25 February 2010

Tinggal Kenangan

Ada rasa sebak dan sendu bergayut di lubuk hati yang sukar sekali untuk diterjemahkan maknanya dalam bahasa yang mudah difahami. Hanya mereka yang pernah merasai rasa kosong dan sunyi mampu mentafsir dan memahami segalanya. Waktu kian beransur-ansur berganjak meninggalkan kita, lalu yang tinggal hanyalah secebis kenangan. Kenangan yang adakalanya manis dan adakalanya terasa pedih untuk dikenang semula.

Terlalu banyak kenangan yang ingin dikenang semula. Kenangan zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman sekolah dan juga kenangan di alam pekerjaan ini. Rasanya tidak cukup masa sehari untuk menulis semula segala kenangan yang pernah dilalui selama ini.

Zaman serba canggih ini memungkinkan segalanya terjadi. Ada kawan-kawan yang telah berbelas tahun tidak diketahui khabar beritanya tapi akhirnya dengan kemajuan teknologi maklumat, segalanya dapat diketahui dengan mudah. Ada yang telah berumah tangga, ada yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing dan ada juga yang sedang menyambung pengajian di peringkat Phd dan seumpamanya. Sesekali fikiran menerawang jauh pada hari-hari lalu yang pernah dilalui dengan kawan-kawan di bangku sekolah dulu. Andainya ada lagi pertemuan itu, apakah kami semua akan semesra dulu?Apakah mereka masih mengingati saat kami didenda beramai-ramai jam 6.30am sewaktu di tingkatan 3 dulu. Denda yang tidak akan pernah aku lupakan sampai mati. Kami didenda hanya disebabkan gagal mendapatkan markah exam yang ditetapkan walaupun telah melepasi markah lulus. Dan yang buat aku geram, sebaik sessi denda itu berakhir, cikgu mengakui telah tersilap mengira markahku jadi sebenarnya aku tidak perlu dikenakan denda itu. Denda yang cukup sadis: Disiram menggunakan getah paip bomba. Bayangkan jam 6.30am hari sabtu, awal pagi yang sudah semestinya sangat sejuk ditambah lagi dengan siraman air sejuk dari getah bomba. Sejuk sungguh sampai badan terketar-ketar menggiggil.

Di sekolah dulu, ada banyak hukuman denda yang pelik-pelik dikenakan. Antaranya untuk mata pelajaran BI, kalau gagal dikenakan denda cabut rumput hingga 2kg berat. Cikgu siap sediakan alat penimbang dan selalunya masa menimbang rumput ialah pada waktu pendidikan jasmani sebab PJ bukan mata pelajaran yang penting. Aduh malu sungguh bila nama dipanggil satu persatu untuk sessi timbang-menimbang rumput. Nasib baik ada ramai kawan yang turut dikenakan denda itu. Untuk mendapatkan 2kg bukanlah mudah sebab kawasan sekolah lebih banyak kawasan bersimen daripada kawasan berrumput. Denda lain ialah direndam dalam kolam renang yang sudah berbulan-bulan tidak dibersihkan dan berlumut. Nasib baik denda yang ni aku tidak terlibat :-) Pernah juga cikgu bagi denda angkut air sebanyak 5 atau 10 baldi (lupa berapa banyak). Baldi besar pula tu. Kebetulan time tu di asrama, bekalan air terputus.Ohhh seksa sungguh..
Semua hukuman denda ini akhirnya dapat ditempuhi dengan jayanya. Waktu itu memang ada sikit rasa marah pada cikgu-cikgu yang bagi denda tapi bagi aku sekarang semua itu hanyalah secebis kenangan yang agak lucu. Tiada walau sekelumit pun rasa dendam malah aku sangat berterima kasih pada jasa para guru yang tanpa jemu membimbing kami mendapatkan yang terbaik dalam exam. Apakah kawan-kawan aku masih mengingati semua ini? Untuk para cikgu yang pernah mendidikku-terima kasih kuucapkan.

