26 August 2010

Pro vs Kontra

Dalam entri sebelum ini, saya bersetuju terhadap perlaksanaan undang-undang yang menetapkan bahawa mereka yang disabitkan dengan kes buang bayi wajar didakwa dengan niat membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau di didakwa dengan niat cubaan membunuh. Tapi setelah difikir semula, dapatkah hukuman seperti ini membendung kes ini tidak berlaku lagi sedangkan sekarang ini pun telah ada peruntukan hukuman mati ke atas pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan seperti pengedaran dadah dan kes bunuh. Namun kes-kes dadah dan bunuh tetap juga berlaku? Itu satu hal, bagaimana pula jika yang terlibat dengan kes buang bayi itu adalah remaja bawah umur. Wajarkah usia muda mereka ditamatkan di tali gantung? Persoalan ini sebenarnya telah menimbulkan banyak pandangan sama ada yang bersifat pro mahupun kontra. Sekali imbas, memanglah perlaksanaan hukuman yang ketat merupakan alternatif yang berkesan dan diharap mampu menimbulkan kesan gerun kepada sesiapa pun tetapi semasa kepala otak dikuasai oleh setan, tiada siapa pun sebenarnya yang akan terasa gerun pada hukuman yang menanti, yang dirasakan hanyalah keseronakan.

Persoalan utama yang perlu dirungkai sebenarnya adalah mengkaji akar umbi permasalahan ini. Mengapa keadaan ini berlaku? Kita kerap mendengar sebab utama adalah rapuhnya hubungan kekeluargaan di samping wujudnya lambakan bahan-bahan porno yang berleluasa. Salah siapa jika hubungan kekeluargaan semakin rapuh? Salah siapa jika lambakan bahan-bahan porno semakin berleluasa? Ya, ini zaman globalisasi, zaman yang memungkinkan segala-galanya dapat diperolehi dengan mudah tapi itu bukannya alasan untuk membenarkan segala-galanya dapat di akses dengan mudah.

Masyarakat seharusnya lebih peka, sensitif dan terbuka terhadap isu ini. Kes buang bayi mungkin terjadi disebabkan remaja merasa malu, takut dan panik, jadi mereka mengambil langkah mudah dengan membuang bayi tersebut. Pada saya jika remaja ini diberi sokongan emosi oleh ahli-ahli keluarga dan masyarakat, kes ini mungkin dapat dibendung. Perkara sudah terjadi, nasi sudah menjadi bubur. Sekalipun dimaki siang dan malam, ia sudah tidak berguna jadi terima situasi itu dengan terbuka. Bukanlah bermaksud saya menggalakkan berlakunya zina dan maksiat. Apa yang ingin saya jelaskan janganlah ahli keluarga dan anggota masyarakat umumnya terus menggalakkan remaja tersebut melakukan dosa zina dan ditambah pula dengan dosa membunuh. Ingatlah bayi yang dibunuh itu tidak berdosa.

Paling utama, kembalilah kepada tuntutan agama masing-masing. Hayati, Fahami, Dalami, dan Praktikkan apa yang disarankan oleh agama. Kes terbaru, seorang kanak-kanak 12 tahun dicekup ketika melakukan zina sangatlah menggerunkan. Semoga kanak-kanak ini sedar dan diberikan hidayah oleh Allah swt.

Sekadar berkongsi catatan seseorang yang saya ambil dari "Catatan Doa-doa Islam Sehari-hari" di facebook. Katanya: "Satu satu hal yang menyebabkan kehancuran adalah hilangnya akhlak baik dan tidak kuatnya iman. Kita seharusnya diajarkan keseimbangan, seperti di sekolah, selain materi pelajaran, juga harus diajarkan akhlak baik dan ingat hidup tidak hanya di dunia saja. Jadi harus seimbang, antara usaha dan beribadah serta amal baik, untuk menjalaninya jangan pantang menyerah!semangat harus kuat..."

No comments:

Post a Comment