02 March 2010

Zaman Sudah Berubah

Zaman sudah berubah. Benar-benar berubah. Semasa kanak-kanak dulu, saya memerhatikan kanak-kanak sebaya saya yang ketika itu berada dalam lingkungan 5 hingga 12 tahun lebih banyak menghabiskan masa bermain dengan permainan-permainan tradisi seperti bermain guli, congkak, gasing, layang-layang, teng-teng dan sebagainya

Kini pergilah ke kawasan kampung sekalipun, agak sukar untuk melihat permainan tradisi ini dimainkan oleh kelompok kanak-kanak di alaf baru ini. Permainan kanak-kanak di zaman IT telah mengalami perubahan seiring dengan perubahan teknologi yang sedang bertiup kencang. Mereka lebih selesa memilih permainan-permainan komputer seperti 'dress up,''the adventure of sinbad' dan banyak lagi. Dan bukanlah suatu yang asing apabila kanak-kanak sekolah rendah turut mempunyai akaun facebook dan blog sendiri.

Suatu yang agak menakutkan jika kanak-kanak ini dibiarkan tanpa pemantauan sewajarnya daripada ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak ini sangat terdedah kepada ancaman jenayah cyber. Di ruang cyber, mereka bebas 'menemui' orang-orang yang tidak diketahui identitinya. Bahkan orang dewasa turut tidak terkecuali daripada ancaman jenayah cyber. Berhentilah daripada memberikan maklumat yang terperinci di dalam profile mana-mana akaun yang dibuka sama ada dalam facebook, friendster, myspace dan sebagainya. Malangnya, saya perhatikan ramai di antara rakan-rakan saya yang ghairah memberikan maklumat secara detail dari A - Z dalam akaun facebook masing-masing. Jangan sampai satu hari nanti identiti diri anda dicuri. Sebagaimana yang berlaku pada seorang wanita Australia yang kini hidup dalam ketakutan kerana identitinya telah digunakan oleh orang lain yang terlibat dalam pembunuhan komendar Hamas walhal beliau sendiri tidak tahu bagaimana indentitinya boleh dimiliki oleh orang lain.
Beringat-ingatlah kecanggihan teknologi memungkinkan segala-galanya berlaku.

No comments:

Post a Comment