07 March 2011

Dunia Tanpa Internet


Hari ini, banyak transaksi harian berlaku atas talian. Tidak kira sama ada untuk urusan perniagaan, pembelajaran atau untuk tujuan sosial lainnya. Pendek kata internet sangat penting. Ia umpama nadi penggerak kehidupan manusia di zaman ini. Sebab itu peranan pejabat pos hari ini semakin terhakis. Zaman 80an dan 90an dulu, setiap kali berkunjung ke pejabat pos, ia pasti penuh sesak dengan orang ramai dengan pelbagai urusan - pos surat, beli setem, bayar bil atau untuk menyimpan dan mengeluarkan wang. Hari ini, dengan menekan tetikus semua transaksi dapat dilakukan dalam masa yang singkat, cepat, mudah dan tidak perlu beratur panjang menunggu giliran. Ini memang suatu kelebihan bagi mereka yang sangat pemalas beratur di kaunter menunggu giliran dipanggil. Orang-orang yang malas berurusan di kaunter itu salah seorangnya termasuklah saya sendiri. Berurusan di kaunter dan terpaksa menunggu giliran yang lama adalah suatu yang sangat menjengkelkan. Tambah menjengkelkan bila petugas-petugas di kaunter melayan tanpa sikap mesra dan sambil lewa. Keadaan akan jadi beribu kali ganda menjengkelkan bila sistem penghawa dingin tidak berfungsi. Setakat ini hanya bayaran kereta yang saya lakukan di kaunter dan saya sangat berpuas hati kerana tidak sampai 5 minit urusan selesai. Saya pentingkan ketepatan masa. Saya tidak suka menunggu terlalu lama dan saya juga tidak suka ditunggu. Saya akan tulis entri khas tentang hal ini di masa akan datang.

Bagi anda yang bergantung sepenuhnya pada internet untuk melakukan pelbagai urusan dan untuk mendapatkan info-info terkini, cuba bayangkan jika internet tiba-tiba dihapuskan di muka bumi ini. Mungkin ungkapan 'dihapuskan' itu agak keterlaluan dan tidak masuk akal. Bayangkan saja jika talian internet 'down' berhari-hari lamanya, apa yang anda rasa? Sudah tentu sumpah seranah terhambur dengan lajunya dari mulut anda. Huh memang benar-benar buat hati terbakar kalau talian internet tidak berfungsi dengan baik. Jangankan 'down' selama berhari-hari, 'down' dalam masa beberapa jam pun mampu menimbulkan kemarahan. Tapi itu bagi kawasan yang akses internet dapat dicapai dengan mudah. Bagi kawasan luar bandar, broadband hanya akan jadi barang perhiasan. Situasi itulah yang saya alami sekarang. Setiap hari saya menekan tetikus, menjelajah ke seluruh dunia, membaca cerita-cerita politik yang saya tidak tahu siapa yang benar dan salah, menyelongkar rahsia para selebriti, menulis blog biasa-biasa dan akhirnya bila berada di kampung ini, dunia saya jadi sunyi. Kosong. Buntu. Gelap. Otak saya beku, seolah-olah berada di satu dunia yang asing dan terpencil. Di sini aman, sangat aman dan tenteram. Tapi alangkah bagusnya jika suasana aman dan tenteram ini seiring dengan pembangunan semasa. Biar cuma kampung biasa-biasa yang dihuni oleh orang-orang biasa, saya tetap menginginkan pembaharuan yang mampu mengubah landskap kampung ini. Saya mahukan akses internet yang lebih baik dan juga talian telefon yang lebih baik. Bilalah agaknya semua ini akan tercapai? Perlukah saya menunggu hingga YB yang mewakili kawasan ini mati? Kalau mati, mesti ada pilihan raya kecil diadakan. Bila ada PRK mesti ada 'sesuatu' dihadiahkan buat penduduk kampung. Alaaaa..... tak kan tak biasa, itu kan strategi.

No comments:

Post a Comment