15 February 2010

Dia Pergi Jua Akhirnya

Akibat tekanan hidup yang mengila ditambah dengan hilangnya kewarasan akal sihat, dia yang sebulan lalu nekad menamatkan riwayat hidup dengan meminum racun rumpai akhirnya pergi juga. Dia pergi untuk selamanya dan tidak akan pernah kembali lagi ke alam dunia ini. Dia pergi meninggalkan si anak kecil dan si isteri. Mereka pastinya akan sentiasa merindui kehilangan seorang ketua keluarga. Dia yang tidak terlalu kukenali identitinya menghembuskan nafas terakhir di atas katil hospital setelah berminggu terlantar di situ. Kepada mereka yang ditinggalkannya, tabahlah dan teruskan kehidupan meskipun rasa sendu tetap berbekas di jiwa. Pastinya mayatnya telah pun disemadikan dengan aman mengikut kepercayaan agama Christian kerana sememangnya dia seorang Christian. Meskipun berbeza fahaman agama, itu tidak pernah menjadi penghalang bagi kami untuk saling membantu.

Atas nama kemanusiaan, kami dan orang-orang kampung keseluruhannya tetap saling bantu-membantu, ziarah-menziarah jika ada anggota masyarakat yang ditimpa musibah tanpa mengambil kira soal fahaman agama masing-masing. Bagi kami fahaman agama adalah hak peribadi dan mutlak setiap individu yang tidak boleh diganggu gugat. Selagi mereka menghormati kami sebagai penganut Islam, tiada sebab kami harus bermusuhan dengan penganut agama lain dan begitu juga sebaliknya.Cuma dari segi soal makan, memang perlu sangat dijaga dan alhamdulillah mereka sangat memahami soal itu.


Sanak-saudara saya sendiri masih ramai yang beragama Christian samaada di sebelah emak ataupun bapa saya. Bapa dan emak saya hanya memeluk agama Islam setelah lebih kurang 10 tahun berkahwin. Saya bersyukur kerana pintu hati ibu bapa saya terbuka memeluk agama Islam. Adik-beradik saya juga kesemuanya Islam. Namun yang saya kesalkan sehingga akhir hayatnya, nenek saya tetap memilih Christian sebagai agama anutannya.Walaupun kini semakin ramai sanak saudara saya memilih Islam sebagai agama anutan mereka, saya berharap mereka benar-benar ikhlas dan bukan sekadar pemudahcara untuk membolehkan mereka berkahwin dengan pasangan mereka yang beragama Islam.

No comments:

Post a Comment