13 December 2011

Awan

Sekali tengok, awan ini bagaikan kelihatan tumbuh di atas permukaan bumi :-). Gambar ini diambil pada bulan Mei lalu sekitar jam 6am semasa melakukan pencerapan cuaca. Memerhatikan keindahan alam merupakan sebahagian daripada minat saya. Kadang-kadang hati turut terbuai asyik dan kagum melihat keindahan alam. Bahkan alam yang menghijau juga sebenarnya mampu menjadi terapi untuk mendapatkan ketenangan jiwa.

11 December 2011

Alam & Keamanan Sejagat

Alam ciptaan Allah swt ini sesungguhnya sangat indah dan mendamaikan untuk didiami namun sengketa, konflik dan peperangan yang sering terjadi di sesetengah tempat telah mengubah landskap alam menjadi suatu pemandangan yang tidak lagi indah dan mendamaikan. Kalau saja manusia mampu saling bersatu dan melupakan segala sengketa dan kepentingan diri, alangkah indahnya dunia ini. Namun keamanan sejagat adalah mustahil dan hanya retorik semata. (sumber gambar: FB: The most beautiful things in the world)







10 December 2011

Gerhana Bulan Penuh

Kejadian gerhana bulan penuh malam ni memang nampak jelas. Selalunya sebelum ini gerhana bulan berlaku agak lewat malam. Jadi jarang sekali dapat tengok. Masa jam 7pm tadi bulan kelihatan penuh dan terang tanpa sebarang bayang gelap. Lebih kurang jam 9pm tadi bayang-bayang gelap di sebahagian kawasan bulan mula kelihatan seperti pada gambar di bawah ini (sumber gambar: google)



Kemudian lebih kurang jam 10pm tadi, bulan kelihatan bagaikan sebiji bola raksaksa berwarna kemerahan seperti gambar di bawah (sumber gambar: google).




Akhir sekali pada jam 1135pm bulan kelihatan seperti pada awal pembentukan gerhana bulan tadi iaitu terdapat bahagian yang gelap dan terang. 1158pm, bulan mula bersinar terang dan hanya sedikit bahagian bulan yang masih dilitupi bayang gelap.

Subahanallah, Maha Suci Allah yang menjadikan segala kejadian ini.

12 November 2011

Himpunan Mutiara Kata









Semua himpunan mutiara kata ini di ambil dari google.

08 November 2011

Orkid









Ini adalah sebahagian lagi bunga jenis orkid dan keladi yang ditanam oleh bapa saya. Di tepi blog ini, saya turut memaparkan gambar bunga-bunga orkid yang ditanam olehnya di sekeliling rumah kami di kampung. Selain daripada memancing, bapa saya memang penggemar bunga terutama sekali bunga-bunga jenis orkid, keladi dan bunga kertas. Walaupun jarang dapat meluangkan masa dengannya, saya berharap agar dia sentiasa gembira dan sihat melalui hari-hari tuanya.

07 November 2011

Cuaca


2 gambar di atas diambil lebih kurang dua bulan yang lalu. Cuaca panas dan berjerebu. Langit adakalanya langsung tidak berawan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Gambar di bawah ini pula diambil awal pagi tadi. Berbeza dengan dua bulan yang lalu, hari ini langit mendung dan dipenuhi awan. Nampaknya musin Monsun Timur Laut mula mengambil tempat. Monsun Timur Laut biasanya bermula pada awal November dan berakhir pada Mac.


Keadaan cuaca bukan sahaja akan mempengaruhi kelancaran aktiviti yang akan dilakukan tetapi sedikit sebanyak ia juga mampu mempengaruhi kestabilan emosi seseorang. Misalnya dalam keadaan cuaca panas, seseorang itu cenderung untuk merasa marah, sensitif ataupun merasa ceria dan bersemangat. Dalam keadaan cuaca sejuk, hujan dan mendung pula seseorang itu adakalanya akan merasa tidak bersemangat, mengantuk dan muram. Melihat titisan hujan yang jatuh ke tanah adalah suatu pemandangan yang mengasyikkan tetapi jika hujan turun berterusan selama beberapa hari, bukan lagi rasa asyik yang ada tapi rasa bimbang pula muncul. Bimbang kalau-kalau akan terjadi banjir. Apapun andaian yang diberikan, sesungguhnya perkaitan antara cuaca dan emosi manusia merupakan sebahagian daripada rahsia alam..

Manusia & Kepelbagaian Ragam

Manusia ada pelbagai ragam. Ada yang kaki sembang. Pantang jumpa kawan asyik bersembang sampai kadang-kadang berjam-jam lama pun tahan sembang. Ada saja cerita yang disembangkan macam bekas tuan rumah saya masa di PJ dulu. Pantang nampak saya ada di rumah mesti ajak bersembang. Kalau sekejap ok juga ini kadang-kadang sampai berjam-jam lamanya. Sampaikan saya rasa sungguh dan teramat rimas. Nampak saja bayang-bayang dia di luar rumah, saya mesti cepat-cepat masuk dan berkunci dalam bilik. Yang paling leceh balik dari kerja malam, dalam keadaan masih mamai buka pagar rumah, dia sudah ada di ruang tamu dengan nasi lemaknya. Hilang terus mood mau masuk dalam rumah. Rasa macam berat betul kaki melangkah masuk dalam rumah. Terpaksalah juga tegur dengan muka yang tidak berapa ceria.