Kenangan akan datang dan pergi tapi aku tidak pernah melupakan semua kenangan yang pernah aku lalui sama ada ia kenangan yang manis, lucu mahupun kenangan yang agak pahit untuk dikenang. Aku hidup bersama dengan kenangan. Dan aku juga tidak akan pernah melupakan kenangan dengan orang-orang yang pernah aku kenali lewat alam cyber ini.

Makna Sayang..

Kadang-kadang seseorang itu tidak perlu meluahkan rasa sayang dengan perkataan atau ungkapan lisan, memadai dengan perlakuannya sahaja. Tapi kadang-kadang kita jadi tamak, kita tetap saja menginginkan seseorang itu menunjukkan kasih sayangnya bukan hanya dengan perlakuan tapi juga diungkapkan melalui luahan perkataan ataupun ucapan lisannya. Dan situasi inilah yang gagal aku fahami suatu waktu dulu...

Sewaktu zaman remaja mula mengambil alih ruang kanak-kanakku, aku merasakan kehidupanku ketika itu sangat kosong dan membosankan. Aku jadi benci bila memikirkan keadaan di rumah yang sunyi tanpa gurau senda yang menghiburkan. Tambah tension bila terpaksa menghadap muka bapa yang sentiasa serius dan masam :-( Nasib baik waktu itu aku tinggal di asrama. Macam-macam andaian timbul di kepalaku ketika itu antaranya, aku merasakan bapa tidak pernah menyayangi kami. Kadang-kadang kami mengumpat tentang sikap bapa yang lokek pada senyuman dan gurauan ketika itu.

Tapi sebenarnya aku silap..Bapa tetap saja menyayangi kami dengan caranya yang tersendiri. Contohnya masa umur aku 11 tahun, bapa hadiahkan aku buku setem. Hadiah yang sememangnya sangat aku impikan sebab aku ada banyak setem untuk dimasukkan dalam buku setem itu. Bapa juga banyak bantu aku dapatkan setem-setem yang menarik dari kawan-kawannya. Kemudian semasa aku dalam tingkatan 3, bapa belikan kamus dwi bahasa terbitan DBP berharaga RM30 semasa pameran buku di sekolah adikku. Bapa juga belikan kamus yang sama untuk adikku.Maknanya bapa habiskan RM60 hari itu untuk belikan buku itu. RM60 bagi orang kampung sangatlah besar nilainya. Dan yang paling manis sekali, setiap kali bapa balik dari pekan pasti ada aiskrim dia belikan untuk kami..

Bila dikenang semula bapa sebenarnya bukanlah tidak menyayangi kami cuma caranya mungkin berbeza. Dia menunjukkan kasih sayangnya dengan perlakuan bukan dengan kata-kata. Jadi janganlah berharap seseorang itu akan memperlihatkan kasih sayangnya pada kita mengikut apa yang kita inginkan kerana setiap kita punya cara yang berbeza dalam mengungkapkan rasa sayang pada orang yang dikasihi. Apa yang penting kasih sayang itu tetap wujud dan mengalir laju dalam jiwa kita.

17 February 2010

Kayanya Mereka Itu....


Seronoknya bila setiap keinginan yang kita impikan dapat dipenuhi dengan mudah. Seronoknya bila tidak perlu bekerja tetapi mendapatkan wang yang banyak setiap bulan. Kata orang wang bukanlah segala-galanya tapi hidup di zaman internet, di zaman dunia tanpa sempadan ini, wang sangat memainkan peranan penting. Dengan kedudukan wang yang kukuh, kita dapat menikmat kehidupan yang lebih selesa dan anak-anak dapat diberikan pendidikan yang lebih berkualiti.

