27 January 2020

Masak dan Makan

Seperti selalu, saya ingin kongsikan sebahagian lagi menu-menu yang pernah saya masak. Gambar-gambar ini hanyalah sebagai simpanan untuk kenangan di hari kemudian dan juga sebagai bukti yang saya tidaklah sepanjang masa makan di luar hehe..kadang-kadang saya masak sekali terus untuk makan malam, jadi sebelah malam cuma panaskan lauk yang sudah dimasak..














23 November 2019

Main Masak-Masak

Walaupun saya agak kurang minat memasak tapi adakalanya saya memasak juga. Disamping menjimatkan, memasak juga dapat meningkatkan kemahiran dan kreativiti  memasak seseorang. Saya memasak tanpa terlalu terikat dengan resepi yang menjadi kebiasaan, janji tekak saya boleh terima dan perut saya kenyang. Gambar-gambar masakan ini adalah koleksi masakan saya. Adakalanya saya suka ambil gambar apa yang saya masak sekadar untuk suka-suka. Antara menu yang menjadi kegemaran saya ialah sambal petai ikan bilis. Petai walaupun agak pahit dan berbau tapi ia mengandungi banyak khasiat. Khasiat petai antaranya adalah membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dan melancarkan pencernaan.

Sambal petai bilis

Pucuk ubi tumis

Masak lemak pucuk ubi

Bunga betik tumis

sayur manis tumis

Kulit tembikai tumis

Sup ikan

Ikan ampap

Ikan taucu

Ikan asam pedas

Ayam masak lemak




20 September 2018

Senja, Awan dan Langit


"Alam indah yang terbentang luas adalah terapi minda yang paling menenangkan jiwa. Hayati dan hargailah setiap detik dan kesempatan yang masih menjadi milik kita hari ini"









13 September 2018

Cerita Dari Laut

Nelayan itu datang kepadaku
Dia membawa khabar duka
Tentang  anak laut
Yang sedang parah jiwanya
Kerana cintanya tertinggal di desa
Terlalu asing sekali bunyinya
Bagaimana mungkin
Cintanya tersesat ke desa
Bagaimana mungkin
Anak laut jatuh cinta pada anak tani
Bukankah ombak
Dan lautan luas membiru adalah dunianya

Sedarlah aku kini bahawa cinta itu benar-benar buta
Cinta yang tulus lahir dari jiwa yang ikhlas
Tanpa memandang perbezaan sesama

Anak laut itu jiwanya kental
Sekental terumbu karang di dasar laut

Semoga satu hari nanti
Gadis tani dari desa itu berkesempatan mengunjungi pantai dan laut 
Mencari cinta hatinya
Lalu ketika tiba di laut
Aku ingin gadis desa itu berbisik begini :

"Laut
Aku datang kepadamu
Tolong khabarkan kepada anak laut itu
Aku telah jatuh cinta kepadanya
Sampaikan juga pesan kepadanya
Aku merinduinya
Khabarkan juga
Aku ingin melakar impian 
Aku ingin membina harapan hari esok bersamanya
Jika diizinkan.."

"Laut..
Ceritakan juga kepadanya
Gadis tani dari desa 
Menanti kepulangannya
Gadis desa itu
Teringin sekali menatap senja berlabuh 
Sambil mendengar deru ombak
Sambil mengutip kerang-kerangan
Bersama dengannya
Bawalah pesan ini kepadanya wahai laut"








11 September 2018

Menu Hari Ini

Balik dari kerja malam, saya mengigihkan diri masuk dapur. Walau mata terasa berat menahan ngantuk, saya paksakan juga diri untuk menyediakan menu makan tengah hari nanti. Sambil menunggu nasi yang ditanak masak, saya menyempatkan diri menyapu bilik dan ruang tamu, kemudian menyental mangkuk tandas, bilik mandi dan membasuh pakaian. Wow terasa aura sebagai suri rumah muncul dalam diri hehe.. Sebenarnya saya sangat tidak selesa melihat keadaan rumah kotor dan bersepah. Rasa serabut fikiran melihat keadaan seperti itu. Selesai semua kerja barulah saya siapkan menu untuk makan tengah hari saya. Menu yang serba ringkas. Janji perut kenyang sudah hehe.

Hari ini saya cuma menyediakan ikan goreng dan sayur tumis peria katak dengan lobak. Cukuplah untuk hidangan saya seorang 😉. Hampir setiap hari menu utama saya adalah ikan dan sayur. Sayur wajib ada. Memasak sendiri jauh lebih jimat berbanding makan di luar dan yang lebih utama kebersihan makanan terjaga. Penggunaan garam dan minyak juga dapat dikawal. Gambar di bawah adalah menu saya hari ini dan menu hari-hari sebelumnya (sayur tumis peria katak dengan lobak, ikan goreng, ikan sambal dan ikan taucu).

