18 October 2015

Cerita Duka Januari 2015

"Kita tidak pernah tahu bila mata ini akan tertutup untuk selamanya. Ketika itu terjadi, yang kita tinggalkan hanyalah sebuah cerita yang akan menjadi kenangan buat saudara..."

5 Januari 2015, 10 bulan berlalu namun seolah seperti baru semalam dia pergi meninggalkan kami buat selamanya. Masih ada rasa rindu dan duka berbaki dalam hati ini. Namun kami redha pada segalanya. Tarikh ini merupakan tarikh perginya bapa saya ke alam sana setelah 10 hari terlantar di hospital. Semoga Allah mengampuni segala dosanya. 

10 hari saya berkampung di hospital tanpa rehat yang cukup tapi itu semua sangat tidak membebankan saya sama sekali malah saya sangat bersyukur kerana dengan izinNya saya berpeluang berada di sisi arwah bapa pada hari-hari terakhirnya di muka bumi ini. Peristiwa demi peristiwa yang saya tempuhi selama 10 hari berada di ward ini memberikan kesan kemanusiaan yang sangat mendalam di dalam jiwa saya. Selama 10 hari itu, saya menyaksikan kematian demi kematian datang silih berganti. Terasa jiwa ini begitu kerdil dan rapuh sekali. Esak tanggis dan raungan anak-anak yang ditinggalkan oleh si mati seakan merentap seluruh kekuatan jiwa saya ketika itu apatah lagi bila doktor memberitahu bahawa harapan untuk bapa saya sembuh sangatlah tipis walaupun setelah melalui empat proses homodialisis. Seakan terbayang mungkinkah selepas ini giliran bapa saya pula? Namun sedaya upaya saya menyingkirkan segala fikiran negatif itu kerana bagi saya bukan doktor yang menentukan ajal maut seseorang. 

Terasa luluh hati ini mendengar suara ibu dan adik saya pada malam itu semasa saya sedang bekerja syif malam. Hati berbolak-balik kerana saya masih ada satu pusingan syif lagi sebelum mula bercuti. Saya sedar ini hal kecemasan tapi seboleh-bolehnya saya tidak mahu mengganggu jadual syif rakan-rakan yang lain. Tapi apakan daya, saya perlu balik secepat mungkin. Alhamdulillah, urusan cuti saya dipermudahkan dan saya sangat terhutang jasa dengan semua rakan-rakan sekerja yang banyak bertolak ansur. Semoga Allah membalas segala jasa baik mereka dengan memberikan kesihatan yang baik dan murah rezeki. 

Terlalu banyak yang ingin saya ceritakan tapi jari ini seakan tidak mampu menaip huruf demi huruf kerana semakin banyak yang ditulis, kerinduan itu semakin menebal di jiwa ini. Terlalu banyak kenangan bersama dengan arwah bapa yang tidak akan pernah pudar dalam ingatan saya untuk selamanya selagi saya bernafas di muka bumi ini. Dia adalah kawan bicara saya. Setiap hari saya tidak pernah tidak menelefonnya. Bahkan dalam sehari kadang-kadang hingga dua, tiga kali saya menelefon bapa. Sekarang semua itu hanya tinggal kenangan. Dalam solat sering saya doakan, semoga Allah mengampuni dosa-dosa arwah bapa. 

Satu yang ingin saya kongsi di sini, arwah bapa saya seorang yang sangat suka bersedekah samada pada kanak-kanak mahupun orang dewasa terutama mereka yang ditimpa musibah. Sama seperti saya, arwah bapa saya juga seorang yang sangat sukakan kanak-kanak. Bukan niat saya untuk bersikap riak tapi sekadar untuk berkongsi cerita bahawa benarlah jika kita suka bersedekah insyaallah, Allah akan memberikan ganjaran yang setimpal. Semasa arwah bapa saya meninggal, alhamdulillah segala urusan dipermudahkan Allah dan sungguh tidak terfikir oleh kami betapa ramainya yang memberi sumbangan derma hingga mencecah RM10 ribu. Allahhu Akhbar! Mohon maaf, saya sama sekali tidak bermaksud untuk bersikap riak. Semoga kita semua mampu menjadi ahli sedekah.

Subuh yang hening dan sunyi, saat itulah bapa saya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana pilu menyelubungi sanubari kami namun tiada esak tanggis yang kedengaran. Hanya airmata turun perlahan membasahi pipi. Suatu momen yang sangat menyentuh perasaan. Para jururawat yang bertugas ketika itu juga seolah memahami runtunan hati kami. Semuanya tertunduk sayu. Semasa jenazah arwah bapa saya di bawa keluar, entah atas dorongan apa, ibu saya mendahului kami semua, berjabat tangan dengan jururawat yang bertugas diikuti oleh kakak, adik dan saya sendiri. Kami bersalaman dengan para jururawat itu sebelum beredar balik. Sampai di muka pintu hospital, pengawal keselamatan yang bertugas turut berdiri seolah memberi penghormatan terakhir buat arwah bapa saya. Sebak dan sayu tidak terkata di dalam hati saya ketika itu.

Mana mungkin semua momen ini dapat saya lupakan. Mana mungkin juga saya dapat melupakan jasa baik semua orang yang banyak membantu kami menghadapi situasi ini terutamanya saudara mara, jiran-jiran sekampung, sahabat-sahabat dan rakan-rakan sekerja.

Begitulah singkatnya hidup kita. Kita sendiri tidak akan pernah tahu sampai bila kita akan bernafas di muka bumi ini. Semoga pada saat tibanya sakaratul maut itu, Allah menuntup semua aib kita. Dipermudahkan juga untuk menyebut kalimah tauhidNya di kala nafas berada pada penghujung kehidupan. Amin...