Ada banyak lagi jenis manusia. Ada yang hipokrit. Depan kita punyalah baik, sekali di belakang punyalah teruk kita diumpat olehnya. Ada saja yang salah di matanya. Ada saja yang tidak betul. Ada juga jenis yang pendiam sampaikan kita susah untuk mengagak keadaan emosinya sama ada dia sedang gembira atau bersedih. Ada juga jenis yang tidak kisah...'aiman tak kisah..' Jenis baran pun ramai. Silap kecil pun, dia punya marah punyalah dahsyat macam mau runtuh langit.

Tapi dalam banyak-banyak jenis manusia saya paling menyampah dengan manusia kaki penyibuk. Kalau menyibuk dalam hal-hal semasa yang menguntungkan tidak mengapalah juga. Ini menyibuk tentang hal-hal peribadi orang lain. Kalau dibayar gaji rasanya saya mau juga jadi penyibuk hal-hal peribadi orang lain. Saya agak kurang selesa bila ada kawan yang rajin tidak bertempat menyemak slip gaji saya dan kawan-kawan yang lain walaupun sebenarnya dia bukanlah pekerja di bahagaian kewangan. Sibuk betul mau tahu tahap kewangan orang lain. Lepas itu, sibuk bawa mengumpat mengenai tahap kewangan seseorang. Lantaklah. Itu hal peribadi masing-masing. Pandai-pandailah dia orang mengurus kehidupan peribadi dia orang. Prinsip saya senang saja, jangan ganggu hal-hal peribadi saya kerana saya sama sekali tidak berminat mengganggu hal-hal peribadi anda.

06 November 2011

Salam Aidil Adha 2011


~~~~Salam Aidil Adha Buat Semua~~~

29 October 2011

Laut, Kapal dan Awan





Laut, hutan dan langit adakalanya mampu menjadi kombinasi yang mendamaikan. Jiwa akan terasa tenang melihat keindahan alam ciptaan Allah SWT. Gambar ini saya rakamkan dari Pelabuhan Kudat

14 October 2011

Umur Bersara Dilanjutkan 60 tahun....


:-) Kreatif betul orang yang reka kartun ni. Lawak dan sinis. Harap-haraplah situasi yang digambarkan dalam kartun ini tidak akan benar-benar terjadi nanti. Tapi rasanya jika diberi pilihan, ramai juga yang akan memilih untuk pencen awal, termasuklah saya sendiri.

25 August 2011

Bapa Berhati Kejam

Semalam Mymetro memaparkan kisah yang sungguh menyayat hati. Seorang bapa tergamak membunuh tiga orang anaknya sendiri dengan cara menolak ketiga-tiga kanak-kanak tersebut ke dalam kolam hingga mati lemas. Kejadian tersebut berlaku di Ladang Lambak/Elaeis, Mengkibol. Selepas menolak anak-anaknya yang berusia antara dua hingga lima tahun, bapa tersebut yang berumur 29 tahun cuba pula membunuh diri dengan meminum racun. Bagaimanalah agaknya perasaan si ibu? Tentu hancur luluh hatinya bila mendapati ketiga-tiga anak yang dikandung selama sembilan bulan dan kemudian bertarung nyawa ketika melahirkan mereka ke dunia akhirnya pergi serentak dalam sekelip mata dan pembunuh itu pula bukan orang lain melainkan suami sendiri.

Dan hari ini, Mymetro sekali lagi menyiarkan kisah yang hampir sama. Kisah seorang bapa yang telah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan kasih sayang terhadap darah daging sendiri hingga tergamak melakukan cubaan bunuh ke atas anak perempuannya yang hanya berumur empat tahun. Jangan disalahkan anak jika pada satu hari nanti, anak yang cuba dibunuh ini menyimpan dendam dan tidak memperdulikan kehidupan hari tua anda di masa akan datang kerana anda sendiri yang telah menanamkan rasa dendam dan benci di hati kanak-kanak tersebut hari ini. Jangan menyalahkan takdir jika hari tua anda nanti harus berakhir di rumah orang tua-tua atau mungkin lebih baik hari tua anda dihabiskan sepenuhnya di dalam lokap.

Sungguh menyedihkan bila ramai kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa keganasan yang bukan sahaja didera dan dipukul malah ada juga yang menjadi mangsa nafsu sex ahli keluarga sendiri. Kadang-kadang ada para ibu yang mendiamkan diri bila mendapat tahu anak mereka dicabul atas alasan menjaga maruah keluarga. Lebih teruk dari itu saya pernah terbaca seorang ibu sanggup membantu suaminya merogol anak perempuannya sendiri. Jika instituisi kekeluargaan sendiri tidak mampu menyediakan ruang yang selamat buat kanak-kanak ini, ke manakah lagi harus mereka pergi? Setiap kali isu berkaitan kanak-kanak dipaparkan dalam berita, hati saya sangat terusik dan tersentuh kerana saya sangat menyayangi kanak-kanak. Mereka adalah golongan yang sangat menghiburkan dengan pelbagai ragam yang lucu dan menyenangkan.

Wahai para bapa yang berhati kejam, ingatlah anak merupakan amanah Allah dan anugerah yang tidak ternilai harganya.




*gambar diambil dari google

09 August 2011

Salam Ramadhan 2011


Salam ramadhan dan selamat berpuasa buat semua. Sedar tak sedar kita sudah pun berada di minggu ke dua bulan ramadhan. Semoga ibadah puasa yang dikerjakan tahun ini lebih baik dan sempurna berbanding tahun-tahun sebelum ini. Insyaallah...

Setiap kali bulan puasa tiba, saya sentiasa rindu suasana sewaktu bersahur dan berbuka puasa bersama dengan ahli keluarga walaupun menu yang disediakan serba ringkas tetapi rasa seronok menanti pengumuman waktu berbuka jelas terbayang di wajah semua. Bangun sahur adalah suatu yang sangat sukar dilakukan, kadang-kadang terlajak tidur sebab tidak mampu melawan rasa mengantuk. Kalau di kampung, biasanya sekitar jam 3am, beduk dipukul oleh anak-anak muda yang tidur di masjid bertujuan untuk mengejutkan orang-orang kampung untuk bangun bersahur. Begitu juga waktu buka puasa, beduk akan dipukul menandakan telah masuk waktu maghrib dan waktu berbuka puasa.

Sendirian tanpa ahli keluarga kadang-kadang membuatkan saya benar-benar terasa sayu dan keseorangan. Tapi lama-kelamaan berbuka puasa sendirian seakan sudah sebati dengan saya. Tidak ada apa yang perlu disedihkan. Lagipun selalunya saya akan balik bercuti dua hari sebelum hari raya jadi sempat jugalah berbuka puasa dengan ahli keluarga. Cuma tahun ini, peluang untuk cuti beraya seakan amat tipis dan mungkin terpaksa kerja di pagi raya pula uwaaaaaa....







Lebih Baik Ada Walaupun Sedikit

Bersyukurlah...
Walaupun pengumuman bonus yang diberikan cuma untuk setengah bulan gaji. Daripada tiada langsung bonus diberikan, lebih baiklah ada walaupun jumlahnya sangatlah kecil dengan bayaran minimun rm500.

'Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimun rm500 kepada 1.27 juta penjawat awam Persekutuan bulan ini. Perdana Menteri juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak rm500 kepada 590 000 pesara kerajaan. Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 billion' -utusan online


