06 September 2018

Mari Makan

Siapa yang tidak suka makan? Makan adalah keperluan asas setiap orang. Kita perlu makan untuk kelangsungan hidup dan kita juga sering ditekankan untuk mengamalkan pemakanan sihat bagi menjamin kesihatan diri yang baik. Amalan pemakanan yang salah akan mendedahkan diri kita kepada pelbagai penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis.

Huh seperti mendapat tamparan hebat bila bulan lalu, tekanan darah saya naik mendadak. Kurang rehat mungkin juga menjadi salah satu faktor tekanan darah saya naik. Tambahan lagi saya menghadapi masalah susah tidur di waktu malam. Namun dalam masa yang sama, saya tidak nafikan cara pemakanan tidak sihat yang sering saya amalkan juga mungkin menjadi penyebabnya. Selama ini saya lebih suka mengambil makanan segera yang mudah disediakan seperti mee maggi, bubur segera dan makanan ringan yang tinggi kandungan garam dan gula. Saya juga lebih gemar membeli makanan dari luar berbanding menyediakan sendiri makanan untuk makan tengahari atau makan malam. Kesedaran mula timbul bila tekanan darah saya tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Saya perlu mengubah cara pemakanan saya dan itu bermakna saya harus menyediakan sendiri makanan untuk makan tenghari dan makan malam. Saya tidak mahu bergantung hidup dengan memakan ubat untuk menstabilkan bacaan tekanan darah saya. Dalam tempoh seminggu, saya mengubah secara drastik menu pemakanan saya. Kafein (teh, kopi, nescafe) yang menjadi minuman kegemaran diganti dengan air kosong. Setiap hari saya menghabiskan dua botol mineral besar. Setiap hari juga saya menyediakan jus peria katak yang dikisar bersama dengan sebiji epal hijau. Rasa pahit tapi tetap perlu diminun. Tiada pilihan. Setiap hari juga saya memasak dengan kuantiti garam yang sangat sedikit. Minyak langsung tidak digunakan. Kalaupun perlu guna minyak untuk menumis saya hanya gunakan sesudu makan sahaja. Snek saya gantikan dengan meratah timun cina mentah dan buah pisang. Biskut dan kek serta makanan ringan yang menjadi snek kegemaran selama ini, saya buang jauh-jauh. Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk kembali sihat. Penangan tekanan darah tinggi ini benar-benar menginsafkan saya. Otak nakal saya kadang-kadang bercanda, mungkin ini caranya Tuhan menegur saya untuk rajin ke dapur 😂..ya saya seorang wanita yang amat malas memasak dan kemahiran memasak juga tidak saya miliki. Mungkin sebab saya tinggal sendirian, sebab itu saya ambil mudah semua hal-hal dapur 😅

Bila terbiasa menyediakan makanan sendiri, saya jadi seronok memasak. Gambar di bawah adalah antara menu-menu yang saya selalu sediakan bila cuti. Ia adalah menu yang ringkas. Ulam-ulaman tidak terkecuali dalam menu saya. 

Akhir kata, jagalah kesihatan kerana kesihatan tidak ternilai harganya. Buat mereka yang mendoakan kesihatan saya dan buat dia yang bersusah payah mengirimkan buah tunjuk langit buat saya di sini, terima kasih saya ucapkan. Saya sangat terharu dan saya menghargai semuanya. Semoga kita semua terus sihat, kuat dan ceria.










No comments:

Post a Comment