Kuasa wang juga mampu meruntuhkan instituisi kekeluargaan. Sering kedengaran, rumah tangga musnah gara-gara masalah kewangan yang meruncing. Saban hari, berita memaparkan pelbagai isu berkaitan dengan 'along.' Peristiwa beberapa orang lelaki yang dirantai leher dan kaki oleh 'along' masih segar di ingatan saya. Alangkah kejamnya, kerana wang manusia sanggup bertindak biadab dan kerana wang juga maruah diri tergadai. Banyak isu melibatkan wang berlaku di sekeliling kita saban hari. Kerana wang, ramai yang tertangkap kerana menjadi keldai dadah dan kerana ingin cepat kaya ramai juga yang tertipu dengan pelbagai skim cepat kaya yang kononnya menjanjikan habuan lumayan. Saranan saya, jangan mudah terpedaya.

Untuk kaya, haruslah rajin berusaha dan sentiasa memotivasikan diri. Mereka yang kaya, telah menempuh pelbagai saat getir. Pernah jatuh tetapi dengan tekad membara mereka bangun semula membina empayar kekayaan untuk diwarisi oleh genarasi mereka yang seterusnya. Irfan Khairi-seorang jutawan internet yang berjaya dalam http://www.irfankhairi.com menyatakan "untuk menjadi seorang usahwan yang berjaya, abaikan perasaan-perasaan yang ada dalam fikiran seperti takut, tidak yakin dan fikir susah.."

Agaknya orang-orang yang namanya tersenarai di bawah ini juga sependapat dengan Irfan Khairi, sebab itulah mereka berjaya dan menjadi kaya.

Antara Orang-orang Terkaya di Malaysia
  1. Robert Kuok Hock Nien - Nilai kekayaan RM42.7 billion
  2. T.Ananda Krishnan - Nilai kekayaan RM27 billion
  3. Tan Sri Lee Shin Cheng - Nilai kekayaan RM11.92 billion
  4. Tan Sri Teh Hong Piow - Nilai kekayaan RM10.86 billion
  5. Tan Sri Lim Kok Thay - Nilai kekayaan RM10.86 billion
  6. Tan Sri Quek Leng Chan - Nilai kekayaan RM7.09 billion
  7. Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary - Nilai kekayaan RM6 billion
  8. Puan Sri Lee Kim Hua
  9. Tan Sri Tiong Hiew King
  10. Tan Sri Vincent Tan
  11. Tan Sri Azman Hashim
**Datuk Mokhzani Matahir turut tersenarai sebagai orang terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan RM1.07 billion. Beliau menduduki kedudukan ke-20 dalam senarai orang terkaya Malaysia**



15 February 2010

Bapa Memilih Islam.Why?

Kita di Malaysia, beruntung kerana mampu mengamalkan amalan kepercayaan agama masing-masing tanpa sebarang masalah walaupun akhir-akhir ini terdapat isu-isu panas yang cuba dibangkitkan oleh sesetengah pihak.

Ibu bapa dan most of my relatives sebenarnya bukanlah Islam sejak dari kecil. Ramai yang beragama Christian dan ramai juga yang telah memeluk Islam disebabkan oleh perkahwinan. Ada juga yang memeluk Islam dengan rela kerana tertarik dengan ajaran Islam itu sendiri. Ibu bapa saya memeluk Islam setelah lebih kurang 10 tahun mereka berkahwin. Ini bermakna ada di kalangan kakak dan abang saya yang dilahirkan sebagai Christian dan memiliki nama Christian. Sebaik sahaja ibu bapa, abang-abang dan kakak saya memeluk Islam, mereka menukarkan nama Christian yang dimiliki kepada nama Islam. Saya, seorang kakak dan 2 orang adik saya dilahirkan sesudah ibu bapa saya memeluk agama Islam.

Saya pernah bertanya kepada bapa saya mengapa beliau akhirnya memilih Islam sebagai agama anutan selepas sebelum ini mengamalkan fahaman paganisme dan Christian. Jawapan bapa saya ringkas saja. Dia melihat kepada cara hidup Islam itu yang padanya sangat teratur dan mementingkan disiplin. Pergaulan bapa saya dengan orang Islam sebelum memeluk Islam sebenarnya sangat akrab dan luas.

