25 November 2010

Salam Aidil Adha...

Agak terlewat untuk mengucapkan salam Aidil Adha buat semua :-) semoga dapat dimaafkan. Meskipun agak terlewat tapi saya tidak pernah melupakan anda semua yang menjadi sahabat saya. Semoga saja kita semua akan sentiasa diberikan kekuatan yang luarbiasa kuatnya dalam menghadapi setiap musibah dan ujian hidup ini. Jiwa harus sentiasa kuat, tenang dan redha dalam menempuh setiap ujian dariNYA.

Sedikit info berkenaan hari raya korban buat semua tapi saya yakin anda semua khususnya yang beragama Islam pasti telah pun mengetahui latar belakang sambutan ini:
  1. Merupakan salah satu perayaan terbesar selain daripada perayaan Hari Raya Aidilfitri.
  2. Disambut pada hari ke10, 11, 12 dan 13 Zulhijah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijah, diikuti solat sunat dan khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijah diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samaada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijah.
  3. Ia juga merupakan hari umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t (sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Raya_Aidiladha)
**Hari Raya Korban tahun ini merupakan hari raya yang istimewa bagi saya kerana setelah hampir 9 tahun tidak merayakannya, tahun ini saya berpeluang bercuti dan balik ke kampung halaman merayakannya bersama keluarga dalam sambutan yang sangat sederhana. Kenapa begitu lama sekali saya tidak menyambutnya? Ini kerana 3 tahun saya berada di Kuching, Sarawak dan kemudiannya bekerja di Semenanjung selama 5 tahun jadi kemampuan untuk sentiasa balik bercuti agak terhad dan biasanya saya cuma memilih hanya 2 kali setahun untuk balik bercuti iaitu pada setiap hari raya puasa dan juga pada cuti sekolah samaada cuti sekolah pada bulan Mac atau Mei setiap tahun. Kesempatan ini sangat bermakna buat saya namun saya merasakan sambutan Hari Raya Korban kali ini agak hambar tidak seperti sambutan ketika saya masih kanak-kanak dahulu. Kadang-kadang saya merasakan sambutan Hari Raya Aidilfitri juga terasa tidak semeriah dahulu. Zaman telah jauh berubah. Ternyata arus modenisasi telah mengambil alih ruang lingkup kehidupan kita hari ini tapi tidak mengapa jika sambutan perayaan telah jauh berubah. Apa yang penting rasa syukur itu sentiasa ada dalam jiwa kita. Syukuri setiap nikmat yang telah Allah anugerahkan dalam hidup kita yang singkat di muka bumi ini.

p/s: Saya tiba-tiba teringat pada seorang kawan saya bernama Adha yang sekumpulan dengan saya dalam Kursus Induksi di Port Dickson beberapa tahun yang lalu :-) mungkinkah namanya diambil sempena hari raya adha???Hanya dia yang tahu. Kepadamu sahabat yang bernama Adha: semoga engkau sentiasa berada dalam kasih sayang dan redha Allah s.w.t

No comments:

Post a Comment