01 January 2011

Selamat Datang 2011


Selamat Datang 2011

Hari ini 1 Januari 2011 atau ringkasnya 1111, gabungan nombor satu. Cantik dan unik. Alhamdulillah Allah masih memberi peluang kepada kita untuk terus bernafas di muka bumiNya ini. Setiap kali tahun baru menjelma, seluruh dunia seakan teruja menyambutnya. Di sana sini, ada saja sambutan di adakan dan tidak sah rasanya sambutan tahun baru tanpa dentuman bunga api. Bilalah agaknya, sambutan tahun baru akan dirayakan dalam suasana yang 'biasa-biasa.' Biasa tanpa ada apa-apa sambutan dan dentuman bunga api yang bising memekakkan telinga walaupun ia kelihatan cukup indah dengan kilauan pelbagai jenis warna di udara. Bagi saya tahun baru tetap sama seperti hari-hari yang saya lalui sebelum ini yang berbeza cumalah tarikh dan tahun. Merayakan sambutan tahun baru dengan keluar lepak juga bukan menjadi amalan saya sejak dahulu. Saya lebih selesa duduk di rumah sambil menonton tv atau melayari internet. Semasa di PJ dahulu, saya juga lebih selesa duduk di rumah bersama dengan kawan-kawan serumah. Saya bukanlah seorang yang 'anti sosial' tapi bagi saya setiap orang ada prinsip dan pegangan hidup masing-masing. Selagi prinsip saya tidak menyalahi undang-undang, hukum agama dan tidak menimbulkan kebencian kepada sesiapa saya akan terus dengan prinsip saya.

Dengan menjelangnya tahun 2011, bermulalah lagi episod baru dalam kehidupan peribadi kita. Terasa baru beberapa bulan yang lalu saya menulis entri berkenaan tahun baru 2010 dan hari ini saya mula menulis untuk tahun 2011 pula. Masa seakan terlalu pantas berlalu meninggalkan kita. Semua peristiwa yang terjadi di tahun lalu, akan sentiasa segar dalam ingatan meskipun nanti ia akan terkubur begitu sahaja. Doa dan harapan saya, semoga tahun ini memberikan kehidupan yang lebih bermakna buat saya dan juga buat anda semua. Semoga kita akan terus melangkah dengan yakin, riang dan bersemangat walau sebanyak manapun ujian dan masalah yang dihadapi. Saya juga berharap agar orang-orang yang pernah mencaci, menghina dan memaki hamun saya dengan mesej-mesej yang melukakan sebelum ini akan dilembutkan hatinya oleh Allah s.w.t. Mudah-mudahan saja Allah akan menerbitkan rasa kasih dan rasa perikemanusiaan yang tinggi terhadap orang-orang yang sebegini. Hidup kita singkat, jangan dibiarkan rasa benci dan dendam terhadap seseorang itu berlarutan.

Sekadar mengulang apa yang pernah saya tulis dalam entri pertama tahun baru 2010:

"Setiap kali tahun baru membuka tirainya, setiap kali itulah akan timbul persoalan tentang apa yang akan berlaku pada diri kita untuk sepanjang tahun tersebut. Satu hal yang pasti terjadi ialah usia semakin bertambah. Kita semakin tua, letih tidak berdaya dan semakin tiba pada penghujung kehidupan. Renungkan semula apakah sepanjang tempoh kehidupan ini, adakah kita telah mempergunakannya sebaik mungkin? Apakah setiap persoalan yang bermain di kepala telah ditemukan jawapannya.."

Selamat Tahun Baru Buat Semua...

No comments:

Post a Comment