Sebelum memeluk Islam, bapa saya seorang pemabuk. Setiap bulan pasti akan diadakan pesta keramaian-pesta yang pastinya menghidangkan minuman-minuman yang memabukkan. Dan pesta keramaian itu pula berlangsung berhari-hari lamanya. Akhirnya kesedaran timbul apabila bapa saya melihat kepada kehidupan keluarga saya yang tunggang langgang tidak terurus ketika itu. Hidup semakin terasa susah, miskin dan merempat sebab bila mabuk, tiada satu pekerjaan pun yang mampu dilakukan oleh bapa saya untuk menambahkan pendapatan dan memperbaiki kehidupan keluarga. Apa yang dilakukan hanyalah terbaring sepanjang hari di rumah.

Saya bersyukur Allah membuka pintu hidayahNya untuk ibu bapa saya. Saya tidak pasti bagaimana kehidupan saya dan adik-beradik saya hari ini sekiranya ibu bapa saya masih tidak diberikan petunjuk oleh Allah swt. Saya sangat menghargai orang-orang yang telah membantu ahli keluarga saya dalam mempelajari Islam selama ini termasuklah para tabligh yang dulunya sering berkunjung ke rumah saya. Bahkan para tabligh daripada Indonesia juga pernah berkunjung ke rumah saya suatu ketika dulu untuk menyebarkan fahaman ahmadiyah.

Dia Pergi Jua Akhirnya

Akibat tekanan hidup yang mengila ditambah dengan hilangnya kewarasan akal sihat, dia yang sebulan lalu nekad menamatkan riwayat hidup dengan meminum racun rumpai akhirnya pergi juga. Dia pergi untuk selamanya dan tidak akan pernah kembali lagi ke alam dunia ini. Dia pergi meninggalkan si anak kecil dan si isteri. Mereka pastinya akan sentiasa merindui kehilangan seorang ketua keluarga. Dia yang tidak terlalu kukenali identitinya menghembuskan nafas terakhir di atas katil hospital setelah berminggu terlantar di situ. Kepada mereka yang ditinggalkannya, tabahlah dan teruskan kehidupan meskipun rasa sendu tetap berbekas di jiwa. Pastinya mayatnya telah pun disemadikan dengan aman mengikut kepercayaan agama Christian kerana sememangnya dia seorang Christian. Meskipun berbeza fahaman agama, itu tidak pernah menjadi penghalang bagi kami untuk saling membantu.

Atas nama kemanusiaan, kami dan orang-orang kampung keseluruhannya tetap saling bantu-membantu, ziarah-menziarah jika ada anggota masyarakat yang ditimpa musibah tanpa mengambil kira soal fahaman agama masing-masing. Bagi kami fahaman agama adalah hak peribadi dan mutlak setiap individu yang tidak boleh diganggu gugat. Selagi mereka menghormati kami sebagai penganut Islam, tiada sebab kami harus bermusuhan dengan penganut agama lain dan begitu juga sebaliknya.Cuma dari segi soal makan, memang perlu sangat dijaga dan alhamdulillah mereka sangat memahami soal itu.


Sanak-saudara saya sendiri masih ramai yang beragama Christian samaada di sebelah emak ataupun bapa saya. Bapa dan emak saya hanya memeluk agama Islam setelah lebih kurang 10 tahun berkahwin. Saya bersyukur kerana pintu hati ibu bapa saya terbuka memeluk agama Islam. Adik-beradik saya juga kesemuanya Islam. Namun yang saya kesalkan sehingga akhir hayatnya, nenek saya tetap memilih Christian sebagai agama anutannya.Walaupun kini semakin ramai sanak saudara saya memilih Islam sebagai agama anutan mereka, saya berharap mereka benar-benar ikhlas dan bukan sekadar pemudahcara untuk membolehkan mereka berkahwin dengan pasangan mereka yang beragama Islam.

Mengapa 14Feb?


