23 October 2010

Kes Cerai Membimbangkan



Kes cerai membimbangkan (Utusan Malaysia Online, 21/10/2010)
Sekali imbas tajuk ini agak menggerikan bagi setiap pasangan yang telah berumah tangga. Bahkan ia juga mampu menimbulkan rasa fobia bagi segelintir mereka yang belum berkahwin. Tidak terkecuali diri saya sendiri. Kadang-kadang saya merasa fobia dan takut untuk memikirkan soal kahwin bila melihat kisah-kisah rumah tangga yang berakhir di tengah jalan. Kes perceraian di Selangor dikatakan semakin membimbangkan apabila 4614 pasangan dilaporkan bercerai tahun lalu. Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 545 kes berbanding 4069 kes pada tahun 2008.

Berdasarkan perbualan dengan rakan-rakan yang berhadapan dengan kes perceraian, selalunya ada banyak sebab terjadinya perceraian, antaranya:

  • Masalah Kewangan - Gaji tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan dan keperluan ahli keluarga.
  • Masalah Komunikasi - Isteri/suami kurang bercakap dan terlalu memendam perasaan. Segala rasa tidak puas hati dibiarkan terpendam hingga akhirnya menjadi bom jangka yang menanti saat untuk meletup.
  • Sikap baran suami/isteri - Bukan untuk mengaibkan sesiapa tapi ada di antara kawan saya bercerita pada saya tentang kebengisan sikap isterinya hingga tergamak tidak membenarkannya masuk dalam rumah (terpaksa tidur di beranda rumah). Seorang kawan perempuan saya pula pernah mengadu sering menjadi mangsa sepak terajang suaminya yang panas baran dan pemabuk. Kedua-duanya akhirnya memilih untuk menamatkan tali perkahwinan mereka. Kawan perempuan itu kemudiannya berkahwin dengan lelaki lain yang pada pengamatan saya seorang lelaki yang baik, penyayang dan dapat menerima kehadiran anak-anak tirinya. Manakala kawan lelaki itu pula memilih untuk terus bersendirian. Mungkin kepercayaannya terhadap kasih sayang wanita dan alam rumah tangga telah terhakis. Saya pernah bertanya padanya mengapa dia tidak melupakan saja kisah silamnya yang suram dan teruskan kehidupan berumah tangga dengan gadis lain. Jawapnya: " khawin itu susah, perlu banyak komitmen dan takut kisah yang sama berulang lagi..." Hingga kini sudah lebih 10 tahun dia hidup sendiri tanpa seseorang yang bergelar isteri di sisinya. Ternyata kehancuran rumah tangga meninggalkan parut yang sangat dalam di hatinya. Semoga saja dia akan terus tabah dan mudah-mudahan satu hari nanti dia akan bertemu semula dengan cinta sejatinya.
  • Masalah Sex - Emmm ini pun kisah benar, saya tidak tahu kenapa kawan saya begitu terbuka bercerita hal ini pada saya. Pada saya hal ini begitu sensitif dan peribadi. Saya tidak kisah sebenarnya mendengar setiap keluhan kawan-kawan saya tapi kadang-kadang emosi saya juga terheret sama. Bayangkanlah kata kawan saya itu, selama 2 tahun perkahwinan, mereka tidak pernah langsung melakukan hubungan suami isteri. Saya agak terkejut dan malu sebab saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberikan apa-apa pandangan padanya tentang hal ini. Dan kesudahannya juga sama iaitu berakhir dengan perceraian.
  • Orang Ketiga - Tidak dinafikan kewujudan orang ketiga juga menjadi penyumbang terbesar kepada berlakunya perceraian. Saya sangat bersimpati dengan kisah malang yang dialami oleh kawan saya akibat suaminya bermain kayu tiga. Menurut kawan saya, suaminya sering memberi alasan 'out station' atas urusan kerja tapi tembelang suaminya terbongkar apabila dicekup di sebuah hotel bersama wanita lain. Hati wanita mana yang tidak remuk bila suami yang disandarkan harapan dan kesetiaan rupanya berlaku curang. Paling sedih bila seorang kawan yang beragama Kristian sanggup menukar agamanya untuk berkahwin dengan seorang lelaki Islam tetapi setelah beberapa tahun berkahwin dan dikurniakan dua orang anak, suaminya mula beralih arah kepada wanita lain. Saya simpati kerana saya sendiri tidak pasti sama ada dia mampu meneruskan kehidupannya sebagai seorang Islam selepas perceraian itu memandangkan keseluruhan ahli keluarganya beragama Kristian. Cerita terakhir tentangnya saya diberitahu dia kembali semula tinggal bersama dengan ahli keluarganya yang beragama Kristian. Doa saya semoga akidahnya serta anak-anaknya tetap terpelihara. Sebab itu dalam entri sebelum ini saya ada menegaskan agar mereka yang memilih untuk menukar agama haruslah benar-benar membuat pilihan yang tepat di samping kekuatan mental dan emosi juga harus kuat.
Terlalu banyak punca sebenarnya. Setiap pasangan pasti ada sebab-sebab yang berbeza mengapa mereka memilih untuk bercerai. Luluh hati saya bila pada satu hari anak saudara saya yang paling kecil dan paling manja datang mendekati saya sambil berbisik dengan matanya yang sayu dan kelihatan air mata bergenang di kelopak matanya "anti, saya takutlah kalau mama dan papa bercerai..." bukan sekali tapi berkali-kali ungkapan takut itu keluar dari mulutnya. Saya tersentak dan terus bertanya mengapa dia beranggapan mama dan papanya akan bercerai. Dengan wajah jujur tapi sayu, anak kecil ini memberitahu saya beberapa hari sebelum itu, dia terdengar papa dan mamanya bergaduh. Sekadar menenangkan dirinya, saya memeluknya sambil memberitahu pada anak kecil ini bahawa kadang-kadang ada masanya ibu bapa akan bergaduh tapi itu tidak semestinya mereka akan bercerai. Samalah macam kawan, kadang-kadang kita akan gaduh dengan kawan tapi tidak bermakna kita akan putuskan tali persahabatan dengan kawan kita sambung saya lagi. Aduhai, anak sekecil ini rupanya sudah mengerti apa itu perceraian. Nasib baiklah penjelasan saya itu dapat diterimanya. Saya berharap pada semua rakan-rakan saya yang sedang berhadapan dengan kes perceraian ataupun pernah berhadapan dengan perceraian, semoga kalian sentiasa tabah menghadapinya. Saya juga berharap agar anak-anak tidak dijadikan mangsa. Sekalipun tali perkahwinan telah terputus tetapi hubungan darah yang terjalin di antara anak dan ibu atau anak dengan bapa tetap wujud untuk selamanya. Luangkanlah masa untuk bertanya khabar dengan anak-anak anda. Janganlah dibiarkan mereka begitu sahaja sehingga akhirnya mereka terlupa yang anda adalah ibu atau bapa kandung mereka.