~~~~~~~~~~Alhamdulillah~~~~~~~~~~



08 August 2011

Musibah di bulan Ramadhan

Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh petang semalam di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil Cameron Highlands. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi situasi menyedihkan ini. Kehilangan ahli keluarga dengan cara yang amat tragis pastinya meninggalkan kesan trauma yang sangat dalam di hati mereka apatah lagi dalam suasana menyambut hari raya yang akan menjelang tidak lama lagi.

"Dada saya seperti ditekan-tekan oleh 10 orang dewasa, tangan kanan tidak boleh bergerak. Saya hanya bergantung kepada tangan kiri mengorek lubang sepantas yang boleh bagi mendapatkan udara.. " Ia adalah pengalaman ngeri yang dilalui oleh Bah Anjang Besar Alang, salah seorang mangsa dalam kejadian tanah runtuh tersebut - sumber: utusan online

Sekalipun tidak berada di kawasan tersebut, saya seolah dapat merasakan kepedihan yang ditanggung oleh mereka. Seolah terbayang di ruang mata saya, para mangsa meronta cuba menyelamatkan diri sebelum akhirnya mereka lemas tidak berdaya dan nafas pun terhenti.

11 July 2011

"Selamat Tinggal Semua.."

Sebelum saya mulakan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua yang sedang menatap surat yang ke-12 ini. Masa berlalu begitu cepat dan ini merupakan surat saya yang terakhir. Saya harap apabila anda selesai membaca surat ini, walaupun apa yang akan terjadi ke atas diri saya, anda akan terus menyokong kempen 'Kami Percaya Pada Peluang Kedua.' Untuk surat terakhir ini, saya ingin menulis tentang bagaimana perasaan saya dalam menunggu saat-saat kematian. Pertama, saya merasakan bahawa kewujudan hukuman mati ini bukan hanya demi hukuman, tetapi sebaliknya untuk membolehkan pesalah memahami, dan berdepan sepenuhnya, dengan kesilapan yang telah dilakukan. Ambil diri saya sebagai contohnya, saya sebenarnya bersyukur saya telah ditangkap kerana ia membolehkan saya memahami makna dan tujuan sebenarnya kehidupan ini, dan telah membolehkan saya mencari kekuatan dalam diri ini. Saya ingat pernah menyebut tentang "diri ini" sebelum saya ditangkap - seorang yang tidak pernah benar-benar hidup sebelum.

