02 May 2012

Sekadar Imbasan Lalu


Zaman kanak-kanak adalah zaman paling indah yang hanya akan dilalui sekali seumur hidup. Zaman kanak-kanak yang berlalu tidak akan pernah kita lalui lagi. Masa akan terus beredar membawa kita terus melangkah ke alam dewasa. Kadang-kadang terasa rindu untuk kembali semula ke zaman kanak-kanak. Riang melalui hari-hari tanpa dibebani dengan masalah dan tekanan hidup. Walau hidup dihimpit kemiskinan tetapi keriangan sebagai seorang kanak-kanak tetap dirasai. Dan bila mengimbas semula zaman kanak-kanak yang kami adik-beradik lalui, saya sangat merindui situasi itu. Tetapi semua itu tinggal kenangan. Kedewasaan dan tuntutan semasa telah menjarakkan keakraban kami. Masing-masing sudah punya haluan hidup sendiri. Satu yang menjadi harapan saya, walau sejauh mana kaki kita melangkah membawa haluan semoga kebahagiaan akan sentiasa melingkari kehidupan kita. Sesungguhnya saya tidak kuat berhadapan dengan situasi yang melukakan. Hati saya mudah terluka jika ada di antara kita yang tidak bahagia dengan kehidupannya. Ini kerana pertautan hati di antara sesama kita sangat kuat.

Semua memori yang pernah kita lalui bersama akan tetap kekal dalam ingatan untuk selamanya.