Bismillah...





Diskriminasi Status Sosial

09.09.2018..
Cantik susunan tarikh ini. September mengingatkan saya peristiwa dua tahun lalu, peristiwa di mana saya dimaklumkan melalui panggilan telefon yang saya akan dipindahkan jauh dari bumi kelahiran saya. Jiwa saya benar-benar memberontak ketika itu tapi tiada apa yang dapat mengubah keputusan pihak atasan. Saya diarahkan untuk melapor diri di tempat kerja baru pada bulan berikutnya tapi saya memohon penangguhan selama sebulan. Akhirnya penghujung Oktober 2016, dengan berat hati saya meninggalkan bumi kelahiran saya, meninggalkan keluarga dan sahabat handai. Rintik hujan dan rakan-rakan sekerja mengiringi perjalanan saya keluar dari kuarters pada hari terakhir tersebut. Dapat saya rasakan betapa syahdu dan sayunya moment terakhir ketika itu. Huh itu adalah sebahagian daripada memori lalu yang akan selamanya terpahat dalam ingatan.

Hari ini, 09.09.2018, saya kerja syif siang dari jam 0800 pagi sehingga jam 0800 malam (12 jam). Bekerja dalam tempoh 12 jam sangatlah meletihkan. 14 tahun bekerja syif, ada yang seronok dan ada juga yang tidak menyeronokkan. Seronok kerana tidak perlu datang ke pejabat setiap hari dan yang tidak menyeronokkan pula terpaksa bersaing untuk bercuti. Adakalanya cuti yang dipohon terpaksa dikurangkan atau dibatalkan bergantung kepada situasi semasa. Ianya adalah asam garam yang harus ditempuh oleh semua staff yang bekerja secara syif. Bagi saya secara peribadi saya lebih suka bekerja tiga syif berbanding dua syif kerana jika tiga syif, tempoh masa kerja tidaklah terlalu panjang. 

Saya rindukan suasana kerja di tempat lama saya dulu. Di tempat kerja lama, kami mengamalkan sistem kerja 3 syif. Suasana kerja dan suasana persekitaran juga agak santai dan tidak terlalu menekan berbanding suasana kerja dan persekitaran di sini. Kehidupan bandar di sini agak merimaskan. Bukan keadaan persekitaran saja yang agak merimaskan tapi ragam dan mentaliti orang-orangnya juga merimaskan dengan sikap pentingkan diri sendiri, bongkak dan biadab. Saya sangat berharap untuk kembali semula bertugas di tempat asal saya. Ini merupakan perpindahan kali ke dua saya selama 14 tahun berkerja. Apakan daya, orang bujang selalu menjadi sasaran untuk dipindahkan bila sesuatu bahagian mengalami kekurangan staff. Alasannya simple: "orang bujang tiada komitmen." Tidakkah mereka sedar stigma sebegini adalah salah satu bentuk diskriminasi status sosial terhadap golongan bujang. Anggapan sebegini juga secara halus menghiris perasaan golongan bujang. Siapa yang tidak ingin berkeluarga? Semua insan normal menginginkan kehidupan berkeluarga tapi tidak semua bernasib baik kahwin di awal usia. Pernah satu ketika kerana didorong oleh rasa geram, saya berharap semoga mereka yang selalu memperlekehkan golongan bujang akan satu hari nanti berhadapan dengan isu itu juga, misalnya anak perempuan mereka juga menjadi andartu. Apa perasaan anda selaku ibu atau ayah jika anak perempuan anda juga ditakdirkan lambat bertemu jodoh. Ketika hal itu terjadi, jangan salahkah sesiapa kerana itu mungkin salah satu teguran dari Allah untuk anda. Ingatlah jika kita mengata anak-anak gadis yang lambat bertemu jodoh hari ini, suatu hari nanti apa yang anda katakan itu mungkin akan berbalik semula kepada diri masing-masing. Setiap yang terjadi, ia bukan sahaja menjadi ujian bagi orang yang sedang melaluinya tapi ia juga menjadi ujian kepada orang lain iaitu ujian sejauh mana ia mampu menjaga lisannya daripada mencaci dan mengata. Disebabkan oleh rasa geram ini juga, saya pernah menyatakan rasa tidak puas hati kepada pihak atasan di tempat asal saya. Saya mengatakan kepadanya, kenapa harus status bujang dijadikan alasan utama untuk memindahkan staff. Bukankah golongan bujang juga mempunyai ibu bapa yang perlu dijaga dan diberi perhatian. Bukankah golongan bujang juga berhadapan dengan pelbagai komitmen lain termasuk dari segi kewangan. Anggapan bahawa golongan bujang tiada komitmen adalah satu anggapan dan pandangan yang sangat tidak adil. Janganlah menyempitkan definisi hidup berkeluarga itu hanya terhad kepada kehidupan suami isteri dan anak-anak sahaja.