Beberapa hari yang lalu, peguam saya, M.Ravi datang melawat saya. Beliau memberitahu saya bahawa beliau akan menghantar rayuan terakhir saya kepada Presiden Singapura dalam beberapa hari. Itu adalah peluang terakhir saya. Pada malam sebelum hukuman mati dilaksanakan, tahanan akan diberi peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga. Mereka tidak mahu lagi memikirkan perkara lain, selain rasa kesakitan dan kesengsaraan sebelum menjalani hukuman itu. Bagi pesalah hukuman mati, pada saat diiring keluar dari sel, mereka sudah hilang kawalan emosi dan tidak dapat lagi mengawal perasaan. Sebanyak manapun kaunseling yang diberi, tidak akan dapat menenangkan mereka kerana sebaik sahaja melangkah keluar dari sel, mereka tahu mereka tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Tetapi orang yang paling merasakan kesakitan itu adalah keluarga mereka. Saya tidak berani membayangkan perasaan mereka ketika menunggu di luar untuk menuntut mayat orang yang amat disayangi.

Jika Esok Malam Terakhir Saya

Bagi saya jika esok adalah malam terakhir saya, maka saya juga tidak ada pilihan. Tetapi saya bersedia menghadapi hakikat itu. Lagipun saya yang buat silap, dan saya telahpun bertaubat. Apakah saya takut? Saya benar-benar tidak tahu. Tetapi saya rasa mungkin tidak, kerana saya mulai biasa dengan perasaan menghadapi kematian - jangan lupa, dalam tempoh empat tahun yang singkat ini, saya sudah banyak kali berdepan dengan kematian. Sesungguhnya saya telah beberapa kali "mati" sebelum ini. Pada tahun 2007, bila saya ditangkap, dan selepas mengenali ajaran Buddha, saya "dilahirkan semula." Pada 2009, apabila saya dijatuhi hukuman mati, dan peguam saya merayu terhadap hukuman saya itu.

Saya tidak akan meminta makanan yang mahal-mahal untuk makan malam terakhir saya. Saya rasa saya akan teruskan rutin tetap saya bangun pada waktu pagi untuk skrip buddha saya dan bermeditasi, diikuti dengan sarapan pagi vegetarian saya sehingga tiba waktu malam, mengenakan pakaian terbaik yang dibeli saudara perempuan saya, mengucapkan selamat tinggal kepada tahanan lain, dan akhirnya tunduk kepada Tuhan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih saya. Tetapi saya tidak benar-benar meluahkan perasaan saya kerana sesungguhnya saya tidak tahu bagaimana perasaan saya ketika melangkah ke arah tali gantung nanti. Saya rasa tiada siapa pun yang tahu.

Saya telah melalui tahap di mana saya rasa kehilangan, jahil dan penderitaan tetapi ajaran Buddha yang saya amalkan telah membebaskan diri saya. Saya juga berterima kasih kerana ramai yang bersedia untuk memaafkan saya. Mampu untuk hidup sehingga hari ini adalah satu anugerah terbesar pada diri saya.
Saya rasa keluarga saya telah dapat menerima diri saya di atas apa yang telah saya lakukan, dan apa jua yang akan berlaku selepas ini. Mereka bersyukur kerana saya berubah dan saya terus membaca dan mengamalkan ajaran Buddha. Pengalaman pahit saya juga telah dapat memperbaiki hubungan di kalangan anggota keluarga saya, terutama adik-beradik saya. Tetapi saya kadangkala masih bimbang saat apabila ibu saya akhirnya mendapat tahu yang saya tiada lagi di dunia ini. Saya ingin sekali mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Saya tidak akan dapat berkongsi cerita mengenai diri saya tanpa bantuan anda. Saya akan berdoa untuk anda, dan semoga anda semua dalam keadaan sihat dan bahagia. Selamat tinggal.


***************************************************************
Surat ini ditulis oleh seorang banduan rakyat Malaysia kelahiran Sabah yang sedang merenggkok di penjara Singpura. Beliau menunggu hukuman gantung dilaksanakan keatasnya kerana kesalahan mengedar dadah. Pada November 2009, beliau dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah. Beliau hanya berusia 19 tahun. Pada 4 April lalu, beliau gagal dalam rayuan terakhirnya bagi mengelakkan hukuman mati mandatori, kecuali diberikan pengampunan oleh Presiden Singapura. Surat ini disiarkan menerusi web malaysiakini

"Hargailah setiap peluang yang ada dalam hidup kita kerana untuk mendapatkan peluang ke dua mungkin agak sukar. Juga hargailah setiap insan yang anda sayangi kerana sekali mereka pergi, mereka tidak akan pernah kembali lagi.."

Semoga luahan rasa yang ditulis oleh banduan akhir ini akan sedikit sebanyak memberikan keinsafan pada kita semua agar tidak tersilap langkah dalam menjalani hidup yang penuh dengan ujian dan dugaan ini.