09 October 2010

Kebenaran Itu Pahit

"Kadang-kadang menyatakan kebenaran itu sangat menyakitkan apalagi kalau ia melibatkan hati dan perasaan orang lain tapi menyembunyikan kebenaran juga sebenarnya amat menyakitkan..."

Kadang-kadang kita terlalu menjaga hati dan perasaan orang lain, kita takut segala kebenaran yang akan disampaikan akan membuatkan hati sesetengah orang yang ada disekeliling kita akan terluka. Sayangnya kerana terlalu menjaga hati orang lain, kita sebenarnya telah menyebabkan hati orang-orang yang ingin kita jaga itu jadi bertambah terluka apabila kebenaran yang disembunyikan itu akhirnya terbongkar.

Sepahit mana pun kebenaran itu, jadilah orang yang berani menyatakannya. Mungkin dengan keberanian itu, orang-orang yang ada disekeliling kita akan lebih menghargai keikhlasan dan kejujuran kita. Ajarlah jiwa kita agar sentiasa berlapang dada dan sentiasa berani menghadapi setiap kemungkinan yang akan terjadi setelah kebenaran itu dinyatakan. Kita bukanlah manusia yang terlalu sempurna, yang tidak pernah melakukan kesilapan dalam hidup namun setiap kesilapan yang pernah dilakukan haruslah dikaji agar kesilapan-kesilapan itu tidak berulang lagi pada masa-masa akan datang.

Saya tahu, di luar sana ramai yang bertindak menyembunyikan kebenaran dan mereka ini saya percaya bukanlah tidak jujur, tidak ikhlas atau hipokrit tapi mereka pasti punya alasan tersendiri untuk tidak menyatakan kebenaran itu.

Untuk semua, jika anda benar-benar menyayangi dan menghargai persahabatan yang anda jalin dengan sahabat-sahabat anda, beranilah menyatakan kebenaran. Beranilah menegur jika ada salah silap yang dilakukannya. Tegurlah dengan berhemah dan penuh kasih sayang bukan dengan kritikan dan cemuhan menghina. Persahabatan dan perhubungan yang dibina berlandaskan kasih sayang pasti akan menjadikan sesuatu perhubungan itu lebih manis dan menghiburkan :-)