25 August 2011

Bapa Berhati Kejam

Semalam Mymetro memaparkan kisah yang sungguh menyayat hati. Seorang bapa tergamak membunuh tiga orang anaknya sendiri dengan cara menolak ketiga-tiga kanak-kanak tersebut ke dalam kolam hingga mati lemas. Kejadian tersebut berlaku di Ladang Lambak/Elaeis, Mengkibol. Selepas menolak anak-anaknya yang berusia antara dua hingga lima tahun, bapa tersebut yang berumur 29 tahun cuba pula membunuh diri dengan meminum racun. Bagaimanalah agaknya perasaan si ibu? Tentu hancur luluh hatinya bila mendapati ketiga-tiga anak yang dikandung selama sembilan bulan dan kemudian bertarung nyawa ketika melahirkan mereka ke dunia akhirnya pergi serentak dalam sekelip mata dan pembunuh itu pula bukan orang lain melainkan suami sendiri.

Dan hari ini, Mymetro sekali lagi menyiarkan kisah yang hampir sama. Kisah seorang bapa yang telah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan kasih sayang terhadap darah daging sendiri hingga tergamak melakukan cubaan bunuh ke atas anak perempuannya yang hanya berumur empat tahun. Jangan disalahkan anak jika pada satu hari nanti, anak yang cuba dibunuh ini menyimpan dendam dan tidak memperdulikan kehidupan hari tua anda di masa akan datang kerana anda sendiri yang telah menanamkan rasa dendam dan benci di hati kanak-kanak tersebut hari ini. Jangan menyalahkan takdir jika hari tua anda nanti harus berakhir di rumah orang tua-tua atau mungkin lebih baik hari tua anda dihabiskan sepenuhnya di dalam lokap.

Sungguh menyedihkan bila ramai kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa keganasan yang bukan sahaja didera dan dipukul malah ada juga yang menjadi mangsa nafsu sex ahli keluarga sendiri. Kadang-kadang ada para ibu yang mendiamkan diri bila mendapat tahu anak mereka dicabul atas alasan menjaga maruah keluarga. Lebih teruk dari itu saya pernah terbaca seorang ibu sanggup membantu suaminya merogol anak perempuannya sendiri. Jika instituisi kekeluargaan sendiri tidak mampu menyediakan ruang yang selamat buat kanak-kanak ini, ke manakah lagi harus mereka pergi? Setiap kali isu berkaitan kanak-kanak dipaparkan dalam berita, hati saya sangat terusik dan tersentuh kerana saya sangat menyayangi kanak-kanak. Mereka adalah golongan yang sangat menghiburkan dengan pelbagai ragam yang lucu dan menyenangkan.

Wahai para bapa yang berhati kejam, ingatlah anak merupakan amanah Allah dan anugerah yang tidak ternilai harganya.




*gambar diambil dari google