14 Febuari sentiasa dinantikan oleh setiap pasangan kekasih kerana pada tarikh inilah kononnya hari yang paling ideal untuk mengungkapkan kasih yang terpendam selama ini. Benarkah begitu?? Mengapa perlu diperuntukkan satu hari khusus untuk menyatakan rasa sayang tersebut? Paling utama, apakah sambutan ini selari dengan tuntuan Islam?

Prof Madya Dr.Khadijah Mohd Khambali@Hambali (Pensyarah Jabatan Akidah & Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, UM) dalam utusan 14 Feb 2010 menyatakan bahawa hari valentine diambil dari nama seorang paderi yang cuba menyebarkan ajaran kristian di Rom. Masyarakat Rom ketika itu, menyambut perayaan kasih sayang pada setiap 15 Februari dan menyembah tuhan Lupercus yang berperanan menjaga kebajikan dan pertanian masyarakat Rom. Selepas musim menuai, sebagai tanda dedikasi kepada tuhan mereka, masyarakat Rom akan menyambutnya dengan penuh kasih sayang dan kesyukuran. Ketika St.Valentino tiba di Rom untuk menyebarkan ajaran Kristian, para remaja yang belum berkahwin telah diminta agar mengikuti latihan ketenteraan. Mereka yang bercinta tidak sanggup meninggalkan kekasih masing-masing. Justeru mereka menemui St.Valentino. St.Valentino pada masa itu menyebarkan bentuk kasih sayang dengan mengahwinkan mereka mengikut upacara perkahwinan kristian. Akhirnya semakin ramai yang menemui St.Valentino untuk berkahwin dan tidak mengikuti latihan ketenteraan. Apabila perkara ini diketahui pemerintah Rom, St.Valentino dipenjarakan dan akhirnya dibunuh. Sebelum dibunuh seorang pengawal penjara yang anaknya buta telah datang menemui St.Valentino. Anak yang buta itu tertarik dengan kisah St.Valentino walaupun belum bertemunya. St.Valentino sempat memberi kata-kata perangsang kepada anak pengawal yang buta itu untuk terus hidup. Pada awalnya gadis itu mahu membunuh diri. Bermula dari kisah itu, sebagai memperingati jasa St.Valentino, perayaan kepada tuhan Lupercus dan tuhan Juno disimbolikkan dalam perayaan Valentine's Day.

Malangnya ramai yang merayakan sambutan valentine's day tanpa mempedulikan batasan halal dan haram.Tambah mendukacitakan sebaik sahaja Valentine's Day bermula, ramai anak-anak muda yang tergelincir daripada landasan kehidupan yang suci murni dengan pelbagai pesta dan sebaginya. Semoga kesedaran akan berputik kembali di jiwa kita semua bahawa hidup ini hanyalah sementara. Segala keseronokan pesta pora ini akan tetap ditinggalkan apabila nadi berhenti berdegup. Jadikan setiap hari yang kita lalui sebagai hari-hari yang penuh dengan kasih sayang dan ketulusan. Justeru tidak perlulah ditunggu hingga 14 Febuari untuk menyatakan rasa sayang kerana kita tidak pernah tahu apakah kita berkesempatan untuk hidup sehingga 14 Februari pada tahun-tahun akan datang. Jadi, nyatakan saja rasa sayang anda pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Nyatakan tanpa ragu-ragu selagi belum terlambat.

Kepada anak-anak muda yang tergelincir daripada landasan kehidupan, berilah mereka peluang memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan. Mereka juga manusia biasa yang gagal melawan emosi muda. Hulurkan kasih sayang kepada mereka. Sesungguhnya jiwa-jiwa itu sangat mendambakan kasih sayang namun disebabkan salah percaturan, mereka menemukan kasih sayang yang salah, yang hanya menghancurkan diri dan masa depan. Semoga dengan kasih sayang yang tulus, hati-hati itu akan kembali lembut dan bercahaya. "Ya Allah, sesungguhnya hati dan jiwa ini sangat rapuh, justeru itu selamatkanlah hati dan jiwa ini daripada menjadi mangsa godaan dan bisikan syaitan dan iblis laknatullah. Jadikan hati ini sentiasa tenang, tenteram, redha dan ikhlas menerima setiap ketentuan yang telah Engkau lakarkan dalam perjalanan hidupku ini..."

