11 September 2018

Diskriminasi Status Sosial

09.09.2018..
Cantik susunan tarikh ini. September mengingatkan saya peristiwa dua tahun lalu, peristiwa di mana saya dimaklumkan melalui panggilan telefon yang saya akan dipindahkan jauh dari bumi kelahiran saya. Jiwa saya benar-benar memberontak ketika itu tapi tiada apa yang dapat mengubah keputusan pihak atasan. Saya diarahkan untuk melapor diri di tempat kerja baru pada bulan berikutnya tapi saya memohon penangguhan selama sebulan. Akhirnya penghujung Oktober 2016, dengan berat hati saya meninggalkan bumi kelahiran saya, meninggalkan keluarga dan sahabat handai. Rintik hujan dan rakan-rakan sekerja mengiringi perjalanan saya keluar dari kuarters pada hari terakhir tersebut. Dapat saya rasakan betapa syahdu dan sayunya moment terakhir ketika itu. Huh itu adalah sebahagian daripada memori lalu yang akan selamanya terpahat dalam ingatan.

Hari ini, 09.09.2018, saya kerja syif siang dari jam 0800 pagi sehingga jam 0800 malam (12 jam). Bekerja dalam tempoh 12 jam sangatlah meletihkan. 14 tahun bekerja syif, ada yang seronok dan ada juga yang tidak menyeronokkan. Seronok kerana tidak perlu datang ke pejabat setiap hari dan yang tidak menyeronokkan pula terpaksa bersaing untuk bercuti. Adakalanya cuti yang dipohon terpaksa dikurangkan atau dibatalkan bergantung kepada situasi semasa. Ianya adalah asam garam yang harus ditempuh oleh semua staff yang bekerja secara syif. Bagi saya secara peribadi saya lebih suka bekerja tiga syif berbanding dua syif kerana jika tiga syif, tempoh masa kerja tidaklah terlalu panjang. 

Saya rindukan suasana kerja di tempat lama saya dulu. Di tempat kerja lama, kami mengamalkan sistem kerja 3 syif. Suasana kerja dan suasana persekitaran juga agak santai dan tidak terlalu menekan berbanding suasana kerja dan persekitaran di sini. Kehidupan bandar di sini agak merimaskan. Bukan keadaan persekitaran saja yang agak merimaskan tapi ragam dan mentaliti orang-orangnya juga merimaskan dengan sikap pentingkan diri sendiri, bongkak dan biadab. Saya sangat berharap untuk kembali semula bertugas di tempat asal saya. Ini merupakan perpindahan kali ke dua saya selama 14 tahun berkerja. Apakan daya, orang bujang selalu menjadi sasaran untuk dipindahkan bila sesuatu bahagian mengalami kekurangan staff. Alasannya simple: "orang bujang tiada komitmen." Tidakkah mereka sedar stigma sebegini adalah salah satu bentuk diskriminasi status sosial terhadap golongan bujang. Anggapan sebegini juga secara halus menghiris perasaan golongan bujang. Siapa yang tidak ingin berkeluarga? Semua insan normal menginginkan kehidupan berkeluarga tapi tidak semua bernasib baik kahwin di awal usia. Pernah satu ketika kerana didorong oleh rasa geram, saya berharap semoga mereka yang selalu memperlekehkan golongan bujang akan satu hari nanti berhadapan dengan isu itu juga, misalnya anak perempuan mereka juga menjadi andartu. Apa perasaan anda selaku ibu atau ayah jika anak perempuan anda juga ditakdirkan lambat bertemu jodoh. Ketika hal itu terjadi, jangan salahkah sesiapa kerana itu mungkin salah satu teguran dari Allah untuk anda. Ingatlah jika kita mengata anak-anak gadis yang lambat bertemu jodoh hari ini, suatu hari nanti apa yang anda katakan itu mungkin akan berbalik semula kepada diri masing-masing. Setiap yang terjadi, ia bukan sahaja menjadi ujian bagi orang yang sedang melaluinya tapi ia juga menjadi ujian kepada orang lain iaitu ujian sejauh mana ia mampu menjaga lisannya daripada mencaci dan mengata. Disebabkan oleh rasa geram ini juga, saya pernah menyatakan rasa tidak puas hati kepada pihak atasan di tempat asal saya. Saya mengatakan kepadanya, kenapa harus status bujang dijadikan alasan utama untuk memindahkan staff. Bukankah golongan bujang juga mempunyai ibu bapa yang perlu dijaga dan diberi perhatian. Bukankah golongan bujang juga berhadapan dengan pelbagai komitmen lain termasuk dari segi kewangan. Anggapan bahawa golongan bujang tiada komitmen adalah satu anggapan dan pandangan yang sangat tidak adil. Janganlah menyempitkan definisi hidup berkeluarga itu hanya terhad kepada kehidupan suami isteri dan anak-anak sahaja.

Setelah hampir dua tahun di sini, alhamdulillah saya mampu menyesuaikan diri samada penyesuaian terhadap bidang tugas yang baru mahupun penyesuaian diri dengan rakan-rakan yang baru. Kadang-kadang kita tiada pilihan selain daripada berusaha untuk menyesuaikan diri di tempat yang baru.

Sekian sahaja coretan dan imbasan saya untuk dua tahun yang lalu. Pagi ini rakan sekerja saya belanja sarapan pagi dengan nasi lemak, alhamdulillah 😀 kenyang perut..



No comments:

Post a Comment