30 June 2011

Hati Yang Terusik

Kata penulis buku ini,

"Kepada mereka yang hatinya terusik,
Banyakkan bersabar dalam menempuh kehidupan ini kerana sebutir kesabaran balasannya segunung ganjaran.."

Sinopsis:
Buku ini menghimpunkan 16 buah cerpen dengan pelbagai tema yang menyentuh persoalan tentang kehidupan manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan Tuhan. Manusia dicipta Tuhan bukan untuk melakukan persengketaan dan permasalahan. Namun tidak semua manusia sedar akan kehidupan di muka bumi ini yang memerlukan perhatian, kasih sayang, keamanan dan jauh daripada segala persengketaan. Hanya sekeping hati yang dapat mengubah manusia menjadi insan yang mulia atau sebaliknya. Hanya sekeping hati yang layak menghiasi peribadi seseorang. Baik hatinya, maka bersihlah jiwanya dan tenteramlah kehidupannya, apatah lagi jika kehidupan itu berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan oleh undang-undang Tuhan. Hati Yang Terusik tepu dengan imbangan pengajaran untuk peringatan di dunia dan bekalan untuk akhirat. Hati Yang Terusik, sarat dengan falsafah kehidupan. Jika manusia melakukan maksiat, maka itulah yang menyebabkan kegelapan pada wajah dan kesempitan pada rezeki. Tetapi kalau selalu menyebut Allah, Dia akan menerangi hati dan wajah.

***********************

Terdapat beberapa ungkapan yang pada saya agak menarik dalam buku ini. Antaranya seperti berikut:

"Dalam hidup ini seseorang itu perlu berbicara pada diri sendiri tentang arah tuju hidup. Sesuatu yang dilakukan itu tidak akan berpanjangan. Sepantas-pantas seseorang itu berlari pun dia akan berhenti juga akhirnya. Setinggi mana gunung didaki, akan turun juga dia akhirnya.."


Benar, kita seharusnya sentiasa berbicara pada diri sendiri atau dalam bahasa lainnya muhasabah diri. Dengan bermuhasabah, kita akan semakin kenal siapa diri kita yang sebenarnya. Kita akan semakin kenal tiap kelemahan yang ada dalam diri dan pastinya akan berusaha memperbaiki setiap kelemahan dan kekurangan yang ada. Kita mungkin punya ramai kawan tetapi dalam ramai kawan yang kita ada, berapa ramaikah yang berani secara terus terang menegur kelemahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan? Rasanya tidak ramai yang berani berkata secara terus terang atas alasan takut hati kita tersinggung apabila ditegur dan saya yakin yang mengutuk dibelakang kita jumlahnya pasti lebih ramai.

Kita manusia biasa yang punya kelemahan masing-masing. Kita tidak sempurna sepenuhnya. Dari segi fizikal mungkin kita sempurna tetapi ketidaksempurnaan itu mungkin berpunca dari mental kita. Orang yang suka menabur fitnah, panas baran dan sebagainya jelas menunjukkan mentalnya tidak sempurna walaupun mungkin fizikalnya sempurna.

2 comments: