06 November 2013

Salam Maal Hijrah

Bersua lagi
Salam Maal Hijrah buat semua. Semoga kita sentiasa diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus melangkah sepanjang kehidupan ini. Kesihatan adalah nikmat yang tidak dapat dijual beli sekalipun kita memiliki kekayaan yang tiada tara banyaknya. Tetapi manusia jarang sekali menyedari nikmat yang satu ini kecuali ketika sudah terbaring sakit, menunggu saat datangnya sakaratul maut datang menjemput.

Saya terkenang orang-orang yang sangat bermakna dalam hidup saya yang ketika ini sedang berjuang melawan sakit yang sedang mereka deritai. Semoga segala kesakitan dan penderitaan yang mereka hadapi menjadi penebus bagi setiap dosa yang pernah dilakukan. Bukankah kita hanya manusia biasa yang seringkali melakukan dosa demi dosa.

Bapa saya mula sakit sejak awal tahun ini. Kesihatannya menjadi bertambah buruk semasa hari raya lalu. Sebelum itu, hampir setiap malam bapa saya dihantar ke hospital disebabkan kesukaran bernafas. Pada malam raya aidil adha, bapa saya terpaksa ditahan di ward selama seminggu. Itu merupakan kali kedua bapa saya ditahan di ward. Sehingga saat ini saya masih trauma apabila mendapat sms di tengah-tengah malam. Sebelum membuka sms tersebut, saya sudah menduga itu tentunya sms dari adik saya. Tekaan saya tepat. Pertama kali dikhabarkan bapa sakit, hati saya jadi tidak keruan dan saya menanggis semau-maunya kerana bapa saya jarang sakit dan biasanya bila dia jatuh sakit memang dalam keadaan yang kritikal. Ketika balik kampung, saya sendiri tidak sanggup melihat keadaan bapa saya ketika itu. 

Pada mulanya doktor yang merawat, memberitahu bapa saya sakit asma dan jantungnya bengkak. Tetapi keadaan bapa saya tidak semakin pulih bahkan keadaan kesihatannya semakin buruk dengan seluruh muka dan kakinya bengkak. Bila bengkak surut, bapa saya dibenarkan balik ke rumah.

Bapa saya dihantar ke hospital lagi apabila dia mengadu pinggangnya sakit. Dan inilah situasi yang paling tegang kami sekeluarga hadapi. Bapa saya ditahan lagi untuk kali yang ketiga. Saya bergegas balik kampung seawal jam 5.30am. Ketika ini barulah doktor mengesahkan bapa saya sebenarnya sakit jantung dan ada komplikasi pada buah pinggangnya. Kami tergamam, mengapa selewat ini doktor mengesahkan sakit bapa kami. Bukan sekali dua dia dihantar ke hospital. Boleh dikatakan hampir setiap malam emak, adik dan kakak saya berkampung di unit kecemasan menemani bapa saya. Petang itu bapa saya dikejarkan dengan ambulance ke Hospital Keningau dalam keadaan yang sangat kritikal. Sebelum bertolak, doktor memberitahu supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Menurut doktor bapa kami boleh mati bila-bila masa saja semasa dalam perjalanan ke hospital Keningau itu. Sungguh ketika ini, tiada kata mampu diungkapkan. Lidah menjadi kelu dan airmata gugur tanpa dipaksa. Siren ambulance yang membawa bapa saya ke Hospital Keningau tambah menggetarkan rasa di hati. Kepada Allah kami panjatkan doa semoga bapa kembali sembuh.

Syukur, kami tidak bersendirian menghadapi saat getir itu. Ketika tubuh longlai tidak bermaya, kami diberikan kekuatan oleh semua orang-orang yang berada di perkarangan hospital ketika itu. Samaada yang dikenali mahupun tidak dikenali, semuanya meniupkan kata-kata semangat buat kami. Tidak terhenti setakat itu, saya difahamkan hampir seluruh penduduk kampung turut sama bekejar ke Hospital Keningau. Ada di antaranya yang menemani kami sehingga jam 1am. Ruangan tempat duduk di unit kecemasan dipenuhi oleh orang-orang kampung yang menemani kami. Terima kasih Ya Allah, kerana menemukan kami dengan orang-orang yang berhati mulia. Tiba di Hospital Keningau, bapa saya dimasukkan ke unit kecemasan terlebih dahulu. Lampu merah sentiasa berkelip menandakan ada pesakit kritikal sedang dirawat. Agak lama juga. Bila doktor keluar mencari ahli keluarga, semua yang ada di ruangan itu menjawab kami semua adalah keluarga dia. Sungguh saya benar-benar terharu. 

Pada jam 7.30pm barulah bapa saya dikeluarkan dari unit kecemasan dan dihantar ke ward CCU di aras dua. Hampir seminggu bapa saya di CCU. Sungguh menyedihkan melihat keadaannya ketika itu, terlantar dengan wayar-wayar berselirat di seluruh tubuh badan. Ketika saya masuk menjenguknya, banyak cerita dia sampaikan tapi sungguh saya tidak mampu memahami setiap tutur katanya. Selepas dua minggu berkampung di Hospital Keningau, bapa saya dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut.

Benarlah kata orang, Allahlah yang mengatur kehidupan kita. Doktor hanyalah manusia biasa. Walaupun doktor menjangkakan peluang hidup bapa saya ketika itu hanyalah 99.9% tetapi jika Allah belum mengkehendakinya, maka ia tetap tidak akan terjadi. Harapan saya, semoga bapa kembali sembuh dan ceria seperti dulu.



4 comments:

  1. sabar ye...murni....yan turut doa kan moga ayahnya murni cepat sembuh & sihat selalu....

    ReplyDelete
    Replies
    1. :-) tq. semoga kita semua sentiasa sihat

      Delete