22 June 2011

Tentang Kawan

Wah lamanya saya tidak bertandang menjenguk blog ini. Banyak cerita yang ingin saya ceritakan di sini sebenarnya tapi kadang-kadang rasa malas sering menguasai keadaan. Jadi bila kemalasan menguasai keadaan, blog pun terbiar begitu saja.

Bukan sahaja menulis blog, aktiviti melayari internet dan facebook juga semakin kurang saya lakukan akhir-akhir ini. Kadang-kadang saya membuka facebook sekadar untuk melihat samada, ada atau tidak mesej yang dihantar oleh kawan-kawan ke inbox saya. Tidak hairanlah setiap kali buka facebook ada beratus game requests yang dihantar oleh kawan-kawan facebook saya. Bukan bermakna saya sudah melupakan kawan-kawan facebook cuma keadaan tidak mengizinkan saya untuk sentiasa online seperti sebelum ini.

Kalau dulu saya berasa sangat berterima kasih dengan kewujudan facebook kerana melaluinya 'jejak kasih' dengan kawan-kawan dan guru-guru sekolah yang telah lama terputus hubungan dapat ditautkan kembali. Melalui facebook juga hubungan persahabatan dengan kawan-kawan lama kononnya dapat dieratkan semula. Saling dapat bertanya khabar dan sebagainya. Tetapi hari ini persepsi saya terhadap facebook agak berubah terutama sekali bila melihat ramai rakan-rakan yang menyalahgunakan facebook untuk menjatuhkan airmuka, mengaibkan dan menabur fitnah sesama sendiri. Saya sama sekali tidak selesa dengan keadaan ini. Walaupun bukan saya yang terkena, tetapi saya tetap merasakan tempiasnya bila yang terlibat adalah di antara sesama rakan sekolah. Rata-ratanya bukan berpendidikan setakat sekolah rendah atau SPM tetapi sayangnya mengapa mereka tidak menggunakan kepintaran otak yang dimiliki agar bertindak sesuai dengan cara orang yang berpendidikan tinggi. Apakah dengan memalukan rakan-rakan di facebook suatu hal yang boleh dibanggakan? Ke mana hilangnya adab sopan dan nilai etika sebagai seorang manusia. Saya juga tertanya-tanya mengapa ramai yang lebih suka mendengar cerita dari satu pihak saja? Padahal orang yang bawa cerita itu belum tentu berkata benar. Berilah peluang kepada pihak yang satu lagi untuk menyatakan apa sebenarnya yang terjadi. Sayangnya ramai yang lebih suka mendiamkan diri dan menerima bulat-bulat semua cerita yang disampaikan oleh pihak yang satu lagi. Terus terang, itu bukan cara saya. Saya lebih suka bertanya terus dengan orang-orang yang terlibat walaupun saya tahu ramai yang kurang senang dengan cara saya. Sekurang-kurangnya saya tahu apa sebenarnya yang berlaku dan tidak menerima 100% cerita yang disampaikan. Samaada pihak yang satu lagi berkata benar atau tidak, hanya yang empunya diri saja yang mengetahuinya. Selalunya dalam keadaan ini akan timbul dua versi cerita yang berbeza.

Benarlah apa yang pernah saya katakan dalam entri saya sebelum ini iaitu:

"Mencari sahabat sejati di era facebook samalah seperti mencari setitik air di padang pasir yang tandus, kering dan gersang. Ia mungkin ditemui tetapi sukar.."

Bagi anda yang telah berjaya menemukan seseorang yang kalaupun tidak dapat dianggap sebagai 'sejati' tetapi memadailah jika ia menyenangkan anda, jagalah persahabatan itu sebaiknya...

2 comments:

  1. saya pun jarang main FB sb malas dan tiada faedah..sekadar tgk profile org ja utk tau perkembangan terbaru,hehehe

    ReplyDelete
  2. :-) fb ni ada baik dan buruknya juga.

    ReplyDelete