08 July 2011

Kisah 5 Perkara Aneh

*Kisah ini saya ambil daripada email yang dihantar kepada saya, sekadar untuk dikongsi bersama

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:

  1. Engkau sembunyikan
  2. Apa yang engkau lihat (hadapi) makanlah.
  3. Engkau terimalah
  4. Jangan engkau putuskan harapan
  5. Larilah engkau daripadanya
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan. Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur alhamdulillah.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihat keadaan itu, lantas burung helang itupun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang itu pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalanannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya. Maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintahMu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini. Dalam mimpi Nabi itu telah diberitahu oleh Allah SWT bahawa:

  1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
  2. Semua amal kebaikan (budi) walaupun disembunyikan maka ia tetap akan nampak jua
  3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya
  4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
  5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah




02 July 2011

EPSA II

Legaaaaaa...
Sebab selesai siapkan kursus EPSA. Lepas ni tidak perlu lagi serabutkan kepala fikir pasal kursus. Tidak perlu sibuk-sibuk datang ke HQ untuk berkursus lagi. Kursus dalam talian, mudah, cepat, jimat masa dan kos. Tahun depan dan tahun-tahun berikutnya, EPSA akan jadi pilihan utama saya. Tapi kalau kena panggil berkursus ke HQ pun ok juga. Lagipun saya sudah lama tidak menjejakkan kaki ke KL sejak pindah ni. Boleh juga jalan-jalan cuci mata sekitar KL kan. Cuma bila ingat perjalanan yang jauh, jadi malas pula. Untuk ke KKIA ambik masa 2 jam setengah. Naik kapal terbang lagi lebih kurang dua jam setengah lagi. Dari LCCT ke tempat penginapan ambik masa sejam, itupun kalau jalan tidak sesak. Huh kalau cam ni, jawapnya EPSA saja la. EPSA pun ok juga. Ada banyak kursus ditawarkan. Satu-satu topik yang dibincangkan boleh diulang tayang beberapa kali, terpulang pada kehendak masing-masing. Kalau rasa bosan baca nota yang disediakan, boleh buka facebook, main game jap. Pendekatannya juga agak menarik. Selain disediakan nota, beberapa aktiviti seperti silang kata dan kuiz juga disediakan pada setiap topik yang dibincangkan bertujuan untuk menguji kefahaman peserta kursus. Pilih la ikut mana suka dan yang penting keperluan 7 hari berkursus dalam setahun untuk kakitangan awam tercapai.

30 June 2011

Hati Yang Terusik

Kata penulis buku ini,

"Kepada mereka yang hatinya terusik,
Banyakkan bersabar dalam menempuh kehidupan ini kerana sebutir kesabaran balasannya segunung ganjaran.."

Sinopsis:
Buku ini menghimpunkan 16 buah cerpen dengan pelbagai tema yang menyentuh persoalan tentang kehidupan manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan Tuhan. Manusia dicipta Tuhan bukan untuk melakukan persengketaan dan permasalahan. Namun tidak semua manusia sedar akan kehidupan di muka bumi ini yang memerlukan perhatian, kasih sayang, keamanan dan jauh daripada segala persengketaan. Hanya sekeping hati yang dapat mengubah manusia menjadi insan yang mulia atau sebaliknya. Hanya sekeping hati yang layak menghiasi peribadi seseorang. Baik hatinya, maka bersihlah jiwanya dan tenteramlah kehidupannya, apatah lagi jika kehidupan itu berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan oleh undang-undang Tuhan. Hati Yang Terusik tepu dengan imbangan pengajaran untuk peringatan di dunia dan bekalan untuk akhirat. Hati Yang Terusik, sarat dengan falsafah kehidupan. Jika manusia melakukan maksiat, maka itulah yang menyebabkan kegelapan pada wajah dan kesempitan pada rezeki. Tetapi kalau selalu menyebut Allah, Dia akan menerangi hati dan wajah.

***********************

Terdapat beberapa ungkapan yang pada saya agak menarik dalam buku ini. Antaranya seperti berikut:

"Dalam hidup ini seseorang itu perlu berbicara pada diri sendiri tentang arah tuju hidup. Sesuatu yang dilakukan itu tidak akan berpanjangan. Sepantas-pantas seseorang itu berlari pun dia akan berhenti juga akhirnya. Setinggi mana gunung didaki, akan turun juga dia akhirnya.."


Benar, kita seharusnya sentiasa berbicara pada diri sendiri atau dalam bahasa lainnya muhasabah diri. Dengan bermuhasabah, kita akan semakin kenal siapa diri kita yang sebenarnya. Kita akan semakin kenal tiap kelemahan yang ada dalam diri dan pastinya akan berusaha memperbaiki setiap kelemahan dan kekurangan yang ada. Kita mungkin punya ramai kawan tetapi dalam ramai kawan yang kita ada, berapa ramaikah yang berani secara terus terang menegur kelemahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan? Rasanya tidak ramai yang berani berkata secara terus terang atas alasan takut hati kita tersinggung apabila ditegur dan saya yakin yang mengutuk dibelakang kita jumlahnya pasti lebih ramai.