***Hayati sebahagian daripada lirik lagu mari shalawat-wali band ini***

Daripada kita pacaran
Lebih baik kita sholawatan
Daripada kita berduaan
Nanti bakal dihasut setan

Awas jangan dekat-dekatan
Kita 'kan belum ada ikatan
Daripada dekat-dekatan
Mending kita sholawatan

01 February 2010

Aku Ada Impian

Aku ada banyak impian dan juga banyak angan-angan :-D. Dari dulu aku memang kuat berangan-angan, tapi bukan angan-angan Mat Jenin. Setiap hari aku mengimpikan kehidupan yang lebih bahagia dan ceria (ini tidak bermakna aku tidak bahagia dan ceria di waktu ini). Antara impian yang ingin aku capai:


  • Kedudukan kewangan yang stabil (Seronokkan kalau dalam bank ada berlambak-lambak $$)

  • Ingin bebas daripada tekanan hutang-piutang

  • Ingin memiliki rumah yang dibeli dengan duit sendiri

  • Ingin menjadi seorang yang hebat, disayangi dan dihormati oleh semua

  • Ingin sihat sepanjang hayat & kekal awet muda selamanya

  • Ingin mengembara ke seluruh dunia untuk mengenali budaya dan adat resam di sesebuah negara

***Dannnnn....***

  • Aku juga punya impian untuk bina rumah kebajikan untuk kanak-kanak yang terabai kerana sesungguhnya aku benar-benar menyukai dan menyayangi kanak-kanak dan aku juga sukakan kerja-kerja amal. Pengalaman semasa berkunjung ke rumah kebajikan kanak-kanak di Sri Aman, Sarawak suatu ketika dulu benar-benar menyentuh jiwaku. Alangkah pilunya bila melihat tubuh si kecil penuh dengan kesan-kesan deraan yang pastinya akan meninggalkan kesan pahit dan trauma di hati untuk sepanjang hayatnya. Penderaan itu telah membunuh keriangan seorang anak kecil yang seharusnya dibelai dengan penuh kasih sayang. Kanak-kanak itu kelihatan muram dan murung tapi ketika aku menghampirinya sambil memberikan gula-gula kepadanya, ada segaris senyuman sayu dilemparkannya. Dia seakan enggan berganjak dari sisiku dan hatiku menjadi tidak keruan selepas itu kerana aku tahu sebentar saja lagi aku akan meninggalkan mereka. Aku hanya hadir untuk seketika. Kadang-kadang aku bertanya pada diri, mengapa ada manusia yang hatinya sangat kejam sanggup mendera darah daging sendiri. Bahkan lebih sadis dari itu ada yang sanggup membunuh zuriat sendiri sebagaimana dalam paparan berita baru-baru ini, mayat bayi malang ditemui dalam tong sampah dalam keadaan separuh daripada badannya terbakar. Apa pun alasan yang diberikan, berfikirlah dari sudut kemanusiaan....







***yang tertera di atas hanyalah sebahagian daripada impianku*****




Menanggani Stress

Anda boleh berpura-pura untuk tidak berasa apa-apa namun berikut adalah beberapa perasaan yang kuat yang akan kita alami sesekali dalam hidup:
  • Rasa keseorangan
  • Rasa ingin disayangi
  • Ketakutan
  • Kesedihan
  • Tiada upaya
  • Malu
Luahkanlah apa yang anda rasa kerana jika dipendam ia akan menggangu perasaan anda.Berikut antara langkah yang boleh diamalkan untuk menanggani stress.
  • Berfikir positif
  • Realistik
  • Buat keputusan dengan bijak
  • Cari kawan untuk bercerita & ketawa
  • Dengar suara hati anda
  • Terima kritikan dengan terbuka
*sumber:myHealth portal