01 May 2011

Meluat

Buka tv, cerita yang sama. Baca akhbar pun asyik-asyik benda sama yang diulang tayang untuk kali yang entah keberapa. Kadang-kadang rasa meluat juga bila benda yang sama dihidangkan setiap hari. Tak habis-habis pasal jam tangan omega la, DNA lelaki Y la, liwat sana liwat sini, sumpah laknat dan macam-macam lagi. Siapa yang benar, siapa yang salah saya tidak berminat untuk tahu. Lantak dialah kalau dia mahu mengamalkan kehidupan songsang seperti itu. Itu kehidupan peribadi masing-masing dan ia adalah urusannya dengan Allah tetapi disebabkan orang yang terlibat bukan orang sembarangan di arena politik tanahair maka setiap perilakunya akan menjadi berita sensasi. Sama jugalah dengan para artis dan selebriti, setiap apa yang mereka lakukan akan diperhatikan oleh masyarakat umum. Masyarakat umum adalah penilai pada setiap gerak geri yang kita lakukan. Bezanya samaada penilaian itu akan disensasikan atau pun tidak. Sebagai orang biasa kita juga tidak terlepas daripada penilaian-penilaian tersebut. Kawan-kawan menilai kita, jiran-jiran menilai kita dan adik-beradik juga turut menilai tingkah laku kita. Pendek kata kita sentiasa dinilai....

Soal moral bukanlah suatu hal yang tidak penting bagi saya tetapi daripada sibuk mempersoalkan kredibiliti dan nilai moral seseorang kenapa tidak diluangkan masa mencari formula terbaik menanggani isu-isu yang lebih memerlukan perhatian serius seperti soal kemiskinan, penagihan dadah, rempit, buang bayi, ragut dan pelbagai gejala sosial lainnya.

Kalau kita benar-benar prihatin pada kemiskinan yang menghimpit kehidupan golongan bawahan, kes-kes seperti terpaksa meminta bantuan daripada badan-badan keagamaan pasti tidak berlaku. Saya pernah terbaca, ada beberapa buah keluarga Islam terpaksa menerima bantuan daripada sebuah badan keagamaan non-muslim kerana desakan hidup. Amat menyedihkan sekali bila isu-isu kemiskinan yang disiarkan lebih banyak bertumpu di negeri-negeri pembangkang. Apakah ini bermakna kemiskinan di negeri-negeri lain di Malaysia tidak wujud? Di Sabah misalnya masih banyak kawasan-kawasan kampung yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya, tiada kemudahan air paip dan elektrik. Satu hal lagi yang benar-benar membuatkan saya meluat ialah bila tiba masa pilihan raya. Punyalah prihatin mereka yang bergelar pemimpin itu. Tidak kiralah pemimpin dari parti mana. Masing-masing menunjukkan tahap keprihatinan di luar jangkaan. Sanggup meredah sungai dan bukit semata-mata untuk meraih undi. Akan kedengaranlah pelbagai dana disumbangkan sebagai bukti kononnya nasib rakyat diperjuangkan.

Sekitar tahun 1998-1999 dahulu saya pernah terlibat dalam memberi pendidikan/ceramah alam sekitar kepada penduduk kampung di sebuah daerah di Sabah. Kampung yang kami kunjungi sangatlah jauh terpencil dalam hutan tanpa apa-apa kemudahan asas. Rata-rata penduduknya petani dan tidak berpendidikan. Untuk sampai ke kampung ini kami terpaksa berjalan kaki selama 12jam dengan keadaan muka bumi yang berbukit-bukau!!! Saya tidak tahu bagaimana mereka mampu bertahan meneruskan kehidupan di situ. Rawatan perubatan hanyalah melalui 'doktor udara.' Seminggu sekali atau seminggu dua kali doktor udara akan berkunjung ke kampung tersebut dengan menaiki helikopter. Kini setelah lebih 10 tahun, saya tidak tahu apakah kawasan kampung itu masih di takuk lama atau sedang menempuh fasa baru dalam arus pembangunan modenisasi. Kalau masih di takuk lama, amatlah malang.


Saya sekadar meluahkan pandangan dan tidak berminat menyokong mana-mana pihak dan pandangan ini terluah disebabkan oleh rasa meluat yang sudah tidak tertanggung oleh saya..