30 September 2010

Musibah 2004

Akhirnya setelah koma selama 6 tahun iaitu sejak 18 Feb 2004 hingga 28 September 2010, anak saudaraku menghembuskan nafas terakhir pada 28 September lalu. Al-Fatihah untuknya... Mungkin kematian ini adalah yang terbaik agar derita yang ditanggungnya selama 6 tahun berakhir. Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Semoga kakakku sekeluarga tabah menghadapi ujian ini. Mati adalah pasti kerana ia janji Allah bagi setiap yang bernyawa cuma kita tidak pernah tahu bilakah saat itu akan tiba. Anak saudaraku koma sejak berusia 10 tahun gara-gara terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta yang dipandu oleh bapanya telah terbabas dan masuk ke dalam gaung. Ketika itu mereka dalam perjalanan balik dari kampung. Adik beradiknya yang lain termasuk ibu bapanya juga turut mengalami kecederaan tapi tidaklah seteruk yang dialami oleh anak saudaraku yang seorang ini. Walau apa pun, kita perlu berlapang dada dan redha menerima takdir ini. Kalau masa yang ditentukan oleh Allah telah tiba, tiada siapa pun dapat menghalangnya. Cara bagaimana kematian itu berlaku hanyalah perantara. Meskipun kemalangan itu tidak berlaku, tapi jika Allah menentukan batas waktunya hanya setakat itu, kematian akan tetap datang menjemput. Kita tidak pernah tahu bagaimana cara kematian kita. Teringat seketika kematian ngeri dan sadis yang melibatkan Datuk Sosilawaty Lawiya dan empat yang lain, sungguh menyedihkan. Kematian biasa sekurang-kurangnya kita masih berpeluang menguruskan jenazahnya tapi bagi kematian sadis seperti yang di atas sangatlah menyentuh perasaan kerana ahli keluarganya tidak dapat melihat jenazah mereka buat kali terakhir, hanya tulang-tulang yang diperolehi dan perlu dibuktikan pula melalui ujian DNA. Semoga kita semua akan sentiasa diberikan ketabahan dalam menempuh saat-saat getir dalam hidup ini.

No comments:

Post a Comment