapa kali, terpulang pada kehendak masing-masing. Kalau rasa bosan baca nota yang disediakan, boleh buka facebook, main game jap. Pendekatannya juga agak menarik. Selain disediakan nota, beberapa aktiviti seperti silang kata dan kuiz juga disediakan pada setiap topik yang dibincangkan bertujuan untuk menguji kefahaman peserta kursus. Pilih la ikut mana suka dan yang penting keperluan 7 hari berkursus dalam setahun untuk kakitangan awam tercapai.