Kita manusia biasa yang punya kelemahan masing-masing. Kita tidak sempurna sepenuhnya. Dari segi fizikal mungkin kita sempurna tetapi ketidaksempurnaan itu mungkin berpunca dari mental kita. Orang yang suka menabur fitnah, panas baran dan sebagainya jelas menunjukkan mentalnya tidak sempurna walaupun mungkin fizikalnya sempurna.

29 June 2011

EPSA

Emm ok juga ada EPSA ni. EPSA adalah singkatan untuk e-pembelajaran sektor awam. Duduk depan komputer sejam dua jam, sudah selesai keperluan berkursus untuk 7 hari setahun. Jimat masa dan kos sebab kursus dijalankan secara dalam talian. Bagi saya yang memang malas bergerak keluar ke mana-mana tempat untuk berkursus, EPSA adalah pilihan alternatif yang terbaik. Terima kasih INTAN kerana menyediakan kursus secara online :-) Cuma yang tidak bestnya, line internet selalu down atau slow mengalahkan siput babi. Buang masa pula, duduk berjam-jam tunggu satu-satu topik dalam kursus tu selesai loading. Kursus secara dalam talian juga menjimatkan kos kerana jabatan tidak perlu mengeluarkan apa-apa perbelanjaan untuk membolehkan setiap kakitangan hadir berkursus ke ibu pejabat seperti sebelum ini.

Minggu lalu selesai satu kursus. Saya ambil kursus Pengurusan Konflik. Saja ambil kursus ini sebab nampak macam menarik. Ya la, konflik kan sangat sebati dalam kehidupan harian manusia. Mana ada manusia yang tidak pernah menghadapi konflik dalam hidupnya. Setiap kita pernah mengalami dan berhadapan dengan pelbagai konflik. Kadang-kadang kita merasakan konflik yang kita hadapi adalah konflik yang paling berat berbanding dengan apa yang orang lain hadapi. Benarkah begitu? Bagi saya, sebenarnya tiada kayu pengukur yang tepat dapat digunakan untuk mengukur konflik siapa yang lebih berat dan serius. Kalau kita beranggapan bahawa konflik kitalah yang paling berat untuk dihadapi, orang lain mungkin melihat apa yang kita hadapi itu biasa saja, tidak membebankan dan tidak terlalu serius. Itulah realiti kehidupan, manusia mempunyai perspektif yang berbeza-beza terhadap sesuatu isu.

22 June 2011

Tentang Kawan

Wah lamanya saya tidak bertandang menjenguk blog ini. Banyak cerita yang ingin saya ceritakan di sini sebenarnya tapi kadang-kadang rasa malas sering menguasai keadaan. Jadi bila kemalasan menguasai keadaan, blog pun terbiar begitu saja.

Bukan sahaja menulis blog, aktiviti melayari internet dan facebook juga semakin kurang saya lakukan akhir-akhir ini. Kadang-kadang saya membuka facebook sekadar untuk melihat samada, ada atau tidak mesej yang dihantar oleh kawan-kawan ke inbox saya. Tidak hairanlah setiap kali buka facebook ada beratus game requests yang dihantar oleh kawan-kawan facebook saya. Bukan bermakna saya sudah melupakan kawan-kawan facebook cuma keadaan tidak mengizinkan saya untuk sentiasa online seperti sebelum ini.

Kalau dulu saya berasa sangat berterima kasih dengan kewujudan facebook kerana melaluinya 'jejak kasih' dengan kawan-kawan dan guru-guru sekolah yang telah lama terputus hubungan dapat ditautkan kembali. Melalui facebook juga hubungan persahabatan dengan kawan-kawan lama kononnya dapat dieratkan semula. Saling dapat bertanya khabar dan sebagainya. Tetapi hari ini persepsi saya terhadap facebook agak berubah terutama sekali bila melihat ramai rakan-rakan yang menyalahgunakan facebook untuk menjatuhkan airmuka, mengaibkan dan menabur fitnah sesama sendiri. Saya sama sekali tidak selesa dengan keadaan ini. Walaupun bukan saya yang terkena, tetapi saya tetap merasakan tempiasnya bila yang terlibat adalah di antara sesama rakan sekolah. Rata-ratanya bukan berpendidikan setakat sekolah rendah atau SPM tetapi sayangnya mengapa mereka tidak menggunakan kepintaran otak yang dimiliki agar bertindak sesuai dengan cara orang yang berpendidikan tinggi. Apakah dengan memalukan rakan-rakan di facebook suatu hal yang boleh dibanggakan? Ke mana hilangnya adab sopan dan nilai etika sebagai seorang manusia. Saya juga tertanya-tanya mengapa ramai yang lebih suka mendengar cerita dari satu pihak saja? Padahal orang yang bawa cerita itu belum tentu berkata benar. Berilah peluang kepada pihak yang satu lagi untuk menyatakan apa sebenarnya yang terjadi. Sayangnya ramai yang lebih suka mendiamkan diri dan menerima bulat-bulat semua cerita yang disampaikan oleh pihak yang satu lagi. Terus terang, itu bukan cara saya. Saya lebih suka bertanya terus dengan orang-orang yang terlibat walaupun saya tahu ramai yang kurang senang dengan cara saya. Sekurang-kurangnya saya tahu apa sebenarnya yang berlaku dan tidak menerima 100% cerita yang disampaikan. Samaada pihak yang satu lagi berkata benar atau tidak, hanya yang empunya diri saja yang mengetahuinya. Selalunya dalam keadaan ini akan timbul dua versi cerita yang berbeza.

Benarlah apa yang pernah saya katakan dalam entri saya sebelum ini iaitu:

"Mencari sahabat sejati di era facebook samalah seperti mencari setitik air di padang pasir yang tandus, kering dan gersang. Ia mungkin ditemui tetapi sukar.."

Bagi anda yang telah berjaya menemukan seseorang yang kalaupun tidak dapat dianggap sebagai 'sejati' tetapi memadailah jika ia menyenangkan anda, jagalah persahabatan itu sebaiknya...

31 May 2011

Semangat Padi

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Mei sangat sinonim dengan sambutan Pesta Menuai atau Tadau Kaamataan di Sabah. Sambutan ini bermula sejak 1 Mei dan kemuncaknya adalah pada 30 dan 31 Mei. Asal usul perayaan ini yang dirayakan oleh kaum Kadazan-Dusun dan Murut adalah sebagai menghormati 'bambazon' atau semangat padi. Berdasarkan cerita lisan yang diceritakan turun-temurun, suatu masa dahulu Kinoingan dan isterinya, Suminundu telah mengorbankan anak mereka, Hominodun bagi menyelamatkan orang-orang Kadazan-Dusun daripada mati kebuluran. Adalah dipercayai daripada mayat Hominodun inilah kononnya telah tumbuh pelbagai jenis tanaman yang menjadi makanan kita sekarang dan salah satu tanaman yang tumbuh daripada mayatnya adalah padi. Oleh itu sebagai menghargai jasa Hominodun, perayaan Pesta Menuai telah diadakan. Upacara ini juga disambut bagi mengharapkan hasil padi yang lebih baik di masa akan datang.

Tarian sumazau, paluan gong dan pertandingan 'unduk ngadau' adalah aktiviti yang seolah-olah wajib dijalankan sepanjang sambutan ini diadakan. Tanpa tarian sumazau, paluan gong dan pertandingan 'unduk ngadau' sambutan seakan hilang serinya.


'Kotobian Tadau Tagazo do Kaamaatan'




03 May 2011

Benarkah Keamanan Tercapai??

Satu dunia sibuk memperkatakan kematian Osama Bin Laden. Siapa yang tidak kenal dengan Osama. Bahkan kanak-kanak pun mungkin tahu siapa Osama - pemimpin Al-Qaeda dan terroris yang paling dikehendaki oleh AS. Ramai yang mempersoalkan kematiannya. Ramai juga yang mempertikaikan kesahihan gambar Osama yang berlumuran darah yang tersebar luas di internet sekarang ini. Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa watak Osama sebenarnya tidak wujud. Ia hanya watak yang sengaja direka-reka oleh AS. Benarkah begitu?? Apa yang pasti kewujudan watak Osama Bin Laden telah memberikan imej negatif kepada Islam. Islam dilihat sebagai agama yang sukakan keganasan dan secara tidak langsung ia telah mencetuskan Islamophobia di kalangan penganut agama lain.

Dengan kematian Osama, harapan demi harapan dilontarkan oleh masyarakat dunia agar keamanan sejagat dicapai dan imej Islam pulih semula. Tetapi apakah semudah itu keamanan sejagat akan dicapai? Ataukah ini sebenarnya satu permulaan baru dalam episod keganasan dan pemberontakan yang lebih buruk selepas kematian Osama. Yang mati hanyalah seorang manusia bernama Osama. Pertubuhan Al-Qaeda yang diasaskannya tetap hidup. Balas dendam oleh pengikut-pengikut pasti akan terjadi bahkan AS dengan serta merta menggeluarkan amaran perjalanan kepada rakyatnya di seluruh dunia dengan menyatakan satu keganasan anti-AS mungkin tercetus.

01 May 2011

Selamat Hari Pekerja

Diharap produktiviti dan etika pekerja bertambah baik
Tiada rasuah
&
Tiada salah guna kuasa


Meluat

Buka tv, cerita yang sama. Baca akhbar pun asyik-asyik benda sama yang diulang tayang untuk kali yang entah keberapa. Kadang-kadang rasa meluat juga bila benda yang sama dihidangkan setiap hari. Tak habis-habis pasal jam tangan omega la, DNA lelaki Y la, liwat sana liwat sini, sumpah laknat dan macam-macam lagi. Siapa yang benar, siapa yang salah saya tidak berminat untuk tahu. Lantak dialah kalau dia mahu mengamalkan kehidupan songsang seperti itu. Itu kehidupan peribadi masing-masing dan ia adalah urusannya dengan Allah tetapi disebabkan orang yang terlibat bukan orang sembarangan di arena politik tanahair maka setiap perilakunya akan menjadi berita sensasi. Sama jugalah dengan para artis dan selebriti, setiap apa yang mereka lakukan akan diperhatikan oleh masyarakat umum. Masyarakat umum adalah penilai pada setiap gerak geri yang kita lakukan. Bezanya samaada penilaian itu akan disensasikan atau pun tidak. Sebagai orang biasa kita juga tidak terlepas daripada penilaian-penilaian tersebut. Kawan-kawan menilai kita, jiran-jiran menilai kita dan adik-beradik juga turut menilai tingkah laku kita. Pendek kata kita sentiasa dinilai....

Soal moral bukanlah suatu hal yang tidak penting bagi saya tetapi daripada sibuk mempersoalkan kredibiliti dan nilai moral seseorang kenapa tidak diluangkan masa mencari formula terbaik menanggani isu-isu yang lebih memerlukan perhatian serius seperti soal kemiskinan, penagihan dadah, rempit, buang bayi, ragut dan pelbagai gejala sosial lainnya.

Kalau kita benar-benar prihatin pada kemiskinan yang menghimpit kehidupan golongan bawahan, kes-kes seperti terpaksa meminta bantuan daripada badan-badan keagamaan pasti tidak berlaku. Saya pernah terbaca, ada beberapa buah keluarga Islam terpaksa menerima bantuan daripada sebuah badan keagamaan non-muslim kerana desakan hidup. Amat menyedihkan sekali bila isu-isu kemiskinan yang disiarkan lebih banyak bertumpu di negeri-negeri pembangkang. Apakah ini bermakna kemiskinan di negeri-negeri lain di Malaysia tidak wujud? Di Sabah misalnya masih banyak kawasan-kawasan kampung yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya, tiada kemudahan air paip dan elektrik. Satu hal lagi yang benar-benar membuatkan saya meluat ialah bila tiba masa pilihan raya. Punyalah prihatin mereka yang bergelar pemimpin itu. Tidak kiralah pemimpin dari parti mana. Masing-masing menunjukkan tahap keprihatinan di luar jangkaan. Sanggup meredah sungai dan bukit semata-mata untuk meraih undi. Akan kedengaranlah pelbagai dana disumbangkan sebagai bukti kononnya nasib rakyat diperjuangkan.

Sekitar tahun 1998-1999 dahulu saya pernah terlibat dalam memberi pendidikan/ceramah alam sekitar kepada penduduk kampung di sebuah daerah di Sabah. Kampung yang kami kunjungi sangatlah jauh terpencil dalam hutan tanpa apa-apa kemudahan asas. Rata-rata penduduknya petani dan tidak berpendidikan. Untuk sampai ke kampung ini kami terpaksa berjalan kaki selama 12jam dengan keadaan muka bumi yang berbukit-bukau!!! Saya tidak tahu bagaimana mereka mampu bertahan meneruskan kehidupan di situ. Rawatan perubatan hanyalah melalui 'doktor udara.' Seminggu sekali atau seminggu dua kali doktor udara akan berkunjung ke kampung tersebut dengan menaiki helikopter. Kini setelah lebih 10 tahun, saya tidak tahu apakah kawasan kampung itu masih di takuk lama atau sedang menempuh fasa baru dalam arus pembangunan modenisasi. Kalau masih di takuk lama, amatlah malang.


Saya sekadar meluahkan pandangan dan tidak berminat menyokong mana-mana pihak dan pandangan ini terluah disebabkan oleh rasa meluat yang sudah tidak tertanggung oleh saya..




15 April 2011

Puisi - Damai

Damai mengalir
Menembusi setiap hembus nafas
Tenang membanjiri sukma saat kubersujud
Lalu gerimis hati menghantar syukur
Ke riba pohon doa

Gemersik alun sang bayu
Sayup-sayup berlari dari satu pepohon
Menggugurkan reranting tua
Alangkah takjubnya melihat anugerahMu
Dan dengan kaki sengaja kubiar telanjang
Seperti pari-pari
Aku berlari mengejar dedaun itu

Ketika malam menyulam kegelapan
Kutatap langit dengan rintik airmata
Seolah ada selembar surat cinta
Dari kekasih
Dan purnama indah
Perlahan-lahan menguak dada langit
Menyapa aku dengan senyum
Seolah ia berkata
Aku datang kepadamu
Membawa jelita malam
Lalu masihkah kau tidak bersyukur
Dan mensyukuri sebuah keberuntungan





Subahanallah....
Kubiar mataku tertancap di dada langit
Alangkah indahnya purnama itu
Cahayanya membias
Di antara lereng perbukitan
Dan kabus putih sesekali berarak
Meninggalkan jejak sang bayang-bayang
Tanpa sedar aku sudah berlari
Membiar purnama menyimbah susuk tubuh
Yang pasti akan pulang ke halaman abadi...