25 February 2010

Tinggal Kenangan

Ada rasa sebak dan sendu bergayut di lubuk hati yang sukar sekali untuk diterjemahkan maknanya dalam bahasa yang mudah difahami. Hanya mereka yang pernah merasai rasa kosong dan sunyi mampu mentafsir dan memahami segalanya. Waktu kian beransur-ansur berganjak meninggalkan kita, lalu yang tinggal hanyalah secebis kenangan. Kenangan yang adakalanya manis dan adakalanya terasa pedih untuk dikenang semula.

Terlalu banyak kenangan yang ingin dikenang semula. Kenangan zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman sekolah dan juga kenangan di alam pekerjaan ini. Rasanya tidak cukup masa sehari untuk menulis semula segala kenangan yang pernah dilalui selama ini.

Zaman serba canggih ini memungkinkan segalanya terjadi. Ada kawan-kawan yang telah berbelas tahun tidak diketahui khabar beritanya tapi akhirnya dengan kemajuan teknologi maklumat, segalanya dapat diketahui dengan mudah. Ada yang telah berumah tangga, ada yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing dan ada juga yang sedang menyambung pengajian di peringkat Phd dan seumpamanya. Sesekali fikiran menerawang jauh pada hari-hari lalu yang pernah dilalui dengan kawan-kawan di bangku sekolah dulu. Andainya ada lagi pertemuan itu, apakah kami semua akan semesra dulu?Apakah mereka masih mengingati saat kami didenda beramai-ramai jam 6.30am sewaktu di tingkatan 3 dulu. Denda yang tidak akan pernah aku lupakan sampai mati. Kami didenda hanya disebabkan gagal mendapatkan markah exam yang ditetapkan walaupun telah melepasi markah lulus. Dan yang buat aku geram, sebaik sessi denda itu berakhir, cikgu mengakui telah tersilap mengira markahku jadi sebenarnya aku tidak perlu dikenakan denda itu. Denda yang cukup sadis: Disiram menggunakan getah paip bomba. Bayangkan jam 6.30am hari sabtu, awal pagi yang sudah semestinya sangat sejuk ditambah lagi dengan siraman air sejuk dari getah bomba. Sejuk sungguh sampai badan terketar-ketar menggiggil.

Di sekolah dulu, ada banyak hukuman denda yang pelik-pelik dikenakan. Antaranya untuk mata pelajaran BI, kalau gagal dikenakan denda cabut rumput hingga 2kg berat. Cikgu siap sediakan alat penimbang dan selalunya masa menimbang rumput ialah pada waktu pendidikan jasmani sebab PJ bukan mata pelajaran yang penting. Aduh malu sungguh bila nama dipanggil satu persatu untuk sessi timbang-menimbang rumput. Nasib baik ada ramai kawan yang turut dikenakan denda itu. Untuk mendapatkan 2kg bukanlah mudah sebab kawasan sekolah lebih banyak kawasan bersimen daripada kawasan berrumput. Denda lain ialah direndam dalam kolam renang yang sudah berbulan-bulan tidak dibersihkan dan berlumut. Nasib baik denda yang ni aku tidak terlibat :-) Pernah juga cikgu bagi denda angkut air sebanyak 5 atau 10 baldi (lupa berapa banyak). Baldi besar pula tu. Kebetulan time tu di asrama, bekalan air terputus.Ohhh seksa sungguh..
Semua hukuman denda ini akhirnya dapat ditempuhi dengan jayanya. Waktu itu memang ada sikit rasa marah pada cikgu-cikgu yang bagi denda tapi bagi aku sekarang semua itu hanyalah secebis kenangan yang agak lucu. Tiada walau sekelumit pun rasa dendam malah aku sangat berterima kasih pada jasa para guru yang tanpa jemu membimbing kami mendapatkan yang terbaik dalam exam. Apakah kawan-kawan aku masih mengingati semua ini? Untuk para cikgu yang pernah mendidikku-terima kasih kuucapkan.

Kenangan akan datang dan pergi tapi aku tidak pernah melupakan semua kenangan yang pernah aku lalui sama ada ia kenangan yang manis, lucu mahupun kenangan yang agak pahit untuk dikenang. Aku hidup bersama dengan kenangan. Dan aku juga tidak akan pernah melupakan kenangan dengan orang-orang yang pernah aku kenali lewat alam cyber ini.

No comments:

Post a Comment