Setelah hampir dua tahun di sini, alhamdulillah saya mampu menyesuaikan diri samada penyesuaian terhadap bidang tugas yang baru mahupun penyesuaian diri dengan rakan-rakan yang baru. Kadang-kadang kita tiada pilihan selain daripada berusaha untuk menyesuaikan diri di tempat yang baru.

Sekian sahaja coretan dan imbasan saya untuk dua tahun yang lalu. Pagi ini rakan sekerja saya belanja sarapan pagi dengan nasi lemak, alhamdulillah 😀 kenyang perut..



06 September 2018

Mari Makan

Siapa yang tidak suka makan? Makan adalah keperluan asas setiap orang. Kita perlu makan untuk kelangsungan hidup dan kita juga sering ditekankan untuk mengamalkan pemakanan sihat bagi menjamin kesihatan diri yang baik. Amalan pemakanan yang salah akan mendedahkan diri kita kepada pelbagai penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis.

Huh seperti mendapat tamparan hebat bila bulan lalu, tekanan darah saya naik mendadak. Kurang rehat mungkin juga menjadi salah satu faktor tekanan darah saya naik. Tambahan lagi saya menghadapi masalah susah tidur di waktu malam. Namun dalam masa yang sama, saya tidak nafikan cara pemakanan tidak sihat yang sering saya amalkan juga mungkin menjadi penyebabnya. Selama ini saya lebih suka mengambil makanan segera yang mudah disediakan seperti mee maggi, bubur segera dan makanan ringan yang tinggi kandungan garam dan gula. Saya juga lebih gemar membeli makanan dari luar berbanding menyediakan sendiri makanan untuk makan tengahari atau makan malam. Kesedaran mula timbul bila tekanan darah saya tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Saya perlu mengubah cara pemakanan saya dan itu bermakna saya harus menyediakan sendiri makanan untuk makan tenghari dan makan malam. Saya tidak mahu bergantung hidup dengan memakan ubat untuk menstabilkan bacaan tekanan darah saya. Dalam tempoh seminggu, saya mengubah secara drastik menu pemakanan saya. Kafein (teh, kopi, nescafe) yang menjadi minuman kegemaran diganti dengan air kosong. Setiap hari saya menghabiskan dua botol mineral besar. Setiap hari juga saya menyediakan jus peria katak yang dikisar bersama dengan sebiji epal hijau. Rasa pahit tapi tetap perlu diminun. Tiada pilihan. Setiap hari juga saya memasak dengan kuantiti garam yang sangat sedikit. Minyak langsung tidak digunakan. Kalaupun perlu guna minyak untuk menumis saya hanya gunakan sesudu makan sahaja. Snek saya gantikan dengan meratah timun cina mentah dan buah pisang. Biskut dan kek serta makanan ringan yang menjadi snek kegemaran selama ini, saya buang jauh-jauh. Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk kembali sihat. Penangan tekanan darah tinggi ini benar-benar menginsafkan saya. Otak nakal saya kadang-kadang bercanda, mungkin ini caranya Tuhan menegur saya untuk rajin ke dapur 😂..ya saya seorang wanita yang amat malas memasak dan kemahiran memasak juga tidak saya miliki. Mungkin sebab saya tinggal sendirian, sebab itu saya ambil mudah semua hal-hal dapur 😅

Bila terbiasa menyediakan makanan sendiri, saya jadi seronok memasak. Gambar di bawah adalah antara menu-menu yang saya selalu sediakan bila cuti. Ia adalah menu yang ringkas. Ulam-ulaman tidak terkecuali dalam menu saya. 

Akhir kata, jagalah kesihatan kerana kesihatan tidak ternilai harganya. Buat mereka yang mendoakan kesihatan saya dan buat dia yang bersusah payah mengirimkan buah tunjuk langit buat saya di sini, terima kasih saya ucapkan. Saya sangat terharu dan saya menghargai semuanya. Semoga kita semua terus sihat, kuat dan ceria.










06 March 2018

Bunga Liar II

Kali ini saya kongsikan bunga liar yang berwarna kuning pula..