25 January 2012

2012: Tahun Naga

Sempena cuti Tahun Baru Cina ni seronaklah bagi mereka yang bekerja waktu pejabat sebab dapat cuti panjang. Bagi yang kerja syif memang tidak merasa cuti panjang tu. Di sekitar Kudat walaupun hari ini sudah masuk hari ke-3, kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina masih dirasakan. Sana sini riuh dengan pertunjukan tarian singa dan naga diiringi dengan paluan gendang.

Masa di kampung dulu, jiran sebelah rumah saya berbangsa Cina. Setiap kali tiba sambutan Tahun Baru Cina, jiran saya mesti datang ke rumah. Dari jauh sudah kelihatan pakcik tu datang menuju ke rumah kami dengan beg plastik di tangan. Bila terlihat saja kelibat pakcik tu, saya dan adik akan saling berpandangan dan tersenyum sesama sendiri. Walaupun tanpa apa-apa perkataan tapi kami tau ada sesuatu yang bakal kami terima dan biasanya yang terisi dalam beg plastik itu adalah buah-buah limau dan biskut-biskut yang dibelinya dari kedai di pekan Tenom. Tekaan kami tidak pernah silap. sebaik saja pakcik itu beredar, kami segera mendapatkan ibu kami dan pura-pura bertanya untuk apa pakcik itu datang. Biasanya jumlah buah limau yang diberikan cukup untuk semua orang. Oh, alangkah gembiranya hati dapat menikmati keenakan buah limau mandrin percuma. Masa dulu, untuk beli buah limau mandrin memang tidak pernah walau sekali pun sebab hidup waktu itu sangat susah. Memadailah dengan makan buah limau manis yang banyak terdapat di sekeliling rumah. Keluarga pakcik Cina itu pun tidaklah berada sangat. Corak kehidupan kami lebih kurang sama juga - sama-sama mengusahakan tanah sawah dan kebun koko. walaupun begitu mereka tetap ingin berkongsi kegembiraan di hari Tahun Baru Cina dengan kami sekeluarga.

Banyak kenangan yang kami lalui bersama dan persahabatan itu terjalin tanpa sempadan. Paling saya ingat, waktu pagi kami akan berjalan kaki sama-sama ke sekolah, saling menunggu dan bermain bersama. Sudah hampir 20tahun mereka meninggalkan kampung. Berhijrah ke daerah lain tetapi ikatan kemesraan yang terjalin tetap terpelihara hingga ke hari ini walaupun makcik dan pakcik itu telah lama meninggal dunia. Anak-anaknya tetap mengingati kami sekeluarga. Sungguh terharu bila buat pertama kalinya mereka adik-beradik datang berkunjung ke rumah semasa adik saya melangsungkan perkahwinan November lalu setelah bertahun-tahun tidak bersua. Dan syukur kerana salah seorang daripada mereka akhirnya memilih Islam sebagai agama anutannya. Alangkah indahnya jika mereka semua turut memeluk Islam tetapi kita tidak berhak untuk memaksa mereka.

Jalinkanlah persahabatan dengan sesiapa pun tanpa perlu mengira perbezaan agama dan budaya. Apa yang penting mereka tidak akan mempengaruhi anda untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. Sekalipun mungkin ada yang cuba menghasut anda, teguhkanlah hati dan pertahankanlah nilai jati diri anda. Kita akan sering terimbas kenangan lalu dan benarlah kenangan adalah sebahagian daripada pengalaman hidup yang akan kekal selamanya dalam ingatan.

Antara gambar yang sempat saya ambil sempena sambutan Tahun Baru Cina 2012 di Kudat...



No comments:

Post a Comment