27 September 2010

Salam Aidilfitri

Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan salam aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Semoga raya tahun hadapan kita masih berpeluang meraikannya dalam suasana yang harmoni namun dalam kita bergembira usah dilupakan mereka yang tidak bernasib baik. Hulurkanlah bantuan seikhlasnya kepada yang memerlukan.
Tahun ini merupakan tahun kedua, saya meraikan aidilfitri tanpa kunjungan daripada nenek kerana nenek telah pun pergi untuk selamanya. Saban tahun nenek tidak pernah gagal menghadirkan diri pada pagi syawal di rumah kami. Meskipun nenek seorang penganut agama Christian tapi ia tidak pernah menjadi batu penghalang antara kami untuk saling menyayangi dan memahami antara satu sama lain. Nenek sangat menghormati amalan agama kami sekeluarga, bahkan jika ke rumah nenek segala peralatan memasak yang baru akan disediakannya khas untuk kami gunakan. Pemergian nenek sangat kami rasai. Kasih sayang yang diberikannya sangat istimewa dan tulus. Saya masih ingat satu ketika dahulu hari raya jatuh pada hari Jumaat. Pada hari itu, kami sediakan juadah hari raya berasaskan daging untuk makan tengah hari. Saya agak tertanya-tanya mengapa nenek saya langsung tidak mahu menjamah hidangan daging yang kami sediakan sebaliknya meminta makanan lain yang tidak berasaskan daging. Setelah diterangkan barulah saya faham, rupa-rupanya hari itu nenek saya tidak boleh makan daging mengikut amalan agamanya.
Meskipun nenek telah tiada tapi pagi syawal kami tetap meriah dengan kunjungan sanak saudara daripada sebelah emak dan bapa saya yang beragama Christian. Awal pagi lagi semuanya sudah berkumpul di rumah untuk sama-sama meraikan aidilfitri. Emak saya mempunyai 2 orang adik yang beragama Christian dan 2 orang adik beragama Islam. Manakala bapa saya anak tunggal.
Biasanya hanya hari raya ke-empat barulah saya berpelung berziarah ke rumah jiran-jiran sekampung dan juga ke rumah kawan-kawan adik dan kakak saya. Sebenarnya selama ini, saya belum pernah menjemput mana-mana kawan saya sama ada kawan-kawan lelaki atau perempuan untuk datang berhari raya ke rumah saya. Bukan sombong tapi bagi saya hari raya adalah hari yang bebas untuk kita berkunjung kemana-mana rumah walaupun tanpa apa-apa undangan. Seperti yang tertulis dalam profile saya iaitu saya suka memerhatikan tingkah laku manusia dan persekitaran, saya praktikkan juga hal ini dalam suasana hari raya iaitu melalui ucapan selamat hari raya. Saya suka melihat siapa sebenarnya di antara rakan-rakan saya yang tidak lupa untuk mengucapkan salam aidilfitri kepada saya. Walaupun ia mungkin kedengaran agak tidak masuk akal tetapi biasanya kalau kita mengingati seseorang kawan, kita tidak akan pernah melupakan untuk mengucapkan salam untuk perayaan yang diraikannya ataupun untuk apa-apa sambutan yang diraikannya, sambutan harijadi misalnya. Itu hanyalah andaian, tanpa ucapan tidak semestinya kawan melupakan kita. Berfikir positif saja kerana mungkin ketika itu ada halangan baginya untuk menghantar ucapan selamat buat kita..

No comments